Wednesday, 18 December 2013

Primadona Azean Irdawaty meninggal dunia

Primadona  filem Melayu, Azean Irdawaty, 63 tahun meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Petaling Jaya Selangor semalam.
Allahyarham menderita sejak lima tahun lalu akibat penyakit tumor dan lymphedema yang dihidapinya.

Pengurus Benjy, Faizal Mustaffa berkata Allahyarham Azean yang menghidap kanser sejak lapan tahun lepas meninggal dunia pada 7.29 malam.

Ini disahkan oleh Pengarang hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah atau dikenali sebagai Kak Cham menerusi Twitternya sebentar tadi.

"Kita pasti merindui dia. Alfatihah seniwati Azean Irdawati yang kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Al-Fatihah," katanya.

Pemergian Azean turut mendapat reaksi daripada beberapa rakan artis yang mengucapkan takziah antaranya adalah Umie Aida.

Allahyarham merupakan pelakon yang mula mencipta nama sebagai penyanyi pada era 70-an dan namanya meledak di layar perak akhir 70-an setelah membintangi filem Esok Masih Ada arahan Tan Sri Jins Shamsuddin.
Di layar perak, Azean merupakan pemenang sebanyak dua kali trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia pada tahun 1980 menerusi filem Esok Masih Ada dan Langit Petang pada tahun 1982.

Allahyarhamah cukup dikenali menerusi watak Auntie Zai lakonan terbaiknya dalam filem Layar Lara arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba.

Menerusi watak Tok Wan dalam filem Waris Jari Hantu, sekali lagi Allahyarhamah membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM pada 2008.

Filem terakhir lakonannya ialah menerusi filem terakhir arahan Allahyarham Yasmin Ahmad, Talentime pada tahun 2009.

Selain filem, Allahyarham turut dikenali di skrin televisyen antaranya drama Aishah 50 Sen, Ratu Jamu, Kembali dan Najihah.

Sepanjang perjalanan hidupnya sebagai anak seni, Allahyarham meraih pelbagai anugerah, bermula dengan Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Seri Angkasa pada 1975 menerusi drama 'Kelahiran', disusuli dengan Pelakon Wanita Terbaik untuk televisyen Anugerah Seri Angkasa pada 1980, 1990 dan 1996.

Allahyarham meninggalkan suami, Khairil Anwar Z.M Rashidi dan tiga orang anak, Khaeryll Benjamin, Elza Irdalynna dan Inessa Irdayanty.

Sementara itu Bernama difahamkan jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke rumahnya di No. 92, Jalan BU 11/7 Bandar Utama, Sri Petaling.

Jenazah akan dikebumikan Hari ini.

Terdahulu turut kelihatan di pekarangan rumah mayat PPUM bersama-sama keluarga Allahyarham ialah pengarah filem Datuk Shuhaimi Baba dan pelakon Rusdi Ramli serta Nanu Baharuddin.
Sumber : Sinar Harian, Bernama