Sunday, 1 December 2013

Berhati-hati jika mahu tolong orang tepi jalan

Niat baik seorang pemandu lori membantu seorang wanita yang ditimpa kesusahan selepas kenderaan dinaiki rosak bertukar mimpi ngeri apabila diperangkap sebelum dirompak dua lelaki yang menggunakan wanita itu, dalam kejadian di Batu 15, Siburan, Kuching.
Gambar hiasan
Kejadian berlaku pada kira-kira jam 2.45 pagi ketika mangsa dikenali sebagai Lee, 30, dari Serian memandu Perodua Kancil dalam perjalanan pulang dari bandar raya sebelum terserempak wanita itu yang berdiri di sebelah kereta dengan memasang lampu kecemasan kononnya kenderaan dinaiki rosak.

Menurut Lee, kasihan melihat wanita terbabit berseorangan, dia memberhentikan kereta untuk menghulurkan bantuan tanpa mengesyaki ia sebenarnya perangkap.
“Saya langsung tidak terfikir wanita terbabit digunakan sebagai perangkap untuk menarik perhatian pengguna jalan raya berhenti menghulurkan bantuan.

“Sebaik keluar dari kereta, saya menghampiri wanita itu bertanyakan masalah dihadapi tiba-tiba dua lelaki keluar daripada semak sebelum menahan saya.

“Seorang daripada mereka memegang pintu kereta, manakala seorang lagi mengeluarkan senjata sambil mengarahkan saya menyerahkan barangan berharga,” katanya.

Katanya, dia terkejut kerana tidak menyangka menjadi mangsa samun sebelum menyerahkan semua barangan berharga bagi mengelak dicederakan.

“Perompak terbabit mengambil beg sandang mengandung RM5,320 milik syarikat selain telefon bimbit sebelum melarikan diri bersama wanita itu,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Siburan.

Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dan siasatan masih dijalankan.
Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment