Tuesday, 26 November 2013

Amaran dari Bukit Aman untuk pemilik senjata tiruan

Amaran dari Bukit Aman!

Jika pemilik senjata tiruan tanpa lesen gagal menyerahkan senjata kepada ibu pejabat polis daerah masing-masing, mereka akan dipenjara 12 bulan dan denda. 

Tempoh satu bulan diberikan bermula hari ini. 

Kata Datuk Zulkifli senjata tiruan perlu dikawal, kerana ia seperti senjata sebenar. 
Lebih membimbangkan jika ia digunakan untuk tujuan jenayah seperti rompak dan samun. 

Mana-mana individu tidak dibenarkan memiliki senjata tiruan termasuk peminat sukan menembak "paintball". 

Sejak Januari 2013 sehingga kini - polis telah menyiasat 47 kes berkaitan pemilikan senjata tiruan.  

Daripada jumlah itu, dua individu didapati bersalah di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960. Mereka dipenjarakan selama dua bulan setiap seorang.

Sumber : Berita TV9

Baca lagi >>

Wartawan wanita kena rogol beramai-ramai di India

Seorang wanita yang juga wartawan dan jurugambar, dirogol beramai-ramai di Mumbai, india.

Kata polis, mangsa yang berusia 20-an, kini dirawat di Hospital Selatan Mumbai. 

Kejadian berlaku, petang Khamis.

Menteri Dalam Negeri Maharashtra, R.R Patil yang melawat mangsa di hospital, mahu pihak bertanggungjawab ditangkap segera. 

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang rakan sekerja melakukan tugasan, di sebuah kilang tekstil yang diabai di Lower Parel.
Wilayah industri yang kini berubah menjadi lokasi penempatan mewah. 

Kata Ketua Polis Mumbai, Komisioner Satyapal Singh, mereka diserang ketika cuba mengambil gambar di situ. 
Sekurang-kurangnya, 12 saspek ditahan. 

Disember tahun lalu, seorang gadis 23 tahun dirogol beramai-ramai di New Delhi.

Mangsa kemudian mati di hospital Singapura, dua minggu kemudian, selepas mengalami kecederaan parah.
Sumber : Berita TV9

Baca lagi >>

Tiada GST untuk Bil elektrik bawah RM70

Ditanya mengenai caj cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada bil elektrik pengguna, Datuk Abdul Razak Abdul Majid Ketua Pegawai Eksekutif MyPower Corporation berkata isi rumah dengan penggunaan elektrik di bawah RM70 setiap bulan tidak dikenakan GST.
Kerajaan dalam pengumuman Bajet 2014 bulan lalu menetapkan GST pada kadar enam peratus bermula 1 April 2015.

Menyedari peningkatan kos hidup rakyat negara ini, Abdul Razak berkata, antara cara menghadapi kenaikan tarif elektrik adalah penggunaan tenaga itu secara cermat.

“Kalau kita nak guna elektrik, kita perlu guna dengan bertanggungjawab.

"Kerajaan juga ada tanggungjawab. Jika harga bahan api turun (ikut pasaran dunia), subsidi bahan api turut berkurangan jadi lebihan subsidi ini boleh disalurkan kepada rakyat memerlukan dalam bentuk lain,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

IPP tidak dapat untung daripada subsidi bahan api

Datuk Abdul Razak Abdul Majid Ketua Pegawai Eksekutif MyPower Corporation berkata, Malaysia kini mempunyai kapasiti penjanaan tenaga elektrik 20,000MW setiap hari dan permintaan pengguna industri, komersial dan pemilik rumah adalah 16,500MW setiap hari.
Menurutnya, permintaan itu dijangka mencecah 20,699 MW pada 2020.

“Kedua-dua pihak Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan pengeluar tenaga bebas (IPP) perlu penuhi kapasiti ini, kalau harapkan salah satu pihak sahaja memang tidak mencukupi,” katanya semasa ditemui dalam taklimat media, baru-baru ini.

Katanya, 50 peratus tenaga elektrik di Malaysia kini dibekalkan TNB dan 50 peratus lagi dibekalkan IPP.

Abdul Razak turut menyangkal dakwaan bahawa IPP mendapat keuntungan daripada subsidi bahan api oleh kerajaan, iaitu isu yang sering dimainkan di media sosial.

“Sebenarnya subsidi kerajaan itu adalah bagi gas milik Petronas yang dijual pada harga lebih rendah kepada TNB dan IPP berbanding harga pasaran dunia.

IPP tidak dapat apa-apa keuntungan daripada subsidi bahan api itu kerana ianya terus disalurkan kepada pengguna melalui harga tarif elektrik yang rendah,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Tarif elektrik terpaksa naik tahun depan

SAMA seperti barangan harian lain, tenaga elektrik juga tidak dapat lari daripada kenaikan kos bahan api.

Hakikat itu diakui Ketua Pegawai Eksekutif MyPower Corporation Datuk Abdul Razak Abdul Majid yang mengesahkan penilaian semula tarif elektrik di negara ini dijangka dibuat tahun depan selepas kali terakhir tarif itu dinaikkan pada 2011.
Beliau berkata, pengubahsuaian tarif itu akan dilakukan kerana kerajaan tidak mampu menanggung beban subsidi semakin meningkat akibat kenaikan kos bahan api seperti gas yang digunakan untuk menjana elektrik.
Menurutnya, MyPower Corporation, unit khas ditubuhkan kerajaan bagi memperbaharui industri pembekalan tenaga elektrik telah membentangkan kajian tarif elektrik yang kini sedang menunggu kelulusan kerajaan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah kenaikan yang dijangka dikenakan kepada pengguna jika kerajaan meluluskan penilaian semula tarif itu.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid minggu lalu turut mengesahkan kajian tarif elektrik baharu dijangka disiapkan tahun depan.

Menurut Mahdzir, antara isu yang sedang ditimbangkan ialah kos sumber tenaga dan impak tarif baharu itu kepada pengguna.

“Laporan itu akan dibentangkan kepada Majlis Penasihat Ekonomi Negara dan Kabinet untuk pertimbangan. Hanya selepas itu kita akan tahu jika tarif itu ditingkatkan atau sebaliknya,” tambah beliau seperti dilaporkan Bernama.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Bakal guru tiada jaminan tempat mengajar di sekolah

Kementerian Pendidikan tidak menjanjikan penempatan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kian Ching. 

Beliau berkata, ini kerana sebahagian besar daripada mereka bukan ditaja oleh Kementerian Pendidikan dan tidak ada sebarang ikatan perjanjian dengan pihak kementerian.

"Penempatan graduan adalah berdasarkan kepada kekosongan perjawatan yang ada. Apabila bekalan diterima, penempatan dilaksanakan mengikut kekosongan perjawatan dan keperluan opsyen," katanya. 

Yap berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini. Abdul Rahman bertanyakan mengenai mekanisme Kementerian Pendidikan dalam mengatasi kelewatan penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan sejak akhir-akhir ini. 

Beliau menambah, mulai 2012, pelantikan dan penempatan graduan pendidikan keluaran IPTA dan Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak lagi secara automatik, tetapi secara lantikan tetap dan tidak lagi lantikan secara sandaran. 
"Kementerian Pendidikan berpandangan bahawa tidak timbul isu kelewatan dalam penempatan guru baharu memandangkan semua graduan pendidikan perlu menjalani prosedur pelantikan dan penempatan yang telah ditetapkan," kata Yap. 

Jelasnya, graduan pendidikan yang tamat pengajian dan diperakukan oleh senat IPTA/IPG perlu memohon di portal www.jobsmalaysia.com bagi tujuan panggilan temuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). 

Yab berkata bakal guru hanya akan ditempatkan di sekolah-sekolah setelah mereka lulus temuduga dan diperakui oleh pihak SPP. 

"Ini bertujuan untuk memastikan guru-guru yang dilantik berkualiti dan memenuhi standard guru Malaysia. Mereka akan ditempatkan ke sekolah dengan tawaran jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41," katanya. 

Baca lagi >>

Tambang bas sekolah naik lagi?

DUNGUN - Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) menggesa kerajaan membuat keputusan berhubung cadangan menaikkan tambang bas sekolah sebanyak 30 peratus di seluruh negara sebelum sesi persekolahan bermula awal Januari depan.

Presidennya, Mohd. Rofik Mohd. Yusof berkata, pihaknya menghantar cadangan itu kepada pihak kerajaan Jun lepas namun belum menerima sebarang maklum balas.
"Harga tambang bas yang sedia ada ini sudah tidak relevan bagi pengusaha bas kerana kadar yang dikenakan sekarang merupakan kadar yang ditetapkan lima tahun lalu iaitu sejak tahun 2009 dan sekarang sudah belaku kenaikan harga minyak serta harga kos penyelenggaraan bas,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia hari ini.

Beliau berkata, cadangan itu adalah susulan peningkatan kos operasi berikutan pelarasan subsidi yang menyaksikan harga diesel meningkat 20 sen awal September lepas serta kenaikan kos penyelenggaraan bas sekolah.

Katanya, GPBSM turut mencadangkan agar kadar tambang bas bagi kawasan bandar dan luar bandar diselaras. 

Sumber : Bernama, Kosmo

Baca lagi >>

Safee Sali tidak mungkir janji dengan Selangor

PENYERANG Harimau Malaya, Safee Sali menafikan tuduhan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang mendakwa beliau seolah-olah 'mungkir janji' dengan pasukan itu apabila membatalkan keputusan untuk kembali ke pangkuan pasukan The Red Giants, sebaliknya memilih untuk kekal bersama Johor Darul Takzim (JDT).

Menerusi laman Facebook semalam, Safee yang merupakan bekas penyerang Pelita Jaya itu menegaskan bahawa tidak timbul isu mungkir janji memandangkan selama ini tiada sebarang perjanjian hitam putih yang dibuat antara dia dan pasukan Selangor.
"Memang kisah ‘U turn’ kecoh pada musim ini....di sini saya ingin membuat penjelasan bagi pihak saya sendiri. Sebelum ini saya tidak pernah sama sekali menyatakan akan menyertai mana-mana pasukan lain seperti yang diheboh-hebohkan oleh media massa atau media elektronik terutama pasukan Selangor.
"Tidak dinafikan memang ada perbincangan dilakukan dan itu untuk memberi saya pilihan mana yang terbaik untuk karier saya sebagai pemain.

"Lagipun banyak perbincangan yang dilakukan dengan berbagai kelab di Malaysia mahupun di luar negara, bukan sahaja Selangor.

"Tapi akhirnya saya memutuskan untuk kekal bersama pasukan JDT kerana misi saya di JDT masih belum selesai," katanya.

Dalam laporan media tempatan kelmarin, tindakan Safee yang secara tiba-tiba membuat pusingan U dengan menukar pendirian untuk terus kekal bersama JDT musim depan cukup mengecewakan FAS.

Walaupun sudah mendapat persetujuan secara lisan bersama dengan bayaran pendahuluan namun usaha untuk mendapatkan khidmat pemain itu akhirnya bertukar menjadi angan kosong buat skuad Gergasi Merah Kuning.

Walaupun mengakui kecewa dengan tindakan pemain berusia 29 tahun itu, namun FAS secara ‘gentleman’ menerima keputusan Safee dan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya.

Safee berkata, beliau berharap semua penyokong memahami situasi terkini dan teruskan menyokong pasukan masing-masing.

"Dengan kekecohan yang berlaku sekarang saya nampak banyak yang mengikuti perkembangan bola sepak kita sekarang..bagus dan teruskan menyokong pasukan anda masing-masing dan meriahkan lagi suasana bola sepak kita di Malaysia," ujarnya.

Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>