Monday, 25 November 2013

Kereta terbang rempuh tiang elektrik

CHENGKAU - “Saya lihat dengan jelas sebuah kereta dari arah Seremban terbang ke arah kanan jalan di hadapan mata saya sebelum merempuh sebatang tiang elektrik dan terbalik,” kata saksi kemalangan, Fatimah Mat, 51, ketika ditemui di lokasi kemalangan kilometer 30, Jalan Seremban-Tampin, dekat Pekan Chengkau, petang semalam.
Keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan di kilometer 30, Jalan Seremban-Tampin, dekat Pekan Chengkau, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 4.50 petang itu, mangsa yang memandu kereta Proton Gen2, Saliza Ros, 20, dan rakannya, Mohd Ridzwan Daud, 20, dalam perjalanan dari Nilai selepas menghadiri temu duga kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan majlis perkahwinan rakan mereka di Nilai.

Menurut Fatimah, dia yang masih terkejut dengan kejadian berkenaan beranggapan pemandu dan penumpang kereta yang terbabit dalam kemalangan berkenaan cedera teruk berdasarkan kesan rempuhan tiang elektrik.

“Bayangkan tiang elektrik yang dirempuh kereta berkenaan boleh tercabut bersama bongkah batunya dan terpelanting ke hadapan kereta.

"Sebelum ini laluan berkenaan sering berlaku kemalangan, namun ini pengalaman pertama saya melihat kemalangan di depan mata,” katanya.

Mangsa kemalangan, Saliza berkata, kemalangan itu berlaku sekelip mata dan dia hanya menyedari terbabit dalam kemalangan serta keretanya terbalik selepas dikejutkan dengan jeritan rakannya yang menyuruhnya mengucap.

Menurutnya, mereka cuba menyelamatkan diri, namun gagal membuka kereta dari dalam dan hanya berjaya menyelamatkan diri melalui bantuan orang awam.

“Saya dalam perjalanan pulang ke rumah keluarga di Desa Permai Repah. Mujur semasa kejadian kami memakai tali pinggang dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius," katanya.

Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Wanita ditetak semasa ambil duit di ATM

Bangalore, India - Seorang wanita cedera parah selepas penyerang yang tidak dikenali menyerang beliau dengan parang semasa mengambil wang di kiosk mesin ATM di pusat bandar itu selasa lepas.

Kejadian berlaku apabila penyerang menetak mangsa di kepala dengan parang di dalam kiosk ATM di bank tempat mangsa bekerja.
Mangsa bernama Jyothi Uday berumur 44 tahun (gambar) adalah seorang pengurus Corporation Bank di cawangan Mission Road. 
Suspek meninggalkan mangsa dalam keadaan cedera parah sebelum melarikan diri dengan wang tunai sebanyak Rs.2,500 dan sebuah Handphone milik mangsa," kata Timbalan Pesuruhjaya Polis DC Rajappa.
Dia diselamatkan oleh pejalan kaki yang melihat darah mengalir di jalan raya dari dalam kiosk itu yang penutupnya ditarik turun oleh penyerang itu.

Tiada pengawal keselamatan hadir di kiosk semasa kejadian itu berlaku .

Wanita yang cedera parah dan tidak sedarkan diri itu telah dipindahkan ke Hospital Victoria. Kemudian, beliau telah dibawa ke Nimhans dan akhirnya ke Hospital BGS Global, Kengeri.

Jyothi sedang bertarung nyawa di hospital sekarang. Tengkorak mangsa retak yang menyebabkan dia lumpuh di sebelah kanan.

Polis sedang pergiatkan usaha memburu suspek.

"Kami telah menyiasat kes ini di bawah seksyen 397 Kanun Keseksaan India yang melibatkan cubaan untuk menyebabkan kematian atau kecederaan parah semasa melakukan rompakan. Kami juga telah membentuk satu pasukan khas untuk memburu penyerang itu," kata Rajappa.

(Sila KLIK SINI untuk melihat video penuh. Amaran! video agak kejam dan tidak sesuai untuk sesetengah orang!)

CCTV rakaman kamera, yang diperolehi pihak polis dari pihak bank menunjukkan mangsa memasuki ATM untuk mengeluarkan wang tunai untuk hari jadi anaknya apabila penjahat mengekori beliau masuk ke dalam Kiosk ATM dan mengancam mangsa selepas menarik turun penutup kiosk dari dalam.

"Seperti yang dilihat dalam rakaman itu, penyerang itu mengeluarkan sepucuk pistol dan parang dari dalam beg sandang dan meminta Jyothi untuk mengeluarkan wang tunai dari ATM. Apabila dia cuba melarikan diri, dia menolaknya ke satu sudut dan menetaknya di kepala dengan parang. Selepas mengelap tangannya yang dipenuhi darah serta memeriksa beg mangsa, dia meninggalkan kiosk dengan sekali lagi menarik turun penutup kiosk dari luar," jelas Rajappa lagi selepas melihat rakaman itu.

Kiosk ATM terletak di tingkat bawah bangunan LIC yang menyerong bertentangan dengan Ibu pejabat Bruhat Bangalore Mahanagara Palike di Corporation Circle berdekatan dengan Balai Polis Ulsoor Gate.
Kiosk ATM tempat kejadian
"Penyerang itu tidak memakai apa-apa topeng dan dapat dilihat jelas wajahnya dalam rakaman itu, kami telah edarkan gambar suspek kepada semua balai polis dan pondok pemeriksaan untuk memerangkap suspek sebelum dia keluar dari bandar ini. Kami berharap kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin," tambah Rajappa lagi. 

Kemaskini daripada Hospital:

"Mangsa Jyothi Uday semakin pulih dan stabil setelah pembedahan yang lama dijalankan dan dia telah mampu untuk bercakap," Dr NK Venkataramana yang melakukan pembedahan di Hospital Global BGS memberitahu pemberita, sehari selepas serangan.

Beliau berkata tengkorak mangsa telah retak dan kepingan kecil tulang telah masuk ke dalam otak dan akibatnya mangsa lumpuh di sebelah kanannya.

"Secara keseluruhan keadaan pesakit adalah lebih baik. Dia sedar dan bercakap. Status neurologi (lumpuh ) tetap sama."

"Kami telah mengambil langkah berjaga-jaga dan memantau keadaannya. Diharapkan agar segalanya berjalan dengan baik. Tiada bahaya kepada nyawa dia sekarang," kata doktor.

Akibat daripada kejadian ngeri ini, Kerajaan India memberikan tempoh tiga hari kepada semua bank perdagangan untuk menyediakan pengawal di setiap kiosk ATM.
Sumber : The New Indian Express

Baca lagi >>

Polis akan tahan pesalah trafik di rumah, pejabat dan sekatan jalan

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid Hamidi berkata arahan telah dikeluarkan oleh Bukit Aman supaya waran tangkap dan saman dalam Ops Cantas Khas Trafik dikemukakan kepada pesalah  bukan hanya di kediaman malah di pejabat serta premis perniagaan seperti yang ditentukan mengikut undang-undang.
"Dalam hal ini polis tidak mempunyai kepentingan, kami hanya melaksanakan undang-undang. Dalam akhbar berbahasa Cina melaporkan polis menghantar saman kepada orang yang mati, memang ada di mana yang disaman itu telah meninggal dunia selepas itu (disaman), tetapi ini adalah kes terpencil," katanya.

Beliau berkata situasi pesalah telah meninggal dunia atau berpindah tidak boleh dianggap kelemahan polis kerana waran tangkap dan saman adalah berdasarkan nama dan alamat yang dikeluarkan.

Akhbar hari ini melaporkan polis kini memulakan gerakan besar-besaran untuk menahan 251,273 pesalah trafik di seluruh negara yang mempunyai lebih daripada dua waran tangkap di rumah, tempat kerja dan sekatan jalan raya.

Ia adalah susulan Ops Cantas Khas Trafik sejak 13 Okt lepas untuk mengesan dan menasihati 1.7 juta pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap kerana pelbagai kesalahan lalu lintas sejak lima tahun lepas. 

Sumber : Bernama, Sinar Harian

Baca lagi >>

Hilang MyKad denda lebih tinggi akan dikenakan

IPOH - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meminda Akta Fi 1951 supaya kadar denda lebih tinggi dikenakan kepada pemegang MyKad sekiranya berlaku kehilangan kad pengenalan diri itu.
Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu diambil berikutan lebih 500,000 kes kehilangan kad pengenalan dilaporkan dan ia tidak boleh dikompromi.

Bagaimanapun sekiranya kehilangan kali pertama disebabkan faktor kecuaian dan kebakaran, pertimbangan boleh diberikan untuk menggantikannya dengan kad pengenalan yang baharu, katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sebanyak 565,157 kad pengenalan Malaysia dilaporkan hilang sehingga 31 Okt tahun ini.   

Dr Wan Junaidi tidak menafikan ada kad pengenalan yang hilang itu telah diseleweng dan digunakan oleh pendatang asing tanpa izin serta dijual kepada sindiket.

Ahmad Zahid berkata siasatan akan dijalankan terhadap kes kehilangan kad pengenalan atau MyKad yang dilaporkan kepada polis bagi memastikan ia benar-benar hilang dan tidak berkaitan penipuan atau diambil kesempatan oleh pihak sindiket.

"Kita akan mencari jalan untuk membantu mereka yang benar-benar kehilangan, tetapi jika siasatan pihak polis dan Jabatan Pendaftaran Negara mendapati ia (MyKad) digunakan bagi tujuan tertentu, satu kadar denda yang tinggi akan dilaksanakan oleh pihak KDN," katanya.

Sumber : Bernama, Sinar Harian

Baca lagi >>

Liat bayar saman? Ops Cantas Khas Trafik bermula hari ini

Ops Cantas Khas Trafik akan bermula hari ini di dengan melancarkan gerakan besar-besaran untuk menahan 251,273 pesalah trafik di seluruh negara yang mempunyai lebih daripada dua waran tangkap, mulai hari ini.
Foto daripada BERNAMA menunjukkan KETUA Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memerhatikan pasukan Ops Cantas Khas Wanita ketika menghadiri majlis pelancaran Program Komuniti Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Pulau Pinang, minggu lalu.

Faktor seperti kewangan adalah penyumbang utama kepada permasalahan pengguna liat membayar saman.

Namun tidak kurang juga yang menyalahkan kemudahan untuk melangsaikan saman tidak mencukupi, ditambah dengan kesibukan kerja sehingga terlupa untuk membuat bayaran.


Selain itu, Penganalisis Jenayah Datuk Akhbar Satar turut berpendapat tidak lagi perlu diberikan diskaun ke atas nilai saman kerana ia hanya akan menambahkan sikap liat dikalangan masyarakat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga akan urut serta dalam operasi ini baki mengesan dan mengambil tindakan ke atas mereka yang cuba merasuah polis.

Baca lagi >>

Video polis trafik dipermainkan untuk elak disaman tersebar

Ketika ini, sebuah rakaman video ragam seorang warga kota ketika ditahan polis kerana melakukan kesalahan jalanraya telah menjadi trending di media sosial baru-baru ini.


Sehubungan dengan itu, Pemangku Ketua Trafik Bukit Aman, Mohd Fuad Abdul Latif ketika dihubungi mengatakan bahawa pihak polis ada kuasa untuk menahan pemandu kenderaan atau motor yang didapati  membuat kesalahan trafik.

“Pihak polis ada kuasa untuk menahan dan menangkap individu yang enggan atau menghalang polis ketika menjalankan tugas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Datuk Dr Tam Weng Wah berkata penguatkuasaan undang-undang jalanraya perlu dipertingkatkan dalam menyelesaikan masalah ini.
“Penguatkuasaan perlu dipertingkatkan selain ceramah mengenainya yang telah diadakan, kerana dimasa ini masyarakat masih berasa tidak penting untuk membayar saman."

Manakala Penganalisis Jenayah Datuk Akhbar Satar berpendapat undang-undang perlu dihormati kerana ia diwujudkan dengan bersebab.

Akhbar turut menegur sikap rakyat Malaysia yang mampu mematuhi undang-undang jalan raya ketika berada di luar negara namun tidak di negara sendiri.

“Jika kita lihat di luar negara, sebagai contohnya Singapura, rakyatnya boleh mengikut undang-undang termasuk rakyat kita jika bercuti ke sana,” ujarnya kepada pemberita.

Sumber : Astro Awani

Baca lagi >>

Pemuda ceroboh rumah warga emas dalam keadaan bogel

KUALA TERENGGANU - Perbuatan tidak ‘bertamadun’ seorang pemuda yang menceroboh masuk kediaman seorang warga emas dalam keadaan berbogel, dipercayai untuk melakukan jenayah akhirnya menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Mohd Alias diperkarangan mahkamah dihukum penjara enam bulan.
Mohd Alias Mokhtar, 29, dari Kampung Banggol Durian, Serada, di sini, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan rumah dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melanggar kesopanan.

Dia mengaku bersalah menceroboh masuk rumah Meriam Mohamad, 72, di Kampung Banggol Durian, Serada, di sini, kira-kira jam 2.15 pagi, 18 Oktober 2012, tanpa kebenarannya dengan niat melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Pada masa sama, Mohd Alias turut mengaku bersalah dengan sengaja melakukan perbuatan kelucahan melampau iaitu berada dalam keadaan tidak berpakaian di hadapan Norma Hitam, 37, ketika berjaya menceroboh kediaman tersebut.

Bagi setiap kesalahan, Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman penjara enam bulan, namun dia memerintahkan kesemua hukuman berjalan serentak.

Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Pekerja MPPP digelar kucing kurap oleh Ahli Parlimen Jelutong

Lawatan Anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi Chuan Aun (gambar) di Pasar Jelutong di Georgetown bertukar 'kecoh' apabila seorang pekerja Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menggesanya menggugurkan label 'kucing kurap' yang ditujukan kepada kakitangan bawahan MPPP, Sabtu lepas.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi, bekas Timbalan Presiden Kesatuan Buruh MPPP Mohd Rofi Osman mendekati Ooi, yang ketika itu sedang mengadakan sidang akhbar mengenai penjaja tidak berlesen, dan dengan suara yang kuat memintanya memohon maaf secara terbuka kepada semua kakitangan MPPP.

Keadaan itu mendorong orang ramai berkerumum di situ manakala beberapa petugas di situ menasihatkan Mohd Rofi agar beredar dari situ.

Ooi segara menamatkan sidang akhbar itu dan beredar sambil berkata, "wartawan boleh tanya ini superstar kita (sambil menunjuk kepada Aminah Abdullah) saya dah siap ya (sidang akhbar)," katanya. 

Aminah ialah Presiden Pertubuhan Kebajikan Insan Mulia yang turut berada di lokasi kejadian.

Mohd Rofi, 58, yang telah berkhidmat lebih 30 tahun dengan MPPP berkata beliau kesal dengan sikap Ooi yang seolah-olah tidak berasa bersalah dan memandang remeh permintaannya itu.

"Sebagai seorang wakil rakyat yang berpelajaran tinggi dia (Ooi) tak boleh cakap begitu...dia sepatutnya profesional dan sedar perbuatannya itu telah mengguris perasaan pekerja bawahan seperti saya," katanya.

Terdahulu, Ooi meninjau pasar berkenaan bersama sekumpulan pegawai MPPP untuk menyelesaikan masalah isu kebanjiran penjaja tidak berlesen di sekitar Jelutong.

Katanya seramai 79 penjaja tidak berlesen telah dikenal pasti dan kerajaan negeri bercadang menempatkan mereka di kompleks peniaga yang akan dibina secara berperingkat di Sungai Pinang dengan fasa pertama dijangka siap pada 2015.

Ketika ditanya mengenai kenyataan "kucing kurap" itu, Ooi mengaku memberi label 'kucing kurap' kepada kepada beberapa pegawai MPPP Sabtu lepas kerana mereka tidak membawa perangkaan terkini mengenai kedudukan penjaja di Jelutong selain tidak berpuas hati apabila pegawai kanan yang sepatutnya hadir tiada dalam sesi lawatan itu.

"You are insulting me by sending a lower officer itu 'kucing kurap' (anda menghina saya dengan menghantar pegawai pangkat rendah itu 'kucing kurap')... kita nak selesaikan masalah tetapi pegawai kanan itu serah kepada seorang yang lebih junior dan mereka tidak boleh buat keputusan," katanya.

Sumber : Bernama, Malaysiakini

Baca lagi >>