Tuesday, 31 December 2013

'Rakyat guling kerajaan: Demokrasi, Kerajaan giling rakyat: Autokrasi' kata Datuk Saifuddin

Tekanan ke atas perhimpunan bagi membantah kenaikan kos sara hidup pada malam esok mendapat perhatian bekas anggota kabinet Datuk Saifuddin Abdullah yang membangkitkan mengenai tuduhan bahawa acara tersebut merupakan usaha untuk menggulingkan kerajaan.

Saifuddin tidak menjelaskan konteks kenyataan tersebut, namun ia dipercayai merujuk kepada kenyataan polis dan pemimpin kerajaan yang konsisten menggelarkan perhimpunan tersebut sebagai perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan.

Saifuddin berkata, langkah rakyat menggulingkan kerajaan adalah satu tindakan demokrasi.

Perkara itu berbeza dengan tekanan kerajaan ke atas rakyat yang menurutnya merupakan penindasan.

“Rakyat guling kerajaan: Demokrasi. Kerajaan giling rakyat: Autokrasi,” katanya dalam tulisan di Twitter.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam laporan akhbar The Star hari ini turut meminta penganjur membatalkan rancangan tersebut kerana pihak berkuasa "tidak akan berkompromi" dalam mengambil tindakan.

Tekanan juga semakin memuncak dari NGO pro-kerajaan yang dilaporkan membuat lebih 1,300 laporan polis di seluruh negara bagi membantah penganjuran perhimpunan tersebut.

Antaranya, Persatuan Veteran Tentera Malaysia yang mahu anggota NGO dan pasukan berpakaian seragam untuk menyertai sambutan ambang tahun baru di Dataran Merdeka sebagai sokongan kepada kerajaan.

Beberapa NGO pro-kerajaan menyeru agar orang ramai agar tidak menghadiri himpunan di Dataran Merdeka malam tahun baru ini.

Jurucakapnya, presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah uga meminta anggota NGO tersebut untuk hadir bagi memerhatikan kejadian yang bakal berlaku malam esok.

"NGO sila datang ke dataran esok..saksikan walaupun dtg tunjukkan kita sebagai ngo sokong kerajaan.

"Kita akan kumpul untuk menyaksikan apa yang berlaku. NGO tak ada kuasa pertahankan perhimpunan cuma kita tengok dan yakin dengan keupayaan Polis Di Raja Malaysia (PDRM)," kata Abdul Rani.

Turut hadir di sidang media tersebut ialah wakil Persatuan Veteran Tentera Melayu, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana Malaysia dan Kelab Penyokong Aspirasi Najib 1Malaysia.
Sumber : Malaysiakini