Wednesday, 4 December 2013

Kenapa dok 'kemut' sangat? tanya Shahrizat

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memberi 'amaran' kepada tiga menteri supaya memberikan lebih peluang kepada Wanita Umno menganggotai dalam agensi kerajaan yang diketuai mereka.

Jika tidak, Shahrizat berkata Pergerakan Wanita "tahu apa nak buat" kepada ketiga-tiga menteri tersebut - yang menang dalam pemilihan parti baru-baru ini.
Ketiga-tiga menteri itu adalah anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mereka diamanahkan untuk menjadi wakil Majlis Tertinggi (MT) bagi perhimpunan sayap yang dianggap menjadi tulang belakang parti terbesar Melayu itu.

Dalam ucapannya, Shahrizat mengucapkan terima kasih kepada Ismail yang juga menteri Pertanian dan Asas Tani dan Mustafa yang merupakan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Ini kerana, mereka melantik dua wakil Wanita masing-masing terlibat dalam agensi kerajaan - Pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) .

AP untuk wanita

Shahrizat berkata beliau difahamkan Ismail juga melantik beberapa orang Wanita menganggotai GLC bawah kementeriannya.

"Tapi saya tengok orang lelaki, bila diberi satu (jawatan), dia kata 'oh, satu jawatan'. Yang dia ada empat (jawatan) tak apa.
"Kita (kalau boleh) masukkan empat dalam lembaga. Janganlah satu saja... Tidak mencukupi," katanya.

Walaupun memuji Mustapa kerana melantik Exco Wanita Datuk Noraini Ahmad (kiri) sebagai pengerusi Matrade, tetapi beliau mahu peluang perniagaan lebih kepada wanita termasuk pemberian permit khas (AP) kepada Wanita.

"Kenapa dok 'kemut' (kedekut) sangat. Tok Pa (Mustapa), kamu jangan dok buat muka selamba. Muka supaya saya jatuh belas kasihan. Kita sekarang ada 'black book', iaitu nak tahu menteri mana beri peluang kepada wanita dan yang tak bagi peluang.

"Yang mana bagi peluang, lagi sekali kita tau apa nak buat. Yang mana cakap tak serupa bikin, siaplah...," katanya sambil disambut gelak ketawa perwakilan.

Mengadap Jamil dalam 44 hari

Shahrizat juga bertanyakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom supaya lebih memberi peluang kepada Wanita supaya menganggotai GLC Tabung Haji atau dalam anak syarikatnya.

"(Sekarang) tidak ada. Kita nak tiga (wakil) Wanita... Kita beri peluang, dalam tempoh 44 hari saya nak mengadap Datuk Seri Jamil Khir, mana calon-calon Wanita," katanya sambil diiringi gelak ketawa menggamatkan Dewan Tun Hussein Onn petang ini.
Sumber : Malaysiakini