Tuesday, 17 December 2013

Punca tol terpaksa naik tahun depan

Kesilapan Kerajaan Pusat dalam memeterai perjanjian dengan syarikat konsesi lebuhraya tanpa menyatakan jumlah keuntungan maksimum yang boleh dikutip konsesi mengakibatkan rakyat terpaksa membayar lebih daripada sepatutnya.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kesilapan ini sepatutnya diperbetulkan Kerajaan Pusat sejak sekian lama supaya rakyat tidak lagi terbeban dengan keadaan ini.
Katanya, ini kerana perjanjian konsesi lebuhraya lebih menumpukan kepada tempoh perjanjian sehingga mengakibatkan syarikat konsesi mengaut keuntungan lebih daripada kos perbelanjaan awal yang telah dikeluarkan untuk menyiapkan projek berkenaan.
“Kita dapati syarikat konsesi apabila membentangkan kertas kerja menyatakan peratus pertumbuhan trafik adalah lebih rendah dari apa yang berlaku sekarang.

“Ini bererti aliran tunai atau pendapatan hasil untuk konsesi adalah lebih besar daripada apa yang dijangkakan.

“Walau bagaimanapun pemegang konsesi masih menuntut walau mereka sudah memperoleh (keuntungan) daripada apa yang dijangkakan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak kepada Selangor Kini dalam sidang media.

Katanya, Kerajaan Pusat perlu menyemak semula pulangan keuntungan yang diperoleh syarikat konsesi dan mengubah pendirian mereka kerana pada dasarnya kerajaan sudah membayar lebih dari sepatutnya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata kenaikan kadar tol yang dijangka berlaku tahun hadapan tidak dapat dielakkan.

Ini kerana, perkara itu terkandung dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya dan telah tiba masanya untuk kadar tol dinaikkan, memandangkan perjanjian konsesi menyatakan kadar itu perlu disemak dan dinaikkan pada 2011.

Pengumuman ini merupakan satu lagi ‘hadiah’ untuk rakyat pada tahun 2014 apabila Barisan Nasional menang selepas PRU-13.
Sumber : Selangor Kini