Friday, 29 November 2013

Kereta bekas usahawan komputer ditembak

Seorang bekas peniaga barangan komputer hari ini terkejut apabila menemui dua kesan tembakan pada kenderaannya yang diparkir dalam kawasan pagar rumah di Jalan U5/8 Mutiara Subang, Sungai Buloh dekat ibunegara.
    
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Junaidi Bujang berkata mangsa yang berusia 58 tahun itu hanya menyedari kenderaan jenis sport utility (SUV) tersebut ditembak pada pukul 8 pagi ketika mahu menggunakan SUV berkenaan.
"Sejurus keluar rumah, mangsa melihat cermin belakang keretanya telah pecah dan terdapat satu lubang kesan tembakan di bahagian bonet dan satu lagi di bahagian stereng," katanya yang mengesahkan kejadian ketika dihubungi.
Katanya mangsa tidak mendengar sebarang bunyi letupan atau tembakan namun ada dimaklumkan oleh anak lelakinya yang terdengar bunyi letupan sebanyak dua kali kira-kira pukul 1.30 pagi.
    
Anak mangsa kemudian memeriksa keadaan di dalam rumah namun tidak menemui sebarang keganjilan, katanya.
    
Junaidi berkata mangsa kini tidak lagi bekerja selepas berhenti menjalankan perniagaan komputer sejak lebih setahun lalu dan polis sedang menyiasat motif kejadian.
    
Sementara itu, seorang pemuda yang tinggal di rumah berhadapan dengan rumah mangsa berkata dia terdengar bunyi letupan seakan bunyi mercun sebanyak dua kali kira-kira pukul 1.30 pagi.
    
"Ketika itu saya sedang bermain komputer di ruang tamu dan tiba-tiba terdengar bunyi letupan... saya pergi ke tingkap untuk melihat apa yang berlaku, tapi sebab gelap saya tidak nampak apa-apa," kata pemuda berusia 19 tahun itu kepada  pemberita.
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Cukup-cukuplah tertipu dengan peraduan gores dan menang

Meskipun pelbagai peringatan dan nasihat diberi pelbagai pihak, termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, namun masih ramai yang terpedaya serta tertipu dengan peraduan gores dan menang di negara ini.
Menteri berkenaan Datuk Hasan Malik berkata antara faktor orang ramai tertarik dengan peraduan ini ialah caranya yang mudah dan hadiah lumayan yang ditawarkan.

"Modus operandinya ialah mendekati mangsa di kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar raya dan pusat membeli-belah, dan orang yang dikatakan bertuah terpilih untuk memenangi hadiah istimewa daripada 'syarikat' perlu melakukan cabutan kad peraduan yang pastinya akan memenangi salah satu hadiah istimewa seperti kereta sehinggalah wang tunai beratus ribu ringgit.
"Mangsa yang telah menggores keratan kad peraduan ini dan memenangi hadiah barangan elektrik perlu ke pejabat syarikat untuk melakukan gores kedua bagi hadiah yang lebih hebat seperti sebuah kereta atau pelancongan ke luar negara mahupun wang tunai beratus ribu ringgit," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program jualan kembali ke sekolah di sini hari ini.

Beliau berkata di pejabat syarikat gores dan menang, mangsa akan dipujuk membuat sejumlah bayaran sehingga puluhan ribu ringgit, kononnya bagi proses pengiklanan, insurans dan sebagainya jika mereka ingin memenangi hadiah itu.

Beliau berkata mangsa yang tidak mempunyai wang tunai di tangan akan diminta mengeluarkan simpanan dari bank, dan ada juga diminta menggadaikan barangan kemas.

"Mangsa yang termakan dengan tawaran ini akhirnya akan menyerahkan wang mereka. Mangsa mula menyedari diri mereka tertipu apabila scan kad peraduan itu tidak menawarkan hadiah sebagaimana yang dijanjikan," katanya.

Hasan, yang juga anggota Parlimen Kuala Pilah, berkata bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas, sebanyak 578 aduan berhubung penipuan gores dan menang dikesan kementerian ini yang menyaksikan Kuala Lumpur, Johor serta Negeri Sembilan mencatat kes tertinggi.

Beliau berkata bagi tempoh itu, sebanyak 86 aduan membabitkan kerugian RM836,500 dikesan di Negeri Sembilan.

Selain menasihati orang ramai agar menjauhi individu tidak dikenali yang menawarkan hadiah istimewa dengan cara mudah melibatkan pengeluaran wang, Hasan meminta mereka melaporkan kegiatan itu kepada kementeriannya dengan segera. 
Sumber : Bernama, Sinar Harian

Baca lagi >>

Shila Amzah kecewa kali kedua?

"Ku semai kasih di halaman kontang, jemu aku membaja tunasnya layu jua...." 

Lirik lagu kumpulan Scan ini, mungkin lebih dekat untuk membayangkan perasaan penyanyi cantik, Shila Amzah.
Mana tidaknya, hubungan teman mesra yang mendapat restu ibu bapa ini akhirnya kecundang di tengah jalan apabila pelakon, Johan Asaari, memilih pelakon seksi, Lana Nordin sebagai permaisuri hidupnya.

Walaupun Shila dan Johan tidak pernah mengaku sedang melalui fasa-fasa bahagia,  namun mereka dilihat mesra dan sering tampil bersama dalam majlis-majlis hiburan.
Malah, baru-baru ini, Shila dan Johan turut bersama-sama menghadiri majlis perkahwinan pelakon kacak, Fizo Omar dan Mawar Abdul Karim.

Entah di mana silapnya, ini merupakan kekecewaan kedua Shila apabila hubungan cintanya bersama pelakon, Sharnaaz Ahmad, berakhir kerana gagal mendapat restu orang tua.

Keputusan Johan nyata memberi tamparan hebat kepada Shila, malah menerusi akaun mikro, Twitter, Shila turut menulis beberapa bait yang menggambarkan perasaannya.

Antaranya, Shila turut menulis, "Pilih.. Jaga hati.. dan fikiran.. Pilih yang terbaik.. Jangan biar diri kecundang dek perasaan.. Biar terus mara ke depan ikut kewarasan..".

Usaha Zass untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada pelantun lagu, Masih Aku Cinta ini, tidak berhasil apabila talian telefon tidak aktif. 

Pun begitu, Shila sangat terbuka berkongsi perasaannya bersama pengikut di Twitter dan Instagram dan memberitahu dia menerima segala ketentuan takdir buatnya.

"Tak apa, jodoh ALLAH yang tentukan, Sha terima siapa pun jodoh Sha. Doakan yang terbaik lagipun ALLAH tahu dan ada hikmah semuanya,” katanya yang menjawab respons peminat.

Selain itu, Shila juga turut berjanji, tidak akan mengulangi perbuatan yang mengaibkan dirinya dan keluarga seperti sebelum ini.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Punca budak 6 tahun cuba terjun hotel

Miri: Selepas lima jam insiden membabitkan cubaan seorang pelajar lelaki terjun dari tingkat tiga Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini, penduduk di bandar ini sekali lagi digemparkan dengan tindakan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikatakan cuba terjun dari balkoni sebuah hotel di Jalan North Yu Seng, di sini, jam 1.45 petang tadi.
Gambar hiasan
Difahamkan, kejadian dipercayai berpunca berikutan berlaku pertengkaran antara kanak-kanak terbabit dengan ibu bapanya berhubung satu perkara sebelum bertindak mengancam terjun dari balkoni di tingkat 11 hotel terbabit.
Bagaimanapun, tindakan pantas ibu bapa kanak-kanak terbabit yang menarik tangan anaknya berjaya mengelak sebarang kejadian tidak diingini. 

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri mengesahkan menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada jam 1.34 petang tadi.

Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>

Cukai pintu tetap naik bermula 1 Jan 2014

KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan kenaikan kadar baharu cukai taksiran pintu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan ditangguh sebaliknya berkuat kuasa pada 1 Januari depan.
Beliau berkata mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan kenaikan itu boleh mengemukakan bantahan atau rayuan kepada DBKL sebelum 17 Disember ini.
    
Bagaimanapun, Tengku Adnan menjelaskan bahawa pembayar cukai boleh menangguhkan pembayaran sehingga bulan Mac 2014, iaitu selepas DBKL mendengar bantahan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu.
"Kami boleh menangguhkan pelaksanaannya kerana pada 17 Disember, kami akan mendengar semua bantahan dan Datuk Bandar serta panelnya akan mengadakan satu prosiding yang dijangka memakan masa sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sebahagian Jalan Segambut yang dinaik taraf di sini hari ini.
    
Semalam, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr J.Loga Bala Mohan memaklumkan persidangan Dewan Rakyat bahawa kenaikan kadar baharu cukai pintu DBKL akan ditangguh sehingga Mac tahun depan bagi membolehkan sesi pendengaran bantahan dilaksana mulai Januari depan, yang dianggar mengambil masa tiga bulan.

Tengku Adnan juga berkata kajian semula kadar baharu cukai berkenaan akan dibuat berdasarkan kadar sewaan dan bukan mengikut nilai hartanah kerana ia lebih adil selain memberi kebaikan kepada rakyat.
    
Beliau berkata tindakan itu memberi keuntungan kepada rakyat kerana cukai pintu akan ditaksir berdasarkan nilai sebenar hartanah.

"Saya menaikkan kadar sewaan (cukai pintu). Bagi tempoh 21 tahun lepas, mereka mungkin mengutip sewa sebanyak RM6,000 (sebulan), dan kini dengan kadar baharu cukai pintu, mereka boleh menyewakan (hartanah mereka) pada kadar lebih tinggi, mungkin RM7,000 (sebulan). Jadi, mereka tahun nilai sebenarnya," katanya.
    
Tengku Adnan turut memperjelas kaedah atau struktur cukai mengikut kadar sewaan hartanah.
    
"Katakan anda mendapat sewaan sebanyak RM500, anda kali dengan 12 dan anda dapat RM6,000. Kami kenakan caj sebanyak enam peratus bagi jumlah itu.

Katakanlah kadar sewaan anda ialah RM1,000 dan bukan RM500 sebulan, jadi RM1,000 akan jadi RM12,000 maka kami akan caj enam peratus bagi jumlah ini," katanya.    
    
Beliau juga berkata DBKL mengambil beberapa langkah seperti menghantar petugas melakukan pemantauan, menggunakan ejen hartanah, membuat iklan dan kaji selidik melalui telefon bagi menentukan keberkesanan kajian semula kadar cukai pintu mengikut kadar sewaan semasa. 
Sumber : Bernama, Sinar Harian

Baca lagi >>

Ranking bola sepak dunia Malaysia naik dua anak tangga

KUALA LUMPUR - Kekalahan 0-1 yang dialami skuad Harimau Malaya ketika menentang Qatar pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 pada 19 November lepas di Stadium Shah Alam, tidak menggugat kedudukan mereka dalam ranking bola sepak dunia.
Berdasarkan ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal sebaliknya naik dua anak tangga pada kedudukan ke-158 dunia berbanding 160 bulan lepas.
Pada Januari, skuad Harimau Malaya menduduki tangga ke-158 disusuli 159 pada Februari, 164 (Mac), 163 (April), 161 (Mei) selain kekal pada kedudukan ke-159 dunia pada Jun, Julai dan Ogos (162) selain tangga ke-161 dunia pada September.

Kedudukan terbaharu itu meletakkan pasukan kebangsaan setanding dengan beberapa pasukan lain seperti Guyana di tempat ke-150, Liechtenstein (152), Bangladesh (156), Belize (157) dan Nicaragua (160).

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia naik satu anak tangga ke kedudukan kelima di belakang Filipina (133), Myanmar (140), Thailand (142) dan Singapura (154).

Di peringkat Asia, Malaysia kekal berada pada kedudukan ke-31 daripada 46 negara.

Sementara itu, naib juara Piala Konfederasi 2013, Sepanyol terus mengekalkan status selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,507 mata walaupun tewas mengejut 0-1 kepada Afrika Selatan pada aksi persahabatan antarabangsa di tempat lawan baru-baru ini.

Jerman dan Agentina pula mengekalkan kedudukan sebagai pasukan kedua dan ketiga terbaik dunia selepas masing-masing mengumpul 1,318 mata dan 1,251 mata.

Kedudukan ranking FIFA itu melibatkan 209 negara. 
Sumber : Bernama, Kosmo

Baca lagi >>

Elektrik naik antara 10 ke 20 peratus tahun depan

KUALA LUMPUR - Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menjangkakan tarif elektrik akan naik dua digit tahun depan berikutan langkah merasionalisasikan subsidi oleh kerajaan.
    
Presiden FMM Tan Sri Yong Poh Kon berkata kenaikan tarif elektrik ini meresahkan pasaran, namun pekilang sudah pun menjangkakannya.
"Kerajaan kerap menyatakan ia perlu mengurangkan subsidi dan pembiayaan pengimportan gas cecair asli, oleh itu kami menjangkakan tarif elektrik akan naik.
"Kami harap kenaikan tarif itu dilakukan secara beransur-ansur dan tidak dilaksanakan sekali gus.
    
"Kami tidak tahu lagi jumlah sebenar kenaikan itu, jadi kita perlu menunggu pengumuman rasmi," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas mengumumkan hasil Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM-MIER untuk tempoh setengah tahun.
    
Yong berkata kenaikan tarif akan memberi impak terhadap industri yang bergantung kepada penggunaan elektrik, dan kenaikan dua digit itu semakin hampir.
    
Semalam, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata kadar elektrik dijangka naik antara 10 peratus dan 20 peratus tahun depan
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Punca remaja 13 tahun dicerai talak tiga

KULIM: “Saya kahwinkan dia kerana dia telah diperkosa,”

Itu kata ayah kepada remaja perempuan Nor Fazira Saad, 13 yang diceraikan talak tiga oleh suaminya, Mohd Fahmi Mohamed Alias, 20.
Ayah Nor Fazira, Saad Mustafa, 44, berkata demikian kepada akhbar The Star dalam satu laporan eksklusif ekoran kisah penceraian pasangan remaja terbabit yang tersebar luas di media.

Menurut Saad, dia mengizinkan pernikahan anaknya dengan Mohd Fahmi kerana Nor Fazira telah diperkosa oleh Mohd Fahmi dan dua kawan lelakinya empat bulan sebelum perkahwinan itu dilangsungkan.
Saad memberitahu The Star bahawa kes itu telah dilaporkan kepada polis pada 15 Julai 2012, namun dia didatangi ibu bapa Mohd Fahmi selama beberapa hari berturut-turut merayu agar laporan itu ditarik balik kerana tidak mahu Mohd Fahmi disabit kesalahan dan menerima hukuman penjara.

Ekoran rayuan itu, dia sebagai bapa memahami permohonan mereka dan bersetuju untuk menarik balik laporan polis yang dibuat serta menikahkan anaknya dengan Mohd Fahmi yang ketika itu berusia 19 tahun pada 17 November 2012.

Nor Fazira turut memberitahunya pada Oktober 2013 bahawa dia tidak tahan dengan layanan keluarga mertuanya dan memutuskan untuk meminta cerai. Saad turut berkata bahawa keluarga Mohd Fahmi memang tidak menyukai anaknya dari mula perkahwinan dan Nor Fazira juga selalu didera secara fizikal serta tidak diberi makan oleh keluarga mertuanya.

Mohd Fahmi yang ditemui oleh The Star pula menafikan dakwaan Saad dan berkata dia hanya meniduri Nor Fazira setelah mereka sah diijabkabulkan.

Memetik Mohd Fahmi sebagai berkata kepada The Star, dia menceraikan Nor Fazira kerana bekas isterinya itu mempunyai hubungan sulit dengan seorang lelaki dari Kuala Ketil.

Nor Fazira juga ujar Mohd Fahmi, biadab terhadap keluarganya dan tidak pernah memasak serta selalu keluar dari rumah sekiranya tidak puas hati.

Mohd Fahmi turut menafikan dakwaan bahawa Nor Fazira didera dan tidak diberi makan. Tambahnya lagi, keluarga mereka melayan Nor Fazira dengan baik walaupun perlakuan remaja wanita itu teruk.
Sumber : Astro Awani

Baca lagi >>

Rahsia umur panjang Saadiah Hamad 107 tahun

Kepala Batas: Kopi ‘O’ dan ulam pegaga antara amalan rahsia seorang warga emas terus kekal sihat pada usianya kini 107 tahun.

Kelewatan membuat kad pengenalan diri ketika kecil menyebabkan tarikh lahir sebenar Saadiah Hamad dari Simpang Empat Permatang Buloh, dekat sini, tidak mencatatkan usia sebenarnya, sebaliknya dia diletakkan berusia 99 tahun.
Cucu Saadiah, Adila Hashim memberikan kopi O kepada neneknya.
Menurut Saadiah, kesukaran hidup ketika kecil menyebabkan keluarganya lewat membuat kad pengenalan diri selain dokumen penting kelahirannya hilang.

“Kalau tanya petua untuk usia panjang, saya ada petua khusus iaitu kuat makan ulam pegaga dan mengkudu serta minum kopi ‘O’ tanpa tapis sejak muda,” katanya ketika dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Abdullah Hassan, di sini, semalam.
Saadiah mempunyai tujuh anak, tetapi dua daripadanya sudah meninggal dunia ketika masih kecil manakala anak sulungnya, Mat Salleh meninggal dunia ketika berusia 85 tahun.

Walaupun sudah berusia, tetapi dia tidak menghidap sebarang penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung seperti kebanyakan warga emas lain.

“Saya cuma lenguh kaki dan sakit pinggang. Tetapi, kalau hendak cari orang tua macam saya di kampung ini memang sudah tidak ada.

“Sekarang mahu cari usia lebih 60 tahun pun susah,” katanya yang mempunyai lebih 30 cucu, lebih 30 cicit dan 15 piut.

Selain mengamalkan ulam pegaga dan kopi ‘O’, dia juga kurang mengambil makanan berminyak selain tidak berdendam dengan sesiapa menyebabkan kehidupannya tenang walaupun tidak kaya.

Anak bongsu Saadiah, Aishah Salleh, 67, berkata, usia sebenar ibunya ialah 107 tahun.

“Saya dilahirkan ketika ibu berusia 40 tahun manakala bapa Salleh Mat Saman meninggal dunia ketika berusia 70-an.

“Kami sekeluarga sering makan ulam kerana tinggal di kampung dan kebanyakannya berusia panjang.

“Ibu pula memang tidak lepas kalau ada ulam pegaga dan selalu bangun jam 2 pagi untuk minum kopi ‘O’,” katanya.

Menurutnya, ibunya juga tidak pernah bergaduh dengan sesiapa menyebabkan kehidupannya tenang.
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>

Bapa tersalah tembak anak menyebabkan kematian

Seorang peniaga makanan, tertembak anak sendiri yang disangkanya penyamun yang memasuki kawasan rumahnya di Kampung Baru Balakong, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata dalam kejadian 10.16 malam itu, peniaga berkenaan yang berusia 76 tahun, dikatakan terdengar jeritan minta tolong pekerjanya seorang lelaki warga Myanmar dari sebuah pondok di belakang rumahnya.

Tersentak dengan jeritan pekerjanya itu, peniaga berkenaan terus mengejutkan anak lelakinya, berusia 51 tahun, dan segera mendapatkan selaras senjata api jenis semi auto dipercayai untuk menembak penceroboh itu.
"Kedua-dua beranak itu terus keluar dari rumah mereka untuk melihat apa yang berlaku di kawasan pondok pekerja mereka.

"Dalam keadaan gelap itu, anak peniaga berkenaan yang bersenjatakan sebilah parang terus meluru ke hadapan tanpa disedari bapanya,” kata Ab. Rashid pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, dekat sini hari ini.

Ab. Rashid berkata, peniaga itu yang kemudian terlihat kelibat seseorang, terus melepaskan tiga das tembakan.
"Satu daripada tembakan itu mengenai kepala anaknya dan menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, peniaga itu ditahan untuk membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini. 
Sumber : Bernama, Kosmo

Baca lagi >>

Lori tangki minyak terbakar di Lebuhraya Duke

Sebuah lori tangki milik Syarikat Well Mate terbakar di Lebuhraya Duta - Ulu Kelang, Duke petang tadi. 
Kejadian berlaku jam 1.30 petang di Kilometer 3.7 Arah Barat menghala ke Jalan Duta. 

Kebakaran ini menyebabkan kesesakan dari lokasi kejadian sehingga ke Ayer Panas, Setapak. 
Pegawai kawalan trafik duke bertugas di lokasi yang dihubungi Berita TV9 menjelaskan, punca kejadian disebabkan getah tayar belakang lori cair akibat terlalu panas sehingga menghasilkan api ekoran tumpahan minyak pada lori. 

Hanya bahagian belakang lori yang terbakar.  

Lima buah lori dan dua buah motosikal bomba dikerah ke lokasi kejadian untuk mengawal keadaan. 

Api berjaya dipadam sejam selepas itu. Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan. 

Sehingga kini, proses pemindahan minyak dari tangki sedang giat dijalankan dan mengambil masa kira-kira dua hingga tiga jam. 

Semuanya dijangka pulih pada pukul 10 malam ini.
Sumber : Berita TV9

Baca lagi >>