Sunday, 22 December 2013

Capai sasaran emas ke-40 hadiah berharga untuk negara

Tiada hadiah lebih berharga buat ketua kontinjen negara ke Sukan Sea Myanmar, Datuk Amiruddin Embi yang menyambut hari lahir ke-67 hari ini, selain kejayaan Malaysia mencapai sasaran 40 pingat emas.
Pasangan Penerjun negara, Muhammad Nazreen dan Ooi Tze Liang ceria selepas menerima pingat emas ke-40 negara dalam acara Terjun Platform 10m Seirama Lelaki sempena Sukan Sea Myanmar Ke-27.
Amiruddin berkata kejayaan atlet negara menepati sasaran itu cukup bermakna kepadanya dan menaikkan lagi semangat untuk memastikan sukan negara berada di tahap lebih tinggi.
    
"Ini hadiah ulang tahun kelahiran yang sentimental. Saya percaya kita mampu menambah beberapa pingat emas lagi," katanya kepada pemberita di Pusat Akuatik Wunna Theikdi di sini hari ini.
Malaysia berjaya mencapai sasaran 40 pingat emas apabila gandingan Ooi Tze Liang/Muhammad Nazreen Abdullah mengungguli acara 10m platform lelaki.
    
Lebih manis lagi, sambutan ulang tahun kelahiran Amiruddin yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, diraikan di pusat akuatik berkenaan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia.
    
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Jamil Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Seri Zolkples Embong.
    
Acara ragbi bagaimanapun tidak dipertandingkan dalam temasya di Myanmar ini. 
Sumber : Bernama