Sunday, 29 December 2013

Penyelia kurang ajar tumbuk pekerja enggan cuci sisa tak halal

Kuala Lumpur: Akibat enggan akur kepada arahan supaya mencuci sisa kumbahan daripada saluran makanan tidak halal, seorang juruteknik sebuah pasar raya di Subang Jaya, di sini, cedera di kepala dan sikunya akibat dipukul penyelianya dalam kejadian 19 Disember lalu.

Akibat kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Azrai, 29, nekad berhenti kerja.

Menurut mangsa, beberapa hari sebelum kejadian, penyelianya itu mengarahkannya supaya dia melakukan kerja pembersihan tangki kumbahan yang menyalurkan sisa makanan dari restoran tidak halal yang terletak dalam pasar raya berkenaan, tetapi dia enggan melakukannya.

“Sebelum ini, kalau ada paip kumbahan bocor atau kerja pembersihan tangki kumbahan sisa makanan tidak halal, kami akan memanggil kontraktor luar melakukannya, jadi kenapa mahu saya yang melakukan?,” katanya.

Berikutan itu, katanya, akibat tidak berpuas hati dengan tindakan penyelianya itu, dia memaklumkan hal berkenaan kepada pihak atasan.

“Saya tidak berniat untuk menyusahkan atau memalukannya, tetapi tindakannya terhadap saya memang tidak boleh diterima.

“Dia juga tidak membenarkan saya menukar pakaian yang dicemari sisa kotoran itu,” katanya.

Berikutan tindakannya itu, Azrai berkata, dia diarahkan penyelianya supaya ke pejabat syarikat itu sebelum dimarahi, dimaki dan ditumbuk pada bahagian badan serta belakang kepalanya.

“Rakan sekerja yang menyaksikan kejadian itu hanya mendiamkan diri dan tidak membantu sebelum salah seorang daripada mereka meleraikan kejadian itu,” katanya.Mangsa membuat dua laporan di Balai Polis Damansara dan Subang Jaya kerana bimbang masalah itu berterusan.
Sumber : Harian Metro