Wednesday, 25 December 2013

Blogger fitnah tetap kena bayar saman RM130,000

ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini mengekalkan keputusan memerintahkan pengendali blog Padi Jantan, Sobri Sudin membayar RM130,000 kepada bekas Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor kerana menfitnahnya dengan menyiarkan laporan palsu di laman blog berkenaan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Abu Bakar Katar, membuat keputusan berkenaan dalam kamarnya.

Abu Bakar menolak permohonan lampiran 22 dan 23 defendan untuk mengenepikan perintah mahkamah berhubung lampiran 16 berkenaan fitnah yang dibuatnya pada 22 Julai tahun lalu terhadap Sanusi berhubung fitnah mengaitkan plaintif dengan jenayah rasuah berjumlah RM1.3 juta. Bagaimanapun keputusan memihak kepada plaintif yang dibuktikan dalam perbicaraan penuh.

Menurutnya, lampiran 23 dan 23 berkenaan ditolak dengan kos sebanyak RM2,000 kerana defendan gagal membuktikan isi kandungan afidavit sokongannya antara lain beliau tidak pernah menerima writ saman berhubung tuntutan kes berkenaan.

Berdasarkan fakta, pada 30 April lalu penyampaian ganti sudah beberapa kali pergi ke alamat yang diketahui milik defendan namun beliau tiada di rumah. Akhirnya pada 9 Jun, penghantar notis mahkamah menfailkan afidavit penyampaian ganti di mahkamah dan menampalkan notis terbabit di alamat terakhir beliau di Flat Taman Seri, Gemilang, Mergong serta papan kenyataan mahkamah.

Mahkamah memutuskan defendan gagal untuk membuktikan beliau tidak menetap di alamat itu dan kes berkenaan tamat serta tiada sebarang rayuan di peringkat mahkamah rayuan berikutan defendan gagal memasukkan sebarang notis rayuan yang berakhir pada 30 November lalu.

Keputusan pada 30 Oktober kekal dengan defendan diarahkan membayar ganti rugi am sebanyak RM100,000 dan kos sebanyak RM30,000 serta tambahan RM2,000.

Muhammad Sanusi diwakili peguam Amirul Fairuzzeen Jamaluddin manakala defendan diwakili Shariman Osman.

Sementara itu, Shariman akan tetap membuat rayuan terhadap keputusan kehakiman dalam tempoh 14 hari.
Sumber : Sinar Harian