Saturday, 30 November 2013

Sharnaaz Ahmad mahu bersara daripada dunia hiburan

Beberapa bulan yang lalu namanya hangat diperkatakan di media-media massa dan sosial.

Kelibat dan setiap butir bicara pelakon kacak, Sharnaaz Ahmad menarik perhatian media ekoran kisah cintanya dengan penyanyi tersohor Shila Amzah yang putus di tengah jalan.
Reda kisah cintanya dengan Shila, Sharnaaz kemudian dikaitkan pula bercinta dengan tunang orang, Uqasha Senrose sehingga menyebabkan aktress itu putus tunang.

Tunangan Uqasha, Pekin Ibrahim pada awalnya berang kerana menyangka kekasih hatinya itu berlaku curang di belakangnya.

Namun semua itu hanya salah faham dan hubungan mereka berdua kembali pulih selepas mengetahui Uqasha dan Sharnaaz rapat kerana mahu membuat kejutan di hari jadinya.
Setelah melalui pelbagai liku yang sememangnya lumrah sebagai anak seni, pelakon Sharnaaz Ahmad bagaimanapun baru-baru ini mengumumkan untuk bersara daripada dunia hiburan tanah air.

Keputusan mengejut itu diambil oleh Sharnaaz ekoran terlalu banyak gosip, kontroversi dan fitnah yang melanda dirinya sepanjang menceburi industri itu.

Dengan persaraan ini, Sharnaaz berharap agar hati ibu bapa dan adik beradiknya tidak lagi dilukai.

Berikut kata-kata Sharnaaz yang dipetik daripada sebuah laman web popular:-

"Saya bukan kecewa, tetapi dengan apa yang berlaku, satu persatu gosip dan kontroversi melanda diri, saya fikir biarlah saya berundur diri. Saya tidak mahu mengguris hati dan perasaan sesiapa lagi. Paling penting, saya tidak terus melukakan hati ibu bapa dan adik beradik, mereka adalah insan yang sentiasa berada di belakang saya ketika susah dan senang.

Saya akan menyambung semula kerja di bidang hartanah atau industri minyak dan gas yang pernah dilakukan. Saya lakukan ini demi keluarga saya. Hati ibu bapa dan keluarga saya sudah kerap kali terguris dengan cerita yang bukan-bukan, saya tidak mahu terus melukakan hati mereka. Cukuplah…

Saya tidak berdendam dengan sesiapa. Saya tidak pernah membenci mereka, buatlah apa sahaja, terserah! Saya terima dengan hati terbuka. Mungkin pengunduran saya membuatkan mereka lebih senang hati. Saya keluar industri hiburan dengan hati yang rela. Asalkan saya melihat satu wajah gebira. Mungkin setakat ini saja perjuangan saya dalam dunia seni. ALLAH SWT Maha Kuasa."

Drama “Bukan Kerana Aku Tak Cinta” adalah drama terakhir lakonan Sharnaaz Ahmad.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Ustaz Kazim Elias ahli Pas Perak?

IPOH – Pemuda Pas Perak mengesahkan, Mohammad Kazim Elias atau dikenali Ustaz Kazim adalah ahli parti itu yang sah.

Ketuanya, Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, pendakwah itu berkenaan mendaftar sebagai ahli Pas cawangan Kampung Manjoi (Tambun) sejak Julai 1998 dengan nombor keahlian 0475276.
Bagaimanapun menurutnya, tiada sebarang jawatan parti yang dipegang sepanjang pembabitannya dalam Pas.
“Pelantikannya sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno sebenarnya agak mengejutkan, ia juga menimbulkan persoalan sama ada Mohd Kazim telah menyertai Umno atau tidak kerana mengikut rekod, beliau masih ahli Pas yang sah.

“Apa-apapun kita tidak berhasrat untuk memberi ‘tekanan’, tambahan pula setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan Ustaz Kazim berhubung lantikan itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Raja Ahmad berkata, Pas tidak menolak kemungkinan penerimaan jawatan itu kelak akan memberi kesan terhadap aktiviti keagamaan yang dilakukan termasuk ceramah, tazkirah dan kuliah.

Katanya, umum mengetahui, mana-mana individu yang berjawatan dalam politik, tidak dibenarkan menggunakan tempat ibadah terutama masjid sebagai pentas politik.

“Bagi Pemuda Pas, jika Ustaz Kazim telah mengesahkan menerima pelantikan jawatan itu, maka beliau sudah memikirkan implikasi kedudukannya sekarang ini sebagai pendakwah bebas,” katanya.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Umur Tok Ayah 160 tahun!

Mohamed Soleh Ali lebih mesra panggilan Tok Ayah  yang tinggal di Tanah Merah, Kelantan dikatakan berusia 160 tahun. Penglihatan masih jelas, pendengaran sempurna. Giginya masih yang asal. Lebih aneh lagi mampu berjalan kaki berbatu-batu jauhnya.
Tok Ayah mendakwa melalui pengalaman di bawah 13 Sultan yang memerintah Kelantan. Kisah hidup pahlawan dan perjuangan Mat Kilau pun diketahui dengan jelas. Pengalaman di bawah penjajahan Inggeris dan Jepun masih diingati sehingga sekarang. Ketika penjajahan Jepun beliau mempunyai tiga anak.
Lima yang masih hidup daripada 13 orang anaknya. Kesemua 13 isterinya juga sudah meninggal dunia. Cucu Tok Ayah ada yang sudah berusia lebih 60 tahun.

Stapa Ismail, 61 ahli keluarga Tok Ayah berkata, kegemaran Tok Ayah dari muda sehingga sekarang berjalan kaki ke mana sahaja.

“Dia pernah memberitahu berjalan kaki ke Johor, Pahang dan Terengganu semasa muda. Sekarang masih lagi mampu berjalan kaki ke bandar Pasir Mas,” katanya dipetik HarakahDaily.

Tok Ayah tinggal di Kampung Gelugur, Bukit Panau dikunjungi Mursyidul PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau menghadiahkan tongkatnya kepada Tok Ayah di samping wang.

Beritahu Stapa lagi, paling aneh anak dan cucunya tidak tahu ke mana Tok Ayah pergi setiap hari, namun ketika pulang ada sahaja makanan yang dibawanya.

“Malah ada ketika anaknya nampak Tok Ayah naik kereta pergi, namun tidak lama kemudian dilihat ada di dalam rumah.

“Banyak sebenarnya kisah pelik kalau hendak cerita tentang Tok Ayah. Apa yang saya tahu sejak dahulu sehingga sekarang dia tidak bekerja tetap dan hanya tahu berjalan sahaja.

“Namun tangannya sentiasa ada buah tasbih. Tok Ayah hanya meminum air telaga yang tidak dimasak. Kalau orang bagi duit kepadanya dia akan bagi kepada orang lain pula,” katanya.

Tidak jauh daripada kampung tersebut juga ada seorang wanita berusia 126 tahun, sekarang tinggal bersama anaknya di Kampung Kubang Kerian, Bukit Panau.
Sumber : KiniNews

Baca lagi >>

Latar belakang 9 orang ahli MT UMNO yang baru dilantik

Nama Mohamed Nazri bukanlah asing dalam Umno kerana beliau sebelum ini pernah memegang jawatan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia dan pernah memangku jawatan Ketua Pemuda ketika era Tan Sri Rahim Thamby Chik mengetuai pergerakan itu pada tahun 1994-1995.

Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilantik sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan selepas PRU-13.

Seperti Mohamed Nazri, nama Raja Nong Chik juga tidak asing dalam politik Umno.

Beliau merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan bekas senator.

Bagaimanapun pada pilihan raya yang lalu beliau tewas kepada Nurul Izzah Anwar di Parlimen Lembah Pantai.

Pelantikan Prof. Dr Ibrahim Abu Shah dilihat melengkapkan barisan kepimpinan parti kerana beliau merupakan seorang ahli akademik dan nasionalis terkenal.

Merupakan bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), beliau pernah menjawat beberapa jawatan dalam Umno termasuk menjadi pengasas dan Pengerusi Kelab Umno Carbondale, Amerika Syarikat pada 1983.
Dr Asyraf Wajdi Dasuki pula merupakan bekas Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan baru-baru ini dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Beliau merupakan bekas pelajar terbaik Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan pemegang ijazah dan sarjana dalam bidang perakaunan dan juga perbankan Islam.

Asyraf adalah anak kepada seorang pendakwah terkenal iaitu Datuk Dasuki Ahmad.

Manakala Mohammad Kazim Elias merupakan seorang tokoh agama dan penceramah terkenal di negara ini.

Pelantikannya bagaimanapun sudah pastinya mengejutkan ramai pihak termasuklah para pemerhati politik.

Sementara itu, Hamzah Zainudin pula merupakan bekas Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut kini dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar.

Mohd. Sharkar Shamsudin pula merupakan Adun Lanchang dan Ketua Umno Bahagian Temerloh, Pahang.

Beliau juga baru-baru ini dilantik sebagai Timbalan Ketua Perhubungan Umno Pahang adalah juga Exco Pelancongan Negeri.

Sharkar pernah dilantik sebagai setiausaha kerja Pergerakan Pemuda Umno Malaysia pada tahun 1994 semasa Rahim menjadi ketua pemuda.

Pelantikan Irmohizam Ibrahim pula dilihat tepat dalam usaha meremajakan parti.

Beliau merupakan pegawai khas kepada perdana menteri dan merupakan anggota Lembaga Pemegang Amanah iM4U.

Pada pilihan raya lalu, beliau menewaskan calon terkenal PAS, Dr Dzulkefli Ahmad di Parlimen Kuala Selangor.

Sementara itu, Johari Ghani pula merupakan seorang usahawan Bumiputera yang terkenal dan kini merupakan ahli Parlimen Titiwangsa dan juga Pengerusi UDA Holdings Bhd yang baru.

Beliau adalah juga Ketua Umno Bahagian Titiwangsa.
Sumber : mStar

Baca lagi >>

Ustaz Kazim Elias antara 9 orang Ahli MT UMNO baru dilantik

Barisan ahli Majlis Tertinggi Umno kini lengkap dengan lantikan sembilan lagi anggota baru oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, termasuklah pendakwah terkenal Ustaz Kazim Elias.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pelantikan dibuat atas kuasa presiden parti dan ia terkandung dalam Perlembagaan Umno Fasal 9.2.8.

Tengku Adnan berkata surat pelantikan akan diedarkan kepada mereka pada Jumaat dan mereka dijangka mengangkat sumpah pada 4 Disember ini.
"Status mereka adalah sama dengan MT yang dipilih perwakilan," katanya.

Berikut adalah sembilan nama ahli MT yang baru dilantik:

1. Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz

2. Datuk Hamzah Zainudin

3. Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin

4. Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

5. Datuk Irmohizam Ibrahim

6. Datuk Johari Abdul Ghani

7. Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah

8. Dr. Asyraf Wajdi Dasuki

9. Ustaz Mohammad Kazim Elias
Pada mesyuarat MT Umno baru-baru ini, Najib mengumumkan empat ahli MT tambahan iaitu Naib Ketua Wanita, Datuk Azizah Mohd Dun, Penolong Setiausaha Wanita Umno, Datuk Rosni Sohar, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun dan Naib Ketua Puteri Zahida Zarik Khan.

Lebih 145,000 perwakilan telah memilih barisan 25 anggota MT Umno pada pemilihan 19 Oktober lalu.

Pelantikan terbaru ini menjadikan jumlah ahli MT Umno keseluruhan seramai 38 orang.
Sumber : mStar

Baca lagi >>

Kerajaan Selangor serah tawaran akhir RM9.65 Bilion kepada 4 konsesi air

Kerajaan Negeri Selangor, melalui anak syarikatnya, Kumpulan Darul Ehsan Berhad  (KDEB) telah mengeluarkan tawaran akhir berjumlah RM9.65 billion untuk membeli empat syarikat konsesi air.

Surat-surat tawaran telah dihantar semalam kepada empat syarikat air; Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat  Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd.
Tawaran itu hasil  susulan beberapa siri perbincangan antara pegawai-pegawai daripada Kerajaan Negeri dan Kementerian Tenaga, Tenaga Hijau dan Air (KeTTHA) pada 18 Oktober 2013 dan 13 November 2013 di mana kedua-dua pihak telah bersetuju pada dasarnya mengenai keperluan untuk menubuhkan industri air secara holistik di Selangor.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim berkata tawaran itu adalah tepat pada masanya kerana Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak dan Menteri KeTTHA, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili telah menyatakan sokongan untuk menyatukan industri air dalam surat bertarikh 19 Jun 2013 dan 9 September 2013.

"Ini juga sejajar tarikh akhir iaitu Disember 2013 untuk menyelesaikan rundingan yang ditetapkan oleh Menteri KeTTHA. Kami berharap para pemegang saham syarikat-syarikat ini akan menerima tawaran yang akan memberi pulangan menguntungkan .

“Jika pemegang saham merasakan bahawa mereka berhak mendapat jumlah yang lebih,  mereka boleh meminta untuk dibawa ke timbang tara antarabangsa. Kami berharap boleh memecahkan kebuntuan rundingan kerana Kerajaan Negeri sudah bersedia dengan rancangan pengambilalihan ini,” kata Menteri Besar.

Empat syarikat itu mempunyai 14 hari untuk menerima tawaran KDEB yang bermaksud mereka mesti memberi jawapan selewat-lewatnya jam 5 petang pada 4 Disember 2013.

Surat tawaran itu antara lain menetapkan bahawa tawaran KDEB untuk membeli ekuiti semua empat syarikat yang memberi pulangan sebanyak 12% setahun dikira sehingga 31 Disember 2012; tidak dikompaun dan dengan potongan bagi mana-mana pembayaran dividen yang terdahulu.

Tawaran itu juga menyatakan bahawa KDEB akan menyelesaikan semua hutang berkaitan air tertunggak oleh empat syarikat termasuk bon dan pinjaman komersial serta pinjaman kerajaan yang berkaitan.

Satu siasatan menyeluruh dan terperinci akan dijalankan ke atas syarikat konsesi tujuh hari dari tarikh penerimaan tawaran itu.

Kerajaan Negeri Selangor komited untuk menubuhkan industri air secara holistik bagi menyediakan perkhidmatan yang cekap pada tarif yang berpatutan kepada lebih 5 juta pengguna air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Dikeluarkan Oleh:
Sekretariat Akhbar
Pejabat Dato Menteri Besar Selangor
22 November 2013
Sumber : Selangorku

Baca lagi >>

Kisah penuh Aishah yang menjadi hamba selama 30 tahun di London siri 2

Temubual ekslusif rakaman The Telegraph UK:


Adik bongsu kepada Siti Aishah Abdul Wahab yang dilapor dijadikan hamba selama 30 tahun di London mendedahkan 'rahsia' penglibatan kakaknya dalam aktiviti radikal komunis.

Bagaimanapun, menurutnya, perkara itu sudah lama diketahui keluarga, lapor Utusan.

Menurut Mohd Tahir Abdul Wahab, 66, Siti Aishah dipercayai terpengaruh dengan fahaman komunis semasa melanjutkan pelajaran di London dengan biasiswa Komanwel, seterusnya menetap di negara berkenaan.
"Mereka tahu Kak Esah telah terpengaruh dengan aktiviti radikal seperti komunis. Sebab itulah sepanjang dia menghilangkan diri, keluarga kami tidak pernah berputus asa mencarinya di London," katanya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia.

"Ketika itu telah bertiup cerita tentang pengaruh komunisme meresap dalam kalangan pelajar luar negara dan saya rasa dari situlah mengetahui pergerakan Kak Esah.

"Sebab itulah saya yakin percubaan mereka ini untuk mencari Kak Esah bukan mahu dia dibawa balik ke kampung semata-mata malah mahu menyelamatkan dia daripada terus terjebak (komunis).

"Bagaimanapun, usaha abang-abang saya ini menemui jalan buntu sekalipun mereka telah ke rumah Kak Esah di London namun kakak saya itu tetap enggan keluar bertemu. Sehinggalah ada antara abang meninggal dunia pun, Kak Esah belum ditemui," katanya.

Katanya, beliau adalah orang terakhir yang bertemu Siti Aishah pada tahun 1981 di London.
Mohd Tahir turut menambah, pengaruh komunis pada Siti Aishah ketika itu dapat dilihat melalui lencana Mao Zedong yang dipakai di bajunya. Malah, katanya lagi, dua rakannya yang hadir juga memakai lencana sama.

"Dia hadir dalam keadaan yang terurus dengan penampilan yang bersih cuma ketika mahu tidur, dia tidak memerlukan bantal, sekadar beralaskan lengan... Itu membuktikan hidup yang dialaminya sehari-hari," beliau dipetik sebagai berkata.

Haluan kiri punca putus tunang

Sementara itu, dalam laporan Sinar Harian pula, Siti Aishah pernah bertunang dengan seorang lelaki dari daerah Jelebu yang dikenali sebagai Omar Munir.

Sepertimana yang dimaklumkan adik kepada bekas tunang Aishah, Shamsuri Munir, hubungan tersebut tidak berpanjangan disebabkan wanita terbabit memilih jalan untuk terus bersama kumpulan berhaluan kiri di kota London.

Shamsuri menjelaskan dalam harian itu, selepas abangnya tamat pengajian di London dan pulang ke negara ini, dia memberitahu keluarga bahawa mereka sudah putus.

"Selepas mereka ke UK, saya tidak tahu lagi tentang abang dan Aishah kerana ketika itu saya masih bersekolah. Cuma saya ingat selepas tiga atau lima tahun abang menamatkan pengajian di sana, dia pulang dan memberitahu sudah putus tunang," katanya seperti laporan Sinar Harian.

Pertemuan di lokasi rahsia

Sementara itu, berdasarkan laporan Awani hari ini, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London, Datuk Seri Zakaria Sulong telah mengesahkan pertemuan antara Kamar Mahtum Abdul Wahab dan adiknya yang lama hilang.

Pertemuan setengah jam telah diatur oleh Ibu Pejabat Metropolitan Police Service, Scotland Yard di lokasi yang tidak didedahkan.

Bahkan, ini kali pertama kedua-dua bertemu sejak ketibaan Kamar Mahtum di London.

Dalam laman Awani, Zakaria juga berkata Kamar Mahtum telah meminta kakaknya untuk menulis surat kepada ahli keluarga sebagai tanda ingatan keluarga di Malaysia.

Pada masa yang sama dalam laporan itu, Siti Aishah juga diberi jaminan bahawa Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan membantu beliau dalam setiap perkara yang diperlukan.

Zakaria dalam portal itu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Britain bagi kerjasama dalam mempertemukan dua beradik itu.
Sumber : Malaysiakini

Baca lagi >>

Kisah penuh Aishah yang menjadi hamba selama 30 tahun di London siri 1

Sebuah keluarga dari Jelebu, Negeri Sembilan telah mengesahkan bahawa wanita yang didakwa menjadi hamba selama 30 tahun di London adalah ahli keluarga mereka yang hilang sejak 30 tahun lalu selepas menyertai kumpulan Maoist disana. 
Hishamuddin Rais dan Kamar Mautum
Guru pencen Kamar Mautum Abdul Wahan berkata beliau yakin adiknya yang kini berumur 69 tahun, Siti Aishah Abdul Wahab adalah wanita Malaysia yang ditahan oleh pemimpin kumpulan Komunis Moa sejak 30 tahun lalu
Gambar Aisyah yang diambil pada tahun 1997 dalam dokumentari ITV News
Katanya, kehilangan Aishah telah menyebabkan kesedihan kepada keluarganya. Kamar berkata, ibunya memberikan wasiat agar menjejaki apa yang berlaku kepada anak perempuannya yang tidak pernah pulang itu, lapor the Daily Telegraph. 


"Saya sangat sedih tanpa dia di sini tahun demi tahun. Dia sangat berbakat, dia juga menjadi buah hati pada emak saya. Emak menyebut namanya sebelum menutup matanya. Bila emak saya meninggal, dia (Aishah) tidak mahu bercakap dengan kami dan saya tidak boleh berbuat apa-apa" katanya kepada akhbar British itu.
Gambar Aishah sewaktu muda yang disimpan ahli keluarganya. Gambar ihsan The Telegraph, UK.
Aishah belajar di sekolah yang paling elit di Malaysia dan mendapat anugerah biasiswa Komanwell untuk belajar dalam bidang Jurukur Bahan di London. 
Dia berlepas ke Britain pada tahun 1968 bersama tunangnya dan berhasrat untuk mencapai cita-cita untuk keluarga tetapi kemudiannya terlibat dengan kegiatan politik melampau yang menyebabkan dia melupakan segala-galanya untuk mengikut ajaran Maoist.

Dia Terpengaruh dengan Aravindan Balakrishnan dan isterinya, Chanda yang telah ditangkap minggu lalu atas dakwaan menahan tiga wanita tanpa kerelaanya melebihi tiga dekad di London. 
Aravindan Balakrishnan juga dikenali sebagai Comrade Bala.
Isterinya Chanda di kerusi roda.
Sementara itu, BBC melaporkan bahawa seorang jiran, Charlotte Watts, berkata seorang daripada tiga wanita ditahan di rumah Brixton, berdiri di hadapan tingkap selama "berjam-jam", sambil memegang nota, tetapi tidak dapat difahami.

Beliau juga dipetik sebagai berkata bahawa wanita itu pernah dilihat di luar rumah tetapi hanya berdiam diri.

Media British melaporkan bahawa tiga wanita iaitu Siti Aishah, 69, rakyat Ireland Josephone Herivela, 57, dan Rosie Davis, 30 didakwa diperhambakan oleh rakyat India Aravinda Balakrishnan dan isterinya Chandra.

Dia adalah salah seorang dari 3 wanita yang dibebaskan pada 25 Oktober di London selepas salah seorang daripada mereka menghubungi pertubuhan kebajikan. Dua lagi wanita adalah warga Ireland berumur 57 tahun dan warga Britain berumur 30 tahun.
Hishamuddin Rais menemani Kamar Mautum ke London untuk berjumpa Aishah.
Aktivis, Hishamuddin Rais yang hidup dalam buangan di London pada lewat 1970-an berkata kepada The Malaysian Insider, Siti Aishah aktif dalam kumpulan mahasiswa Malaysia berhaluan kiri yang menggelarkan diri mereka "New Malayan Youth" di ibu kota Britain pada ketika itu. 

"Abang dia ada cari saya pada 1991 minta tolong carikan Aishah yang dikatakan hilang, kerana kami berasal dari daerah yang sama iaitu Jelebu, Negeri Sembilan dan kakak kepada Siti Aishah adalah guru saya di sekolah menengah. Saya juga menetap di Brixton, London, dimana lokasi wanita itu ditemui" kata bekas aktivis mahasiswa itu. 

Hishamuddin yang pulang ke Malaysia pada 1994 selepas bertahun hidup dalam buangan berkata, Siti Aishah adalah bekas penuntut Kolej Tunku Kursiah (TKC) Seremban dan kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang Jurukur Bahan (QS) di London di bawah biasiswa "Colombo Plan"

Akhbar Britain melaporkan pasangan yang ditahan ialah Aracindan Balakrishnan, juga dikenali sebagai 'Comrade Bala" dan isterinya Chanda dari Tanzania. "Comrade Bala" juga turut dikenali sebagai "Chairman Ara" dan berasal dari Singapura. 

Polis Britain mengesahkan pasangan itu pernah ditahan pada 1970an tetapi tidak menyatakan sebabnya. Polis enggan mengesahkan identiti pasangan itu yang dibebaskan dengan ikat jamin sehingga Januari 2014 tetapi mengatakan ketiga-tiga wanita itu tidak kelihatan seperti didera secara seksual. Polis tidak menolak dakwaan wanita itu dipukul.
Rumah tempat ketiga-tiga wanita itu ditemui.
Turut difahamkan, wanita Malaysia itu berada dalam keadaan yang sangat trauma dan ditempatkan di satu lokasi selamat tetapi alamat rumah lokasi dimana jenayah tersebut berlaku tidak didedahkan. 

Ketiga-tiga mangsa bebas daripada 'Perhambaan" selepas salah seorang daripada mereka menghubungi badan kebajikan Freedom Charity pada 18 Oktober. 

Laporan media juga menyebut mangsa didera secara fizikal dan dikawal emosi dalam kes perhambaan yang disifatkan sebagai "rumit dan menyayat hati"

Polis dipetik sebagai berkata, mereka masih menyiasat apakah "gari tidak nampak" yang digunakan untuk memanipulasi ketiga-tiga mangsa.
Sumber : Acik 515

Baca lagi >>

Seorang pelajar Malaysia Maut kemalangan di Jawa Timur

Seorang pelajar Malaysia yang sedang menuntut di sebuah pesantren meninggal dunia pada Jumaat setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jawa Timur.

Shahrul Ramadhan Mazlan, 13, penuntut Pesantren Santri PP. Al-Qurroh Sondel Kaumrejo Ngantang, Malang dilaporkan hilang kawalan ke atas motosikal yang dinaikinya sebelum ia melanggar tembok jalan kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Kemalangan berlaku di Jalan Raya Sumberagung, Ngantang.
Difahamkan Shahrul Ramadhan baru empat bulan menjadi pelajar tahfiz di pesantren itu.

Menurut Education Malaysia Indonesia, pelajar itu meninggal di tempat kejadian dan jenazahnya dibawa ke Hospital Umum Daerah Dr Saiful Anuar untuk bedah siasat.

Laporan Pemeriksaan Kematian menyatakan punca kematian adalah disebabkan kecederaan parah di kepala.

Mangsa dilaporkan tidak memakai topi keledar.

Bapa pelajar berkenaan, Mazlan Ismail telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan telah memberi surat kebenaran kepada pihak pesantren dan Kedutaan Besar Malaysia untuk menguruskan pengkebumian jenazah anaknya di Malang.

Bapanya juga akan menyusul ke Malang.

Sumber : BERNAMA

Baca lagi >>

Enam terbunuh, seorang parah di Mukah

KUCHING, 29 Nov - Enam orang terbunuh sementara seorang lagi parah dalam nahas antara sebuah Perodua Kancil dan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux di Km 14 Jalan Mukah-Selangau petang tadi.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Omar Bakhtiar Yaacob berkata mangsa yang terbunuh ialah lima orang yang berada di dalam Perodua Kancil tersebut termasuk pemandunya serta seorang penumpang Toyota Hilux itu.

Kesemua mangsa meninggal di tempat kejadian.
Gambar hiasan
"Kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Kancil yang dipandu Mohd Hisham Abdullah, 40, dari Kampung Bruit, Daro bersama keluarganya yang dalam perjalanan dari arah Sibu ke Mukah bertembung dengan Toyota Hilux itu.
"Akibat pertembungan itu, pemandu dan lima penumpang di dalam kereta tersebut tercampak dan tersepit di bahagian hadapan kereta.

"Salah seorang penumpang lelaki dari tiga penumpang di dalam Toyota Hilux yang duduk di bahagian belakang pula maut selepas terhantuk pada kerusi di hadapan mereka," katanya ketika dihubungi.

Omar Bakhtiar berkata yang parah ialah penumpang Perodua Kancil berkenaan iaitu Nur Syafiqah, 14, dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di Hospital Sibu.

"Semua mayat dihantar ke Hospital Mukah untuk bedah siasat. Polis sedang berusaha mendapatkan butiran kesemua mangsa yang terlibat dan punca kejadian masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau berkata pihak polis dan bomba mengambil masa hampir tiga jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan mereka.
Sumber : BERNAMA

Baca lagi >>