Friday, 22 November 2013

2 mesin ATM dan stesen minyak jadi rebutan

Perkembangan taufan Haiyan di Filipina. Mesin ATM dan stesyen minyak di Tacloban menjadi tumpuan. 

Perkhidmatan itu  beroperasi semula sejak ditutup 8 november lalu. Hanya dua mesin ATM dilaporkan berfungsi menyebabkan kaunter perkhidmatan itu diserbu. 

Penduduk sanggup beratur panjang sehingga berjam-jam untuk mengeluarkan wang mereka bagi kegunaan harian. 
Kebanyakkannya mahu membeli barang keperluan sejak premis perniagaan turut dibuka semula. 

Bagaimanapun, anggota  keselamatan ditempatkan bagi menjamin keselamatan dan mengawal keadaan ekoran peningkatan jenayah sejak taufan haiyan. 

Menurut penduduk, mesin ATM berkenaan diibaratkan sebagai penyambung nyawa kerana di saat-saat sukar sekarang mereka amat memerlukan wang tunai untuk membeli barangan keperluan seharian.

Barisan panjang turut kelihatan di dua buah stesen minyak. Bilangan stesen minyak yang beroperasi terhad menyebabkan pengguna sanggup menunggu giliran bagi mendapatkan bekalan bahan api itu. 

Dilaporkan barisan pelanggan mencecah sehingga beratus-ratus meter. Mereka bimbang kehabisan bekalan minyak kerana kebanyakan stesen minyak musnah akibat bencana. Namun menurut pekerja stesen minyak berkenaan, bekalan bahan api itu mencukupi.

Baca lagi >>

Jenazah gadis Mualaf 18 tahun yang maut kena dera selamat dikebumikan

KUAH - Jenazah mualaf mangsa dera, Nur Salina Abdullah, 18, yang maut dipercayai didera selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Surau Haji Ismail, Kampung Belanga Pecah, semalam.
Nur Salina Abdullah, 18 tahun.
Atas permintaan ayah kandungnya, Nai Koi See, 43, dia meminta mayat mangsa diuruskan mengikut cara Islam selepas mengetahui anaknya memeluk Islam pada 2 Januari lalu.

Suasana hujan renyai mengiringi jenazah semasa tiba di tanah perkuburan tersebut dan orang kampung dalam kariah Kampung Belanga Pecah telah pun bersiap sedia membantu menguruskan sebaik mungkin.
Ahli Jawatankuasa Surau Haji Ismail, Ahmad Shafie, 43, berkata, kariah kampung bersama golongan ibu sepakat menguruskan jenazah mangsa untuk disemadikan di situ.
Anak kariah membantu menguruskan pengkebumian jenazah.
"Alhamdulillah semuanya selamat. Semoga roh mangsa ditempatkan kalangan orang beriman, walaupun selama ini kebanyakan ahli kariah langsung tidak mengetahui kewujudan mangsa di kampung ini.

“Cuma agak terkilan, kami semua tidak dapat membantunya ketika masih hidup,” katanya selepas urusan pengebumian selesai.

Jenazah Nur Salina tiba sekitar jam 5 petang dan turut diiringi pegawai Agama Islam Daerah Langkawi untuk bersama-sama membantu memudahkan urusan pengebumian mangsa.

Solat jenazah diimamkan Johari Abdullah dari Masjid At Taqwa Kampung Kisap.

Kelmarin, Sinar Harian menyiarkan berita kematian Nur Salina akibat daripada penderaan kejam.

Terdapat pelbagai kesan lebam baru dan lama manakala kaki kanan mangsa dijangkiti kuman dan terpaksa dipotong.

Selain itu, otak mangsa mengalami pendarahan teruk akibat hentakan dari penderaan yang dilakukan ke atasnya.

Sementara itu, ada antara penduduk kampung, Halijah Zakaria melahirkan rasa terkejut dengan kejadian ini dan tidak menyangka dua suspek utama tersebut kerana mereka cukup mesra dan ramah.

"Tak sangka betul, kita tengok keluarga ni cukup baik, cara mereka melayan anak-anak mereka membuatkan kami rasa cemburu, tetapi kejadian ini telah menyatakan kebenaran sebaliknya.

“Cuma kami mahu masyarakat luar kembali mengubah persepsi negatif tentang kampung kami. Keluarga ini orang luar yang baru sahaja berpindah dan menyewa rumah hampir setahun lalu,” katanya.

Dua suspek utama  ditahan manakala dua lagi ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Petikan berita sebelum ini:

KUAH - Seorang remaja mualaf yang koma dipercayai akibat didera disahkan meninggal dunia di Hospital Langkawi, jam 8.40 malam semalam.

Mangsa, Nur Salina Abdullah, 18, sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Langkawi pada Ahad lalu selepas tidak sedarkan diri.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Langkawi, Asisten Superintendan Mohd Shamsul Nawi berkata, ketika mendapatkan rawatan, doktor menemui pelbagai kesan lebam di keseluruhan bahagian tubuh mangsa.

Menurutnya, pihak hospital kemudiannya membuat laporan polis kerana kesan kecederaan yang dialami dipercayai akibat penderaan.

"Bertindak atas laporan yang dibuat, polis menahan reman pasangan suami isteri yang juga keluarga angkat mangsa.

"Berdasarkan siasatan awal, keluarga ini dikatakan berpindah ke Langkawi sejak setahun lalu dan mengusahakan perniagaan makanan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Shamsul berkata, sehingga jam 10 malam tadi, bedah siasat masih lagi dijalankan oleh pihak hospital.

“Pemeriksaan memerlukan masa untuk melihat pelbagai aspek yang menyebabkan kematian mangsa.

“Setelah selesai bedah siasat, pihak kami akan menghubungi Pejabat Agama Islam Daerah Langkawi untuk urusan pengebumian mangsa, ini adalah atas permintaan ayahnya yang mahukan yang terbaik bagi anaknya,” katanya.

Menurutnya, suspek yang ditahan reman adalah majikan kepada mangsa iaitu sepasang suami isteri dan dua orang turut ditahan iaitu anak mereka yang berumur 16 dan 21 tahun untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Nai Koi See, 42, menyerah kepada pihak berkuasa untuk menguruskan jenazah anaknya.

Katanya, kali terakhir dia bertemu anaknya itu dua tahun lalu ketika selesai mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

"Anak saya yang nama asalnya Nai Ah Nung (Nur Salina) tinggal bersama ibu saya sejak berumur enam tahun sehinggalah dia mengikut jiran kami ke Pulau Pangkor, Perak.

"Saya ada cuba menghubungi dia awal tahun ini untuk bertanya khabar menerusi telefon tetapi tidak berjawab,” katanya.

Koi See berkata, dia dimaklumkan anak bongsu daripada dua beradik itu memeluk agama Islam Januari lalu selepas tinggal bersama keluarga angkatnya kira-kira dua tahun.

Menurutnya, dia sering teringat kepada anaknya itu namun tidak menganggapnya sesuatu yang pelik dan tidak menyangka ia adalah petanda bakal kehilangan anaknya.

"Saya menerima segala kejadian ini dan menyerahkan kepada pihak berwajib untuk menguruskan jenazahnya secara Islam,” katanya.

Katanya, keluarganya cukup mengenali pasangan yang menjadi keluarga angkat anaknya itu dan tidak menyangka hal ini akan terjadi.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Sindiket wang palsu RM20 muncul

KUALA KANGSAR - Beberapa peniaga di daerah ini mendakwa terpaksa menanggung kerugian berikutan kerap menerima bayaran menggunakan wang palsu, akhir-akhir ini.

Peniaga mendakwa, kebanyakannya berlaku tanpa disedari ketika mereka sibuk melayan pelanggan hingga tidak berkesempatan memeriksa ketulenan wang terbabit.

Pemilik restoran, Salim PS Hassan, 45, mendakwa, hanya menyedari kewujudan wang palsu itu setelah seorang pelanggan memulangkan wang terbabit.
Salim menunjukkan wang palsu (kiri) yang diberikan individu tidak bertanggungjawab.
"Pelanggan beritahu wang itu ditolak ketika dia mahu membuat bayaran bil dan kemudian dia datang semula ke kedai ini dan minta ganti.

"Saya terpaksa ganti walaupun saya sendiri terpedaya," katanya.

Menurutnya, biarpun nilai wang palsu itu cuma RM20, namun ia mencalarkan imej kedainya.

"Bukan nilai wang yang saya fikirkan, tapi imej kedai mungkin terjejas disebabkan sikap tidak bertanggungjawab individu yang membuat bayaran menggunakan wang palsu," katanya.

Sementara itu, penjaga kaunter sebuah stesen minyak dikenali sebagai Syafika, 23, berkata, dia beberapa kali menerima wang palsu, namun gagal mengesan individu yang bertanggungjawab menggunakannya.

“Selalunya, mereka akan gunakan wang palsu ketika mahu membeli kad tambah nilai.

"Mereka akan minta dan apabila dapat kad, mereka letakkan wang serta beredar secepat mungkin," katanya.

Malah menurutnya, kesempatan menggunakan wang palsu juga dilakukan ketika premis penuh dengan pelanggan.
Perbezaan warna jelas kelihatan antara wang palsu (bawah) dan tulen.
"Wang palsu digunakan itu menggunakan cetakan biasa atas kertas yang agak nipis berbanding wang tulen.

"Apabila wang itu dibasahkan, dakwatnya cair dan benang keselamatan bergaris putus-putus turut tertanggal," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, wang palsu yang diterima peniaga bersaiz lebih kecil dan warnanya juga agak berbeza.

Malah, kertas digunakan agak licin dan nipis berbanding wang tulen. Namun agak sukar membezakannya sekiranya wang palsu terbabit tidak diperiksa dengan teliti.

Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Malu selepas kain yang dipakai terbakar

BATU KURAU – Gara-gara malu, seorang lelaki warga Myanmar melarikan diri setelah motosikal ditungganginya terbakar berhampiran Kampung Batu 20, di sini, semalam.
Keadaan motosikal mangsa yang terbakar akibat kebocoran tangki.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, lelaki berusia 20-an itu dikatakan cuba memadam kebakaran tersebut menggunakan kain yang dipakainya, namun tidak berjaya malah kainnya hangus bersama motor. Selepas itu lelaki itu lari ke dalam semak berhampiran sebaik sahaja orang ramai mengerumuni lokasi kejadian.

Saksi kejadian, Abdul Mutalib, 41, berkata, dia yang kebetulan melalui kawasan itu sempat melihat kelibat seorang lelaki berlari dengan kesan cedera di muka dan tangan.

Menurutnya, tindakan lelaki itu kemungkinan kerana dia berasa malu, setelah kain dipakainya terbakar.

“Waktu itu juga saya ternampak sebuah motosikal jenis Modenas Kriss terbakar, saya sendiri tak tahu punca dia lari, mungkin malu sebab beberapa penduduk sudah berkumpul di kawasan itu,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, lelaki itu pada mulanya hilang kawalan setelah melanggar satu lubang sebelum terjatuh.

Keadaan itu dipercayai mengakibatkan berlaku kebocoran pada tangki motosikal berkenaan dan cubaan lelaki itu menghidupkan enjin menyebabkan kenderaannya meletup lalu terbakar.

Api kemudiannya berjaya dipadamkan oleh penduduk kampung.

Motosikal terbabit dituntut majikan lelaki berkenaan dan dia turut mengesahkan lelaki warga asing itu yang mempunyai permit kerja sah.

Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Duduk tegak boleh cacat tulang punggung

Kebiasaan duduk tegak ternyata tidak baik untuk punggung kerana posisi ini menghasilkan tekanan yang boleh menyebabkan perubahan bentuk tulang punggung atau dikenali juga sebagai cacat tulang punggung.

Para penyelidik dari Scotland dan Kanada memberitahu, posisi duduk terbaik adalah bersandar pada kedudukan 135 darjah.
Hasil ini diperoleh selepas kajian dilakukan menggunakan mesin pengimbas resonan magnetik (MRI).

Kajian yang dilakukan di Hospital Woodend, Britain itu membabitkan 22 orang responden yang mempunyai tulang punggung sihat dan mereka kemudiannya menjalani pengimbasan MRI yang memungkinkan responden bebas bergerak, duduk atau berdiri.

Dalam kajian ini, responden duduk dalam tiga posisi. Posisi pertama adalah membongkok, dengan badan bersandar di meja atau seperti sedang mengendalikan konsol permainan.

Posisi kedua adalah duduk tegak 90 darjah manakala posisi terakhir bersandar pada kedudukan 135 darjah, dengan kaki diletakkan di lantai.

Penyelidik mendapati, pergeseran ruas pada tulang terjadi ketika terdapat beban yang ditempatkan pada tulang belakang dan ia mengakibatkan ruas tulang terkeluar daripada susunan.

Pergeseran paling banyak ditemukan pada posisi duduk 90 darjah dan paling sedikit terjadi pada posisi 135 darjah.

"Duduk sesuai dengan posisi anatomi sangat penting kerana posisi duduk yang salah boleh meningkatkan beban pada tulang belakang dan ligamen.

"Akibatnya timbul rasa sakit, bentuk tulang punggung berubah dan pelbagai penyakit kronik," kata ketua penyelidik, Dr. Waseem Bashir dari Jabatan Radiologi dan Pengimejan Diagnostik di Universiti Alberta, Kanada.

Menurutnya, posisi duduk 135 darjah bagaimanapun boleh menyebabkan seseorang terjatuh.

"Mungkin sebaik-baiknya posisi 120 darjah kerana ia masih memungkinkan kedudukan yang baik antara paha dan punggung," katanya.

Data daripada Persatuan Kiropraktik Britain menyatakan, sebanyak 32 peratus daripada masyarakat menghabiskan waktu dengan duduk selama 10 jam sehari dan selebihnya tidak meninggalkan kerusi pada waktu makan tengah hari manakala yang lainnya juga kembali duduk setibanya di rumah.

Sumber : Kosmo

Baca lagi >>

Tutup 3 bulan, kos naik taraf stadium Sham Alam RM2.4juta

STADIUM Shah Alam ditutup sementara untuk kerja-kerja pembaikan dan naik taraf kemudahan awam dengan menelan belanja RM2.4 juta selama tiga bulan bermula 1 Disember 2013 hingga 1 Mac depan, lapor Ahmad Norman Abu Talib.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Datuk Mohd Jaafar Atam berkata, kerja-kerja pembaikan fasa dua adalah untuk meningkatkan taraf kemudahan awam yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak serta keselesaan pemain.
Mohd Jaafar (kanan) meninjau keadaan padang di Stadium Shah Alam, semalam.
Mohd Jaafar berkata, kerja membaikpulih melibatkan penggantian 500 bumbung rosak akibat ribut, menaik taraf tandas, bilik persalinan pemain, baik pulih sistem siar raya serta gen set.

“MBSA selaku pengurusan Stadium Shah Alam berusaha menambah baik kemudahan awam di stadium ini yang sentiasa jadi pilihan acara bola sepak peringkat domestik mahupun antarabangsa.

“Dengan penggantian rumput padang kepada rumput berkualiti, perlawanan bola sepak dapat diteruskan walaupun hujan lebat,” katanya selepas melawat stadium tersebut, semalam.

Stadium Shah Alam berkeluasan 155,000 kaki persegi, dirasmikan pada 16 Julai 1994 dengan kapasiti penonton 80,000. Pada 2011, kerja-kerja menaik taraf berjumlah RM3.4 juta dilaksanakan.

Mohd Jaafar berkata, MBSA akan memasang kamera rakaman litar tertutup (CCTV) pada fasa ketiga akan datang bagi meningkatkan sistem keselamatan.

Menurutnya, Kerajaan negeri sudah bersetuju mengenai cadangan berkenaan untuk menyalurkan perbelanjaan modal (Capex).

“Kita juga berusaha mendapatkan Capex untuk menyelenggara Stadium Malawati serta Pusat Akuatik,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Ketua dan AJK Pemuda PAS untuk sesi 2013-2015

Suhaizan Kaiat berjaya dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS yang baru.
Suhaizan yang juga ketua Pemuda PAS Johor mendapat 320 undi untuk menewaskan ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohammad yang mendapat 307.

Seorang lagi calon, Zulhazmi Sharif hanya mendapat tujuh undi.

Manakala anak presiden PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi pula dipilih sebagai Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS yang baru.

Khalil berjaya mendapat 355 undi menewaskan Raja Iskandar Raja Yaakob yang mendapat 282 undi.

Sementara itu, Ir Khairil Nizam Khirudin yang mendapat 411 undi dipilih sebagai Naib Ketua menewaskan Ahmad Zamri As'ad khuzaimi yang memperolehi 226 undi.

Seramai 638 perwakilan mengundi hari ini bagi memilih kepimpinan Pemuda PAS 2013-2015.

Bagi pemerhati, kemenangan Suhaizan yang dilihat mewakili kecenderungan aliran bukan ulama dalam PAS. 
Bagaimanapun, cabarannya di depannya masih tidak mudah apabila kebanyakan besar exco yang terpilih hari ini tergolong dalam kategori 'chai' lawannya Kamaruzaman Mohamad.

Suhaizan dalam ucapan kemenangannya mencadangkan nama Dewan Pemuda PAS Pusat dikomersialkan sebagai Pemuda PAS Malaysia sebagai langkah meremajakan dan mendekatkan pergerakan itu kepada masyarakat umum.

Selain itu, beliau turut berjanji untuk memperkasakan pergerakan pemuda dari semua segi seperti tarbiah serta memberi berita gembira apabila membayangkan untuk menaikkan gaji guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

"Mereka, guru-guru PASTI mempunnyai tangga gaji rendah sedangkan mereka banyak berkorban. 

"Saya dan exco baru akan menyemak semula gaji guru PASTI di seluruh negara," kata beliau.

Ahli-ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat yang dipilih sebagaimana di bawah:

Ahmad Hamimi Taib Azamuddin (433)
Syed Abdul Kadir Syed Hussin al Jufri (433) 
Ahmad Fadhli Shaari (417)
Mohd Shahrir Sulaiman (415) 
Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (404)
Zaharuddin Muhammad (379)
Ahmad Yahya (337)
Mohd Faizul Salleh (371)
Mohd Fadhli Ghani (359)
Mohd Zawawi Hassan (358)
Nurul Islam Mohd Yusof (355)
Mohd Sany Hamzan (340)

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan DPPM, Zulqarnain Lukman.

Baca lagi >>