Friday, 6 December 2013

Walaupun tarif elektrik naik harga kereta Perodua tetap murah

PERUSAHAAN Otomobil Kedua (Perodua) terus menyediakan kereta mampu milik dengan harga berpatutan walau tarif elektrik naik awal tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, kenaikan tarif itu adalah cabaran Perodua.

"Kami akan cuba kekalkan harga dengan mengurangkan kos melalui rangkaian bekalan dan penghasilan agar kenderaan Perodua kekal sebagai kenderaan mampu milik.
"Setiap tahun kami sentiasa lihat ke arah pemotongan kos pembuatan yang boleh mengekalkan harga kompetitif di pasaran selaras dengan objektif asal Perodua untuk menyediakan kenderaan mampu milik bagi segmen kereta kompak," katanya ketika melancarkan kempen FEM (Female Empowerment Movement), di Kuala Lumpur.

"Jika kami tidak mampu mengurangkan harga kereta, kami akan beri perkhidmatan tambahan kepada pengguna seperti ciri tambahan ataupun nilai tambahan kepada pelanggan,” katanya.

Kempen FEM dianjurkan bagi menghargai 60 peratus pelanggan wanita Perodua dengan menawarkan 60 unit kereta Myvi FEM edisi terhad.

Perodua menyasarkan mendapatkan penyertaan ahli seramai 10,000 menjelang akhir tahun depan.
Sumber : Sinar Harian