Tuesday, 31 December 2013

PDRM kena contohi Polis Thai hadapi rakyat yang tidak puas hati

Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus bersikap profesional dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan memberi kerjasama sepenuhnya kepada rakyat yang ditindas akibat kenaikan harga perkhidmatan dan barangan keperluan harian.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, berkata kerjasama daripada polis bukan sahaja mampu melancarkan perhimpunan Protes Ambang 2014 tanpa kejadian tidak diingini berlaku tetapi turut memberi manfaat kepada anggota polis dan keluarga mereka yang turut sama tertekan.
“Kita mengambil pendirian polis harus bersama rakyat pertahankan keadilan dan bersikap profesional perangi jenayah bukan perangi rakyat yang tertindas dengan kenaikan kos sara hidup.

“Walaupun kita tahu anggota polis juga tertekan apabila harga naik tetapi saya tidak kata mereka patut berdemonstrasi sama kerana harus bersikap profesional dengan tidak dipergunakan sama ada kerajaan untuk menentang rakyat atau sebaliknya.

“Sewajarnya menjadi tanggungjawab polis melindungi keselamatan dan bekerjasama dengan rakyat yang berhimpun malam ini bagi melancarkan bantahan tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” kata Ahli Parlimen Gombak itu ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Azmin berkata, pengalaman lepas membuktikan sebarang perhimpunan aman seumpama Protes Ambang 2014 akan berjalan aman dan lancar jika polis turut bekerjasama melicinkan perhimpunan.

Sementara itu, dalam perkembangan protes anti kerajaan di Bangkok, dianggarkan kira-kira 500 polis Thailand yang diketuai Kolonel Niwat Puenguthaisri menyertai perhimpunan itu bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap prosedur kerajaan menangani protes rakyat.

Kolonel Niwat Puenguthaisri menyifatkan kejadian polis menyertai bantahan terhadap kerajaan itu adalah kali pertama berlaku dalam sejarah Thailand.
Sumber : Selangor Kini