Sunday, 29 December 2013

Rafizi akan anjur pertandingan karang emel palsu dengan hadiah RM1K

MP Pandan Rafizi Ramli berkata beliau akan menganjurkan satu pertandingan mengarang emel palsu dengan hadiah sehingga RM1,000 untuk melihat sama ada polis akan turut bertindak ke atas perbuatan seperti itu.

Beliau mengumumkan perkara tersebut sebaik selesai disiasat selama kira-kira 40 minit hari ini, ekoran penyebaran satu emel berhubung rancangan membuat letupan semasa sambutan malam tahun baru 31 Disember.

Pengarah strategi PKR itu berkata beliau akan menganjurkan pertandingan itu sebagai reaksi kepada siasatan berkenaan, yang dianggapnya sebagai satu lawak jenaka.
Rafizi berkata beliau akan memilih karangan emel palsu paling menarik dan kreatif untuk ditujukan kepada perdana menteri, ketua polis negara dan timbalan ketua polis negara. 

"Kita akan umumkan (butiran pertandingan) esok, oleh kerana kita anggap (siasatan polis sebagai) lawak jenaka.

"Anda (polis) bazir wang rakyat, dan bazir masa semua orang. Awak (wartawan) kena tunggu di depan ini tengah hari untuk berita. 

"OK, kita anggap ia satu jenaka mengenai hal ini, dan kita nak tengok berapa banyak emel palsu yang polis nak siasat," kata beliau selepas memberi keterangan di IPD Dang Wangi hari ini.

Rafizi menegaskan, emel yang menuduh beliau terlibat dalam rancangan meletakkan bom di ibu negara malam 31 Disember depan adalah palsu.

Sementara itu Pengerusi Biro Guaman PKR Latheefa Koya yang menemani Rafizi mendakwa polis tidak menerima sebarang laporan berhubung emel palsu itu untuk dijadikan asas bagi menyiasat MP tersebut.

Beliau mendakwa, polis hanya menerima laporan pada 17 Disember, lama sebelum dakwaan dalam emel palsu itu muncul.

Bagaimanapun, laporan berkenaan tidak menyebut mengenai letupan, atau rancangan membuat kacau pada malam 31 Disember, kata Latheefa.

"Apa yang kami terkejut adalah tiada satupun laporan polis terhadap Rafizi. Kami diberitahu yang kononnya polis sedang menyiasat satu laporan yang dibuat oleh ASP Rasha Aswadi yang dibuat pada 17 Disember.

"Dan dalam kandungan laporan tersebut tak ada laporan mengenai bom, bom tangan dan sebagainya," katanya.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh semalam menamakan empat NGO yang didakwa terlibat dalam sebuah himpunan untuk menggulingkan kerajaan di Dataran Merdeka pada malam tahun baru depan.

Kumpulan tersebut adalah Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Jingga 13 dan Solidariti Anak Muda Malaysia.

Saman PDRM

Sementara itu peguamnya N. Surendran berkata PDRM patut menarik balik anggapan buruk terhadap Rafizi kerana ia hanya tohmahan semata.

"Saya beri amaran jika mereka (PDRM) tidak minta maaf atas tuduhan ini, kita akan saman di mahkamah," kata beliau.

Rahim Ghouse nafi tulis surat isu 'letupan'

Bekas exco Pemuda Umno Pulau Pinang, Abdul Rahim Ghouse menafikan bahawa beliau menulis surat kepada pengarah strategi PKR Rafizi Ramli berhubung kejadian letupan yang didakwa akan berlaku semasa perhimpunan pada malam sambutan ambang tahun baru 31 Disember.

Abdul Rahim yang dipetik dalam laporan Mingguan Malaysia berkata, surat yang tersebar melalui emel itu bukan ditulis oleh beliau.

“Saya menafikan perkara ini kerana surat itu, bukan saya yang tulis. Ada orang buat surat itu menggunakan nama saya.

“Mereka menulis surat seperti itu untuk agenda mereka, tetapi mahu melibatkan saya,” lapor akhbar milik Umno tersebut.

Ia seterusnya menyebut, Abdul Rahim dalam surat tersebut meminta Rafizi serta barisan pemimpin Pakatan mengelak lima lokasi atas sebab keselamatan - persimpangan Sogo, Puduraya, bulatan KTM dekat Masjid Negara, stesen LRT Masjid Jamek dan stesen komuter Masjid Negara.

Polis memanggil Rafizi untuk siasatan berhubung dakwaan dalam emel tersebut di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi pagi ini.
Sumber : malaysiakini 1, 2, 3