Thursday, 28 November 2013

Pelayan seksi di Pub Buluh

Berkonsepkan hutan rimba, sebuah pub bukan saja menyediakan pelayan pelanggan (GRO) seksi warga asing, malah turut menyiarkan tarian erotik di televisyen untuk tatapan pelanggan.
Difahamkan, pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen itu direka bentuk menggunakan buluh dan suasana gelap bagi menarik pelanggan yang inginkan kelainan ketika berhibur.

Bagaimanapun, taktik pemilik premis beralamat di tingkat 1, Pusat Komersil Cheras, di sini itu terbongkar selepas diserbu Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Kuala Lumpur, kira-kira 1.30 pagi semalam.
Dalam operasi yang diketuai Inspektor Zahirudin Baharum@Baharom bersama sembilan anggotanya, pub berkonsepkan rimba itu turut menggunakan perkhidmatan warga asing yang bekerja sebagai GRO bagi menarik minat pengunjung.

“Seramai 28 pelanggan lelaki dan lima pelanggan wanita diperiksa dalam serbuan itu manakala enam wanita warga Thailand dan dua Vietnam pula ditahan kerana bekerja sebagai GRO.

“Semua GRO terbabit dibayar tip berdasarkan pembelian bir oleh pelanggan iaitu bagi empat botol bir berharga RM65, wanita itu akan mendapat tip RM3,” katanya.

Menurutnya, pusat hiburan ini sudah empat kali diserbu sebelum ini namun pemiliknya terus berdegil dengan membuka semula premis itu.


Katanya, turut ditahan seorang pekerja Myanmar yang memiliki kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang bekerja sebagai pekerja bar dan seorang lelaki tempatan yang juga penjaga premis.

Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan lanjut.
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>

BERNAS kekal janji jaga pesawah

Penyenaraian keluar PadiBeras Nasional Berhad (Bernas) dari Bursa Malaysia tidak akan menjejaskan pemegang syer serta tanggungjawab syarikat ke atas pesawah dan pengilang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata akujanji bertulis yang diterima daripada pihak Bernas juga memaklumkan penyenaraian keluar itu hanya bersifat sementara, sehingga proses penstrukturan semula syarikat berkenaan selesai.
"Bernas hendak distrukturkan semula dan ia melibatkan seluruh syarikat induk. Yang terlibat Nafas (Pertubuhan Peladang Kebangsaan) dan Nekmat (Persatuan Nelayan Kebangsaan) yang ada lebih kurang 4.7 peratus dan 4.3 peratus pegangan syer masing-masing.

"Tapi tawaran yang diberi kepada Nafas dan Nekmat sangat menguntungkan. Nilai syer sekarang yang dibeli oleh Nafas pada harga RM200,000 dahulu, akan membawa pulangan sebanyak RM60 juta jika ia dijual.
"Selepas selesai (penstrukturan semula), Bernas akan di senarai semula di Bursa Malaysia dengan Nafas dan Nekmat ditawarkan lima peratus pegangan syer syarikat, iaitu lebih banyak dari sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Lembaga Pertubuhan Peladang di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai penstrukturan semula Bernas dan kesannya kepada pemegang saham.

Kabinet tidak menghalang proses berkenaan selagi Bernas tidak lari daripada tanggungjawab asal yang dilakukan sebelum ini, katanya.

Ismail Sabri juga menempelak pembangkang yang cuba membesar-besarkan isu itu yang sebenarnya memberi keuntungan kepada pihak yang terbabit.

"Soalnya sekarang, keluar atau tidak, janji Bernas dengan kerajaan itu masih kekal. Mereka janji jaga kepentingan pesawah, harga minimum padi yang dijanjikan, jaga kepentingan kilang-kilang beras Bumiputera selain menguruskan subsidi oleh kerajaan.

Semua janji itu dikekalkan," katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian juga dalam perancangan menaik taraf Institut Pertanian Semenanjung Malaysia kepada sebuah institusi pengajian tinggi swasta yang memberi fokus kepada aspek praktikal dalam bidang itu.

"Jika kertas cadangan ini diterima Kabinet, kita akan mulakan sesi pengajian pada 2015," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta para petani, pesawah dan peladang perlu menjadikan inovasi sebagai satu budaya dalam pekerjaan, termasuk dalam cara berfikir dan menyelesaikan masalah.

Inovasi bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan hasil keluaran petani dan penternak, malah memberi pulangan kewangan yang berlipat ganda, katanya. 

Beliau turut menggalakkan setiap produk inovasi yang dicipta, dipatenkan agar ia tidak disalah guna pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyampaikan anugerah inovasi kepada pemenang Anugerah Inovasi LPP 2013.
Sumber : Bernama, Sinar Harian

Baca lagi >>

Gaji MB Selangor lebih rendah daripada gaji Ketua Menteri Sarawak

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan kenaikan gaji beliau, anggota-anggota exco, speaker dan timbalan speaker yang dianggap masih rendah dan munasabah.
Beliau berkata kenaikan gaji antara 80 hingga 400 peratus itu dibuat selepas mengkaji pelbagai faktor, termasuk mengambil kira kenaikan yang diterima Adun serta anggota pentadbiran negeri Sarawak.

"Kita naikkan gaji di Selangor ini kerana tidak mahu wakil rakyat kita buat kerja luar untuk tampung perbelanjaan mereka.
"Saya juga berpendapat kenaikan ini munasabah sebab kita hendak servis kepada rakyat. Malah, kalau di sektor swasta, gaji seperti ini tidak tinggi.

Kita juga tidak boleh sorok pendapatan sebab kita setuju setiap harta dan pendapatan mesti diumumkan, biar rakyat tahu," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dun Selangor di sini, hari ini.
    
Abdul Khalid turut menafikan kenaikan gajinya lebih tinggi daripada jumlah yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
    
"Lebih baik semak betul angka ini... kalau semak boleh jadi (gaji) perdana menteri lebih tinggi. Gaji di Selangor dikira berdasarkan formula 75 peratus daripada kenaikan yang diterima di Sarawak.
    
"Sebagai contoh kalau gaji ketua menteri Sarawak RM39,000, gaji menteri besar di Selangor ialah RM29,000."
"Selain itu, kita sejak lima tahun lepas dapat kutip hutang yang sebelum ini gagal dikutip kira-kira RM500 juta. Dengan 10 peratus daripada hasil kutipan hutang ini, kita sudah dapat bayar gaji ini," katanya. 
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Gaji MB Selangor lebih tinggi daripada gaji PM?

Anggota-anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor hari ini menyifatkan kenaikan gaji termasuk elaun kepada menteri besar, speaker dan timbalan speaker seperti yang diputuskan sidang dewan semalam adalah tidak munasabah.
Mereka menyifatkan kenaikan itu sepatutnya perlu dikaji secara mendalam sebelum ia diputuskan kerana peratusan kenaikan itu terlampau tinggi bagi ketiga-tiga jawatan berkenaan.
    
Adun Kuang Datuk Abdul Shukor Idrus berkata berdasarkan kenaikan gaji dan elaun bagi tiga jawatan itu, timbalan speaker Dun mencatatkan peratusan kenaikan tertinggi iaitu 373 peratus bersamaan RM15,750 sebulan daripada RM3,327.
"Begitu juga dengan gaji menteri besar yang naik 106 peratus iaitu RM29,250 daripada RM14,175 sebulan diikuti gaji speaker Dun yang turut naik mendadak pada kadar 268.3 peratus iaitu kira-kira RM22,500 daripada RM6,109 sebulan, katanya ketika ditemui di luar sidang dewan di sini.
    
"Bagi saya, kenaikan (bagi ketiga-tiga jawatan ini) tidak mengambil kira denyut nadi rakyat di peringkat bawahan yang masih memerlukan lebih pembelaan daripada kerajaan negeri," katanya.
    
Sementara itu, Adun Semenyih Datuk Johan Abdul Aziz menyatakan beliau bersetuju dengan kenaikan gaji termasuk elaun bagi Adun di negeri ini pada kadar 87.5 peratus iaitu RM11,250 daripada RM6,000 sebulan seperti mana yang diputuskan oleh Dun semalam.
    
Kenaikan gaji termasuk elaun kepada Adun itu dilihat munasabah kerana ada sebahagiannya mungkin akan dipulangkan semula kepada rakyat atas peranan serta tanggungjawab seorang wakil rakyat.
    
"Namun, melihat gaji menteri besar, speaker dan timbalan speaker, kadar kenaikannya jauh lebih tinggi. Sepatutnya kalau semua naik, maka ia peratusannya perlu selaras serta munasabah bagi semua jawatan," katanya.
    
Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohd Shamsudin Lias pula berkata kenaikan elaun untuk Adun adalah patut kerana wakil rakyat merupakan tempat mereka mengadu termasuk masalah kewangan selain daripada menghadiri majlis kenduri-kendara dan kematian.
    
Bagaimanapun, beliau berkata kenaikan gaji menteri besar lebih tinggi daripada gaji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak patut dan patut dikaji semula.
   
Adun Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan pula berkata kenaikan elaun Adun memang patut diberi perhatian kerana telah lama tidak dilakukan semakan dengan keadaan semasa.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Peruntukan RM1 bilion untuk sistem kecemasan canggih

PUTRAJAYA: Orang kurang upaya (OKU), khususnya berkaitan pendengaran dan pertuturan, kini boleh memanfaatkan teknologi telefon pintar untuk mendapatkan perkhidmatan kecemasan menerusi aplikasi 'SaveME 999'.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sistem itu membolehkan OKU menghubungi pusat panggilan Malaysian Emergency Response Service (MERS 999) bagi mendapat bantuan kecemasan serta-merta.
Kerajaan membelanjakan hampir RM1 bilion ringgit bagi membangunkan MERS 999 termasuk sistem alternatif untuk OKU ini yang menghubungkan pengguna kepada lima agensi iaitu polis, bomba, Kementerian Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, katanya kepada pada sidang media, di sini Isnin.
Beliau sebelum itu melancarkan aplikasi SaveME 999 yang boleh dimuat turun secara percuma menerusi www.999.gov.my menggunakan telefon pintar dengan sistem operasi Android (versi 2.2 ke atas), iOS (versi 5 ke atas), BlackBerry (versi 6 dan 7) dan Windows (versi 7 dan 8).

Mengulas lanjut, Ahmad Shaberry berkata setakat ini sembilan negeri telah dilengkapi sistem MERS 999 manakala lima negeri lagi iaitu Perlis, Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu dijadual mempunyai sistem itu selewat-lewatnya tahun depan.

Ahmad Shabery berkata aplikasi itu adalah hasil kerjasama kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Aplikasi serupa untuk golongan cacat penglihatan juga sedang diusahakan oleh TM, katanya.

Pada masa sama, beliau meminta OKU di negara ini mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mempermudah perkhidmatan kecemasan yang disalur menerusi SaveME 999.

Setakat Jun lepas, sebanyak 464,967 OKU berdaftar dengan JKM iaitu 42,909 OKU penglihatan; 55,517 OKU pendengaran; 153,918 OKU fizikal; 170,809 masalah pembelajaran; 2,725 OKU pertuturan; 16,998 (mental) dan lain-lain 22,091 orang.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Kamaruddin Siaraf serta Pengerusi TM Datuk Seri Dr Halim Shafie. 
Sumber : BERNAMA, mStar

Baca lagi >>