Sunday, 8 December 2013

Menteri makan nasi lauk ikan singgang dan budu

“Saya tak sangka Tok Pa sudi menjamah nasi yang anak saya masak, berlauk ikan singgang dan budu,” kata seorang mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, semalam.
Che Ramlah Mamat, 60, berkata, ketika dikunjungi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, dia segera mengambil bekas untuk menutup lauk yang dimasak.

Namun tindakannya disedari oleh Tok Pa, lalu memintanya untuk menyajikan hidangan berkenaan.

“Inilah pengalaman paling berharga kerana selama berpuluh kali berpindah di pusat pemindahan ini, inilah kali pertama saya duduk dan makan bersama seorang menteri,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Che Nga Wook, 62, berkata, semua mangsa banjir di sini terharu apabila Tok Pa sanggup meninggalkan Perhimpunan Agung Umno semata-mata mahu melawat mangsa banjir.
“Betullah kata orang, Tok Pa sememangnya tokoh yang berjiwa rakyat. Walaupun berjawatan tinggi, ia tidak membatasi hubungannya dengan penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapa turut mengulas mengenai penurunan bilangan mangsa banjir daripada hampir 2,000 kepada 1,600 penduduk.

Beliau berkata, tiga daripada 11 pusat pemindahan ditutup ekoran kestabilan paras air Sungai Golok, sejak semalam (kelmarin).

“Walaupun tahap air masih paras bahaya iaitu 10.3 meter, namun kita bersyukur kerana banjir di Kelantan tidak mencemaskan,” katanya.
Sumber : Sinar Harian