Sunday, 29 December 2013

Tetap kahwin di pusat pemindahan walaupun banjir

Di Chenor seorang gadis mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sekara sejak seminggu lalu selamat diijabkabulkan dengan pasangannya di surau sekolah itu, pagi semalam.

Majlis pernikahan Mohd Izwan dan pasangannya, Nor Azrina, 25, selamat berlangsung di surau SK Sekara.
Majlis perkahwinan pasangan itu bagi sebelah pengantin perempuan yang sepatutnya berlangsung semalam terpaksa ditunda ke satu tarikh lain selepas rumah terbabit di Kampung Sekara dinaiki air melebihi tiga meter.

Bapa pengantin perempuan, Azmar Talib, 57, berkata, kedua-dua belah pihak bersepakat meneruskan pernikahan tersebut walaupun terpaksa dilakukan di pusat pemindahan.

Menurutnya, perkara yang baik untuk ‘membina masjid’ itu wajar diteruskan demi kebahagiaan pasangan tersebut.

Bagi pengantin lelaki, Mohd Izwan Syamsu Kamar, 27, pihaknya tiada halangan berhubung pemilihan  lokasi majlis itu yang mewakili ‘rumah’ sebelah pengantin perempuan.

“Alhamdulillah, majlis berjalan lancar dan syukur kerana keluarga bersetuju untuk tidak menunda tarikh pernikahan.

“Saya tinggal di Temerloh sementara keluarga isteri pula di Chenor, jadi majlis di rumah isteri terpaksa ditunda kerana laluan ke rumahnya masih belum dapat dilalui.

“Majlis perkahwinan di sebelah lelaki diadakan seperti dirancang pada hujung minggu depan,” katanya.
Sumber : Sinar Harian