Thursday, 19 December 2013

Noh Omar cabar Kerajaan Selangor beli saham majoriti

Kerajaan Selangor dicabar membeli saham majoriti dalam syarikat konsesi lebuh raya jika benar-benar mahu membantah kenaikan tol, kata Datuk Seri Noh Omar.
Pengerusi Umno Selangor itu berkata, kerajaan negeri memiliki saham antara 20 dan 30 peratus dalam syarikat konsesi lebuh raya di negeri itu dan bagaimana mahu mempengaruhi keputusan pemegang saham majoriti.
Beliau berkata, kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membantah kenaikan itu hanya menangguk di air keruh kerana mereka sebenarnya tidak mampu berbuat apa-apa.

“Pengumuman kerajaan Selangor itu sekadar ‘preemptive’ dalam usaha mendapat sokongan rakyat menerusi publisiti perkara yang belum pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Abdul Khalid bahawa Selangor akur dengan pandangan penasihat umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membantah kenaikan tol berkenaan.

Noh berkata, Umno Selangor berharap kerajaan pusat tidak menaikkan kadar tol kerana ia bakal menjejaskan semua pihak lebih-lebih hampir semua pintu masuk Selangor menggunakan jalan bertol.
Sumber : Sinar Harian