Saturday, 28 December 2013

Gambar balut keranda dengan bendera PAS jadi isu hangat

Anggota keluarga kepada seorang penyokong PAS beragama Hindu memilih membalut keranda seorang saudara mereka dengan bendera parti Islam itu kerana perjuangan dan pengorbanannya mendiang.

3 gambar Ketua Wanita DHPP Cawangan Kota Raja meninggal dunia yang kerandanyanya di balut dgn Bendera PAS:

Malah, Letchumee Mutusamy meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan untuk membuka akaun bank untuk Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) kawasannya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua DHPP Kota Raja Rashmanan Subramaniam kepada Malaysiakini semalam.

Menurutnya, Letchumee, meninggal dunia apabila motosikal yang digunakannya berlanggar dengan sebuah lori treler ketika dalam perjalanan ke sebuah bank di bandar Klang.

Rashmanan berkata, Letchumee yang meninggal dalam usia 56 tahun itu bergiat aktif bersama PAS, terutamanya dalam isu membela nasib wanita dan keluarga, walaupun berlainan agama.

"Sebagai ketua DHPP Kota Raja, pemergiannya buat saya rasa kehilangan orang kanan, beliau seorang yang mempunyai personaliti kepimpinan, termasuk dalam pilihan raya umum ke-13.

"Sebab itu kita sepakat balut keranda dengan bendera PAS," kata Rashmanan.

Menurutnya lagi, mendiang selalu mengadakan program bersama Anggota Parlimen Kota Raja Mariah Mahmud dan terlibat sambutan kaum India dengan masyarakat setempat seperti pesta Ponggal.

Dr Mariah: Kami macam adik beradik 

Sementara itu, Dr Mariah (bawah) berkata, pemergian mendiang dirasakan suatu kehilangan memandangkan keakraban hubungan mereka.

Justeru, beliau yang hadir pada hari pengebumian memaklumkan kepada Malaysiakini, permintaan keluarga mendiang untuk menggunakan bendera PAS untuk membalut keranda dipersetujui sebagai tanda penghormatan terakhir.

"Pada hari pengebumian itu, keluarga mendiang memohon untuk menggunakan bendera PAS, takkan kita nak kata tak boleh, kita semua sepakat membenarkan.

"Bagi saya ini satu penghormatan buat beliau dan penghormatan bagi PAS. Lagipun dia penyokong kuat PAS, dia rasa dekat dengan parti. Kita dan macam adik beradik kemesraan itu dah lama wujud.

"Ia sama seperti penghormatan terakhir diterima tentera pada hari pengebumian," kata Dr Mariah.

Jawab sindiran di Internet

Bagaimanapun, terdapat persepsi negatif yang dilontarkan pembaca di alam maya berhubung perkara itu dan mengaitkannya dengan isu agama dan politik.

Ada sebahagiannya yang menyindir langkah itu, antaranya komen seorang pemilik Facebook:
"Kalau balut (guna) bendera PAS dapat syurga ke?

Dr Mariah bagaimanapun menjelaskan, langkah itu tidak menyentuh isu akidah sebaliknya sebagai tanda penghormatan terakhir untuk mendiang.

"Ia juga tiada kena mengena dengan akidah," kata pemimpin Muslimat PAS itu.

"Saya hargai perjuangan beliau dan keluarga selama ini walaupun dia tahu kita parti PAS perjuangkan Islam tapi atas kemahuan mereka nak menunjukkan rasa bangga menjadi sebahagian daripada PAS maka mereka letak (kedudukan) atas sekali bendera PAS."