Wednesday, 25 December 2013

Ikan naik ke darat tiada kaitan tsunami dan gempa bumi

Kejadian beribu-ribu ikan tamban melompat dan terdampar di pantai Kampung Tambisan di Lahad Datu, Sabah semalam bukan petanda tsunami akan berlaku.
Ketua Kluster Sumber Asli dan Majlis Alam Sekitar, Profesor Negara Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, insiden itu tidak mempunyai kaitan dengan tsunami kerana tiada sebarang gegaran atau gempa bumi dikesan.

"Tidak mungkin akan berlaku tsunami kerana tiada sebarang gempa walaupun pada skala kecil direkodkan di kawasan sekitar," kata Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu itu kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu tidak semestinya berkait dengan alam sekitar seperti tsunami sebaliknya boleh dikaitkan dengan fenomena alam tabii.
Menguatkan lagi pandangannya, Dr Ibrahim yang juga bekas Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, kejadian pelik itu hanya melibatkan sejenis ikan iaitu ikan tamban dan tiada hidupan laut lain.

"Kalau sejenis ikan sahaja ia mungkin berkait dengan perubahan fisiologi ikan itu sendiri.

"Atau... kejadian itu juga disebabkan perubahan dalam laut sendiri, misalnya suhu air dan kadar kemasinan air laut," katanya.

Dr Ibrahim berkata, ikan sangat sensitif dengan perubahan kandungan air dan perubahan keseimbangan dalam diri ikan juga akan membuat haiwan itu berkelakuan pelik. 

Jabatan Meteorolgi Malaysia juga tidak mengesan sebarang pergerakan kerak bumi di sekitar Lahad Datu, yang dikaitkan dengan fenomena ribuan ikan tamban terdampar di pantai Kampung Tambisan Tungku, pagi semalam.
   
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Sabah, Abdul Malek Tussin berkata, berdasarkan sistem amaran awal tsunami, keadaan dasar laut di kawasan berkenaan juga seperti biasa.
   
Bagaimanapun jabatan ini tetap memantau pergerakan kerak bumi terutama di dasar laut di kawasan terbabit, katanya kepada Bernama di sini hari ini.
   
Sementara itu Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Datuk Rayner Stuel Galid berkata kejadian tersebut merupakan kali pertama berlaku di Sabah.
   
"Selalunya ikan tamban ini berada di tengah laut, jarang di tepi pantai," katanya.
  
Beliau berkata, pihaknya telah menghantar pegawai ke kawasan berkenaan bagi melakukan siasatan.
   
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Superintendan Mat Shamsuddin pula berkata pasukan keselamatan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana alam.
   
Dalam kejadian 8 hingga 9.30 pagi itu, ribuan ikan tamban seolah-olah naik ke darat dan menarik perhatian masyarakat setempat dengan ada antara mereka menganggap fenomena tersebut sebagai petanda bencana alam seperti tsunami.
Sumber : Bernama