Saturday, 14 December 2013

Bahaya naik motor pakai topi keledar mainan kanak-kanak

Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) kecewa dengan sikap sesetengah ibu bapa yang mengabaikan keselamatan anak-anak apabila menggunakan topi keledar mainan ketika membonceng motosikal.

Pengarah JKJR negeri, B. Shanthini berkata, pihaknya mengesan masih ramai ibu bapa menggunakan topi keledar berkenaan ketika pihaknya menyertai operasi bersepadu,  bukannya topi keledar yang menepati piawaian.
Shanthini (kanan) menunjukkan contoh topi keledar kanak-kanak yang menepati piawaian. Manakala Abdullah menunjukkan sebahagian daripada topi mainan (kiri) yang kerap digunakan ibu bapa ketika ini.
Menurutnya, topi berkenaan tidak direka khas untuk kegunaan motosikal, sebaliknya hanya untuk berbasikal atau papan luncur beroda.
Alasan sering diberi ibu bapa adalah mereka tidak mengetahui terdapat topi keledar untuk kanak-kanak dijual di pasaran, selain tidak mahu menggunakan topi keledar dewasa kerana ia longgar ketika dipakai kanak-kanak.

“Mereka juga lebih suka beli topi mainan ini kerana murah. Tapi, harga sebenarnya sama dengan topi keledar dewasa iaitu antara RM30 hingga RM40 satu,”  katanya pada majlis perjumpaan Pengarah JKJR bersama media di pejabat JKJR negeri, dekat sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JKJR negeri, Abdullah Kechut.

Shathini berkata, pihaknya menyediakan tidak kurang 10 topi keledar kanak-kanak setiap kali menyertai operasi bersepadu untuk ditukarkan kepada mereka yang menggunakan topi mainan.

Sementara itu, Shanthini berkata, pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri dalam memantau penjualan topi mainan di kedai-kedai motosikal.
Sumber : Sinar Harian