Thursday, 12 December 2013

Jangan risau elektrik naik hanya libatkan 30 peratus pengguna sahaja

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan kenaikan tarif elektrik negara ini dengan alasan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memerlukan wang untuk pelaburan.

Najib menegaskan kenaikan itu bagaimanapun tidak memberi kesan keterlaluan kerana majoriti tidak terjejas.
"(Seramai) 71 peratus pengguna tak dikenakan kenaikan. Jadi kenaikan cuma 30 peratus (kepada) domestik, industri dan komersial. Kita perlu laksanakan tindakan tarif itu, sebab sebagai sebuah badan, TNB perlukan RM 6 bilion setahun untuk pelaburan," kata beliau dalam sidang media selepas Perhimpunan Agung Umno.
Bagi penggunaan bawah 300 kWh sebulan kerajaan akan terus memberi subsidi dan ini melibatkan 70% pengguna.

Kenaikan tarif dibantah perwakilan Umno sempena PAU ini dengan beberapa perwakilan mendakwa tindakan tersebut tidak tepat dan tidak adil pada masa sekarang.

"Kalau tak lakukan peningkatan tarif, akan jejaskan kemampuan kewangan TNB, tetapi kita nak pastikan rakyat tak terjejas."

Najib turut menjawab rakyat perlu terus bersabar dan berkorban untuk keutuhan kewangan negara.

"Penting untuk ada keutuhan kewangan bila kewangan utuh, kita boleh buat lebih banyak untuk rakyat. Mereka (rakyat) perlu faham proses ini. Ini kesakitan jangka pendek tapi tak sakit teruk, sakit ringan sahaja tapi dalam jangka masa panjang baik untuk rakyat," kata beliau.

Najib berkata kerajaan akan terus menambah bantuan dan menawarkan jaringan keselamatan sosial.

Beliau turut mengulas jawatankuasa menyiasat laporan ketua audit negara telah pun memulakan tugas dan akan mengambil tindakan terhadap kakitangan awam yang terlibat.

"Ya, KSN (ketua setiausaha negara) telah buat pengumuman, beberapa tindakan telah diambil terhadap mereka yang mengingkari arahan khususnya dalam penggunaan dana.
Sumber : Malaysiakini