Friday, 6 December 2013

UMNO terus JUARA sehingga 100 tahun akan datang

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak, semalam menggariskan lima pengisian transformasi UMNO dalam usaha parti itu memperbaharui tekad dan menggagas semula formula kejayaan bagi memastikan ia terus menjadi juara sehingga 100 tahun akan datang.

Presiden UMNO itu menegaskan, parti terbesar Melayu itu perlu memperkukuh kekuda dan memperkemas kekisi untuk menonggak Barisan Nasional (BN).
Lima pengisian transformasi itu adalah: 
Memperteguh Ekonomi Melayu dan Bumiputera 

Agenda pemerkasaan ekonomi Melayu dan Bumiputera sama ada Islam dan bukan Islam sewajibnya menjadi teras nasional bagi memastikan 67.9 peratus populasi majoriti penduduk negara ini mencapai tahap kemajuan setanding dengan orang lain tanpa meminggirkan pembelaan terhadap mana-mana golongan. 

Mempertegak Maqasid Syariah 

UMNO tidak pernah berhenti memperjuangkan ketinggian Islam dan syiarnya dengan berpegang kepada prinsip Maqasid Syariah yang membela dan memelihara lima tunjang utama yakni agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Dalam konteks sama, umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah dari segi akidah, syariah dan keperibadian. 

Memperkukuh Pengkaderan UMNO 

Ia membabitkan ahli baru dan orang muda supaya UMNO menjadi sebuah parti yang lestari dengan mendoktrinkan jati diri parti supaya budaya kepartian, berakar umbi, terpateri dan tersemat kukuh dalam sanubari semua sebagai landasan perjuangan. Program itu merangkumi aspek kreativiti, kemahiran insaniah, budaya berfikir tinggi serta memahirkan mereka dengan teknologi terkini bagi memudahkan penyampaian dasar parti dan kerajaan supaya diterima rakyat dan responsif menyelami dan menyelesaikan masalah akar umbi. 

Mempersiaga Jentera Transformatif 

UMNO perlu sedar dunia maya atau Internet adalah neutral kerana hanya mereka yang berupaya mengisi dan menguasai ruang baru itu, maka merekalah yang akan berjaya. Jentera parti tidak boleh ketinggalan dan membiarkan pembangkang berwenang-wenang, sebaliknya UMNO mesti menjuarai teknologi maklumat. 

Menetap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 

Ia bagi memastikan perjalanan jentera UMNO dapat bergerak dengan lebih berkesan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 supaya semua ahli lebih bersedia untuk memenangi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Setiap cawangan, bahagian dan negeri dipantau dan diaudit secara berkala untuk dinilai prestasi serta pencapaian setiap negeri, bahagian atau cawangan supaya sebarang masalah atau ketidakpatuhan yang berlaku boleh dikesan dan tindakan korektif dapat diambil dengan segera.
Sumber : Harian Metro