Monday, 2 December 2013

Ustaz Kazim sudah lama disingkir PAS

Naib presiden PAS berkata pendakwah Mohammad Kazim Elias yang dilantik ke jawatan Majlis Tertinggi Umno telah disingkirkan dari parti tersebut pada Mei lalu.

Tuan Ibrahim, dalam kenyataannya kepada Sinar Harian, mengulas kenyataan ketua Pemuda PAS Perak Raja Ahmad Iskandar pada hari Sabtu lalu yang berkata Mohammad Kazim menganggotai parti Islam tersebut sejak 1998.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu juga bagi menjelaskan pendirian Mohammad Kazim yang dilaporkan masih yakin bahawa beliau masih ahli PAS.

Mohammad Kazim dalam satu rakaman video Agendadaily.com menyebut, beliau tidak menerima sebarang surat pemecatan jawatan.
Masalah berhubung sikap Kazim ke atas PAS mula dikesan sejak Mei 2011 apabila beliau didapati sering mengkritik parti Islam tersebut dalam soal kerjasama dalam Pakatan Rakyat.
Satu tulisan di blog kelolaan Dewan Ulama PAS Perak pada 28 Mei 2011 menyebut, Muktamar Dewan Ulama PAS Negeri Perak pada 14 Mei 2011 meluluskan usul memecat Kazim kerana menjadi "duri dalam daging" atas kritikannya ke atas parti itu.

Menurut usul yang dimuatkan dalam blog tersebut, langkah tersebut bagi mengelakkan Kazim "tidak merosakkan fahaman Umat Islam termasuk sebahagian ahli PAS sendri yang terpengaruh dengan kepetahannya berpidato".

Sementara itu pesuruhjaya PAS Perak Abu Bakar Hussain berkata keahlian seseorang anggota itu akan gugur secara automatik sekiranya menerima pelawaan Umno seperti itu.

"Memang benar beliau masih ahli PAS. Walaupun ada ura-ura dipecat, (pemecatan) belum secara rasmi.

"Sekiranya beliau menerima pelawaan Umno (menjadi ahli majlis tertinggi) itu, keahliannya secara automatik gugur tanpa perlu surat pemecatan dari PAS," katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Sumber : MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment