Wednesday, 25 December 2013

Syukur balu mangsa terima pencen bulanan RM1,600

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyalurkan pencen bulanan sebanyak RM1,600 kepada balu Shahidi Asyraf Zainal Abidin yang maut tersepit kontena pada 17 Disember lalu.

Pengurus Perkeso Negeri, Mamsor Abdul Manaf berkata, pencen bulanan terbabit akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank Mazni Mansor, 28, mulai Januari hadapan.

“Urusan berkaitan proses pencen ini berjaya disiapkan dalam tempoh seminggu dan kami berterima kasih kepada pihak majikan arwah yang memberi kerjasama.
Mamsor menyerahkan cek pengurusan jenazah kepada Mazni di Kampung Permatang Berangan, Tasek Gelugor semalam.
“Kami amat bersimpati dengan tragedi yang menimpa dan berharap bantuan yang diberikan dapat meringankan beban keluarganya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan cek pengurusan jenazah berjumlah RM1,500 ketika melawat keluarga mangsa di Kampung Permatang Berangan, Tasek Gelugor semalam.
Terdahulu, mangsa yang bertugas sebagai pekerja kontrak maut selepas tersepit antara kontena ketika kerja pemunggahan dijalankan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT).

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala selepas terhimpit di antara dua kontena yang sedang dialihkan.

Mamsor berkata, pencen tersebut dibayar kepada isteri dan anak mangsa, Syazrina Awatif, 1 tahun.

“Walau bagaimanapun, pencen bahagian anak akan dihentikan apabila menjangkau usia 21 tahun namun sekiranya dia melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat ijazah, pencen akan diteruskan sehingga umurnya 24 tahun.

“Selain itu, anaknya turut berpeluang membuat pinjaman menerusi Perkeso sekiranya tidak mendapat tajaan untuk melanjutkan pengajian,” katanya.

Mazni yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Kulim ketika ditemui berkata, dia berterima kasih di atas bantuan yang dihulurkan semua pihak.

“Buat masa ini, saya tinggal bersama keluarga manakala ibu saudara akan menjaga anak ketika saya bekerja.

“Kami sepatutnya berpindah ke kediaman sendiri tahun hadapan namun setakat ini, saya akan terus tinggal bersama ibu bapa saya,” katanya.
Sumber : Sinar Harian