Monday, 30 December 2013

Lelaki reka dan jahit baju pengantin sendiri

Seorang pengantin lelaki di sini, mereka dan menjahit sendiri pakaian perkahwinannya bersama isteri.

Mohd Amzar Ismail, 28, dari Bukit Mertajam gembira kerana berjaya menghasilkan baju perkahwinannya sendiri tanpa mengharapkan butik pengantin mahupun kedai perkahwinan lain.

Amzar dan Ramlah pada hari bahagia dengan pakaian yang direka sendiri.
Menurutnya, membuat sendiri baju perkahwinan memberi kepuasan yang tidak mungkin akan diperoleh seperti pasangan pengantin lain.

“Selain itu, kos juga dapat dikurangkan sebab jika sewa baju pengantin, boleh cecah ratusan ringgit dan ada yang tidak dapat menyimpan baju perkahwinan mereka, sebaliknya terpaksa memulangkannya ke kedai semula.

“Tapi baju kahwin kami, dapat simpan sendiri hingga ke akhir hayat,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai pembantu juruaudit bertemu jodoh dengan seorang guru, Ramlah Rahman, 28.

Ramlah yang berasal dari Sabah juga berbangga kerana suaminya berjaya menjahit sendiri pakaian pengantinnya.

“Tidak dinafikan pakaian adalah salah satu yang menjadi perhatian orang ramai ketika hari perkahwinan, baju yang direka suami saya sendiri begitu selesa dan jika ada yang tidak kena, mudah saja untuk dia betulkannya kembali,” katanya.

Mohd Amzar sememangnya meminati bidang fesyen dan pernah bekerja sambilan di butik perkahwinan sejak dari zaman persekolahan.
Sumber : Sinar Harian