Thursday, 5 December 2013

Demi sebuah komputer gadis rela muka melecur

Di Miri seorang remaja perempuan melecur di kaki, tangan dan mukanya ketika meredah api untuk menyelamatkan dokumen penting dan komputer riba di dalam biliknya yang dimamah api dalam kebakaran yang memusnahkan 38 unit kediaman di Rumah Panjang Ngindang di Skim Rancangan Sepupok, Batu Niah di sini, pagi semalam.

Menurut Cassi Napi, 18, ketika kejadian jam 7.45 pagi, dia baru bangun daripada tidur dan berada di bahagian belakang rumahnya sebelum terdengar ibunya menjerit menyelamatkan diri selepas menyedari rumah panjang itu terbakar. 

Katanya, sebaik masuk ke ruang tengah, kepulan asap tebal kelihatan dan bahang api mula terasa, namun dia cuba menyelamatkan sijil persekolahan serta komputer riba di dalam bilik tidurnya. 

“Bagaimanapun, ketika melangkah ke bilik, api marak tetapi saya nekad cuba mengambil sijil dan komputer riba hingga menyebabkan terpijak tikar getah yang hangus. 

“Bahang api yang terlalu panas menyebabkan kulit muka, tangan dan kaki saya melecur sekali gus menyebabkan saya tiada pilihan apabila terpaksa keluar bagi menyelamatkan diri,” katanya ditemui di tempat kejadian. 
Api dipercayai bermula dari sebuah unit kediaman bersebelahan, namun tidak pasti sama ada ia disebabkan api ubat nyamuk atau litar pintas berikutan ketika kejadian, tiga penghuni berusia sembilan tahun hingga 16 tahun di rumah itu sedang tidur. 

Hanya tujuh daripada 45 unit kediaman rumah panjang yang dihuni 329 penduduk itu terselamat.
Gambar hiasan
Dalam pada itu, Tuai Rumah Ngindang Entili, 67, berkata, ketika kejadian dia bersama isterinya baru saja hendak bersarapan sebelum dikejutkan dengan jeritan penduduk memaklumkan api sedang marak. 

“Kami cuba memadam api dengan mengambil air dari tasik berdekatan, namun semuanya sudah terlambat kerana api merebak dengan cepat sehingga membakar hampir keseluruhan rumah,” katanya. 

Tambah Ngindang lagi, kejadian sama pernah berlaku apabila 13 pintu di rumah panjang berkenaan musnah dalam kebakaran pada 1987. 

“Tak sangka insiden yang sudah pun berlaku sejak lebih 20 tahun lalu itu sekali lagi menimpa penduduk rumah panjang kami. 

Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa,” katanya. Sementara itu, Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Miri, Ali Bema Jeli berkata, dua jentera bersama 13 anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 8.15 pagi. 

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba api marak dan membakar 90 peratus daripada rumah panjang.
Sumber : Harian Metro