Wednesday, 4 December 2013

Candi Lembah Bujang yang diroboh mesti dibina semula

Sebilangan candi di Lembah Bujang yang masih belum digazetkan sudah mula dimusnahkan sejak beberapa tahun lalu, kata ahli arkeologi selepas kemusnahan candi nombor 11 mendapat bantahan penduduk.

Pengerusi kumpulan kajian di kawasan itu, Datuk V Nadarajan, berkata candi Lembah Bujang yang dikatakan mula dibina sejak kurun ke-10 dan sesetengahnya sudah dirobohkan sejak beberapa tahun lalu tanpa pengetahuan umum.
Gambar candi nombor 11 pada 1996 yang kini tiada lagi selepas dirobohkan.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat memberi jumlah sebenar candi yang sudah dirobohkan dan  masih banyak yang belum digazetkan sebagai kawasan sejarah.
"Terdapat candi yang musnah dan tidak dibina semula berhampiran candi nombor 11 di kawasan Sungai Batu.
Gambar candi nombor 11 pada 1996 yang kini tiada lagi selepas dirobohkan.
"Saya dapat tahu perkara ini daripada penduduk sekitar. Mereka memberitahu pemaju menjalankan kerja perobohan, membersihkan runtuhan dan meratakan tanah," katanya kepada The Malaysian Insider di Lembah Bujang semalam.

Nadarajan berkata, kemusnahan candi nombor 11 menarik perhatian media dan rakyat sehingga memerlukan tindakan tegas diambil.

“Jika tidak, pemaju akan terus berbuat demikian merosakkan warisan sejarah ketamadunan awal yang berkait dengan agama Hindu dan Buddha.

"Saya berharap dengan kejadian ini, lebih banyak usaha merekodkan bahan arkeologi di lembah ini dijalankan. Kerajaan perlu menghargai kawasan ini kerana ia kaya dengan sejarah dan ia sepatutnya dilindungi, bukan terus dirosakkan.
Serpihan batu dipercayai daripada candi yang diroboh dan dimusnahkan
"Dalam kajian terbaru Universiti Sains Malaysia, terdapat 127 tapak arkeologi di Kedah dan kira-kira 90 candi di Lembah Bujang," katanya.

Nadarajan yang juga bekas ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) berkata, kerajaan negeri Kedah mesti mengarahkan pemaju membina semula binaan struktur itu seperti asal tanpa mengambil kira kos yang terlibat.

“Kerajaan negeri perlu menuntut ganti rugi ke atas pemaju," katanya.

Candi nombor 11 yang ditemui pada zaman kolonial British dibina semula pada 1974 oleh Jabatan Muzium.

Ahli Majlis MPSP, A Arumugam, berkata pemaju merancang membina kawasan perumahan dan projek diluluskan dua tahun lalu oleh kerajaan di bawah pentadbiran PAS.

“Pemilik tanah berselindung di sebalik pokok semasa kerja merobohkan candi itu pada September. Selepas kerja mereka selesai, pokok itu ditebang," katanya ketika ditemui di kawasan candi semalam.
Serpihan batu dipercayai daripada candi yang dirobohkan.
Beliau berkata, pemaju seharusnya lebih sensitif dan bertanggungjawab dan boleh melindungi candi itu dengan membangunkan projek di sekitarnya.

"Pemaju hartanah membeli kawasan itu dengan sedikit kerosakan candi. Mereka masih boleh membangunkan projek tetapi jangan diusik candi itu atau bina pagar bagi melindungi kawasan tersebut," katanya.

Pemimpin politik MIC di peringkat kawasan dan Makkal Sakti juga melawat kawaan itu pagi semalam bagi melihat kesan kerosakan.

Presiden Makkal Sakti, Datuk R S Thanenrhirran kecewa melihat kemusnahan itu.

"Candi ini tinggalan sejarah antarabangsa yang berlatarbelakangkan ketamadunan Hindu. Ia mesti dibina semula dan kawasan ini mesti digazet sebagai kawasan sejarah," katanya.

Beliau turut menggesa polis menutup kawasan itu bagi mengelak kerja merosakkan candi diteruskan.

Pengarah Pusat Kajian Arkeologi Global USM, Profesor Datuk Mokhtar Saidin, berkata struktur yang dirobohkan boleh dibina semula berdasarkan asasnya. 

Mukhriz arah kerja roboh candi Lembah Bujang dihentikan

Kontraktor yang merobohkan candi di Lembah Bujang telah diarahkan menghentikan kerja projek di tapak itu.

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir berkata arahan itu disampaikan secara lisan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Dawai Datuk Tajul Urus Mat Zain dan pihak kontraktor memberikan kerjasama.

Walau bagaimanapun, beliau masih belum menerima laporan penuh kerja perobohan berhampiran Sungai Batu.

"Saya masih belum dapat memberikan butiran lanjut. Saya perlu melihat laporan penuh. Selepas ini saya akan adakan mesyuarat berhubung perkara ini bagi mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di Sungai Batu.

"Nampaknya ada dua pandangan berbeza berhubung perkara ini. Adalah lebih baik saya mendapat perkembangan terbaru dalam perkara ini sebelum memberikan kenyataan, " katanya.

Kerajaan negeri Kedah berdepan tekanan supaya mengambil langkah pencegahan supaya kejadian berkenaan tidak berlaku lagi di Lembah Bujang setelah banyak candi bersejarah yang masih belum digazet telah dimusnahkan.

Candi yang musnah dilabel sebagai candi nombor 11 dikatakan wujud dari abad ke-8 dimusnahkan dua bulan lalu oleh pemaju yang merancang untuk membangunkan kawasan perumahan.

Perobohan dikatakan berjalan secara rahsia apabila candi itu terletak di kawasan ladang kelapa sawit.

Kejadian itu mendapat perhatian umum setelah kerajaan Kedah ditekan bagi memastikan pemaju membina semula struktur yang roboh.