Monday, 2 December 2013

Tragis 3 beradik perempuan ditemui mati dipercayai dibunuh

Polis Kedah sedang memburu seorang remaja lelaki dipercayai kawan kepada Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14, dipercayai dibunuh bersama dua adiknya dalam satu kejadian Jumaat lepas.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, remaja itu dipercayai berada di Arau, Perlis diperlukan untuk membantu siasatan polis berhubung pembunuhan itu.

"Polis mempunyai bukti-bukti terkini dan saksi yang membantu siasatan. Kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan."

"Saya yakin remaja belasan tahun ini dapat dikesan dalam tempoh terdekat," katanya selepas menyerahkan kereta Spanco Proton Preve kepada Ketua-Ketua Polis Daerah negeri Kedah di Ibu pejabat Kontinjen Kedah di sini.

Terdahulu misteri kehilangan tiga beradik jumaat lepas terjawab dengan penemuan mayat tiga beradik perempuan di dua lokasi berbeza masing-masing di Alor Senibung dan tali air Padang Petani, di sini, dalam masa 24 jam juga telah menimbulkan pelbagai tanda tanya berhubung motif kejadian.

Mayat mangsa pertama, Norsyafika Nadia Rusdi, 14, ditemui di sebuah kawasan sawah terbiar berhampiran Alor Senibong, di sini, iaitu kira-kira 12.2 kilometer dari rumah mereka yang terletak di Kampung Alor Semela pada jam 3.45 petang, kelmarin.
Kira-kira 24 jam kemudian, dua lagi adiknya, Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3, ditemui kurang 100 meter antara satu sama lain di tali air Padang Petani, Langgar, di sini, kira-kira jam 4 petang, semalam.
Jarak lokasi penemuan mayat Norsyafika dengan lokasi penemuan mayat dua adiknya dianggarkan kira-kira 2.5 kilometer dan mayat mangsa pertama ditemui dalam keadaan separuh bogel.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata, laporan bedah siasat menunjukkan Norsyafika mati akibat lemas dan tiada kecederaan di bahagian kemaluan mangsa.
Menurutnya, polis mengklasifikasikan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mengesyaki wujud elemen mencurigakan dalam kes membabitkan kematian ketiga-tiga beradik itu.

“Kematian Norsyafika disebabkan faktor lemas, namun kami yakin punca mangsa lemas disebabkan faktor luar biasa termasuk membabitkan elemen jenayah.

“Kita ambil kira banyak faktor termasuk keadaan penemuan mayat yang mencurigakan di dua lokasi berbeza. Kita juga akan nilai semua aspek jenayah dan segala kemungkinan boleh berlaku.

“Justeru, kita klasifikasikan kes membabitkan kematian ketiga-tiga mangsa ini sebagai kes bunuh dan kita akan tunggu hasil laporan bedah siasat ke atas dua lagi mayat yang akan dijalankan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan mayat mangsa di Padang Petani, semalam.



Difahamkan, ada saksi yang juga saudara terdekat mangsa mengakui ternampak ketiga-tiga beradik itu singgah seketika di sebuah kedai makan berhampiran rumah mereka kira-kira jam 9 malam, Jumaat lalu, sebelum masing-masing gagal dikesan dan ditemui mati.
Sumber : Kosmo, Harian Metro

No comments:

Post a Comment