Thursday, 19 December 2013

Azam tahun baru untuk 'Tahun Naik Harga'

Saya boleh faham jika ramai malas mahu fikir tentang azam tahun baru, walaupun kita sudah hampir di ambang 2014.

Barangkali ada yang mahu mengisytiharkan tahun 2014 sebagai ‘Tahun Bersusah Hati”. Lebih tepat kalau disebut ‘Tahun Naik Harga’. Tentunya pembaca budiman tahu kenapa.

Kata orang, yang turun hanya hujan. Lain daripada itu semuanya naik. Ada yang sudah naik dan ada yang ‘berbaris’ untuk naik.
Tidak lama selepas PRU13, ramai terpinga-pinga apabila harga minyak RON95 naik 20 sen seliter, kemudian harga gula pula naik 34 sen sekilogram.

Tindakan pantulannya, pelbagai harga barang, makanan dan kos perkhidmatan turut naik.
Tambang bas, sewa bas sekolah, sewa teksi, sewa lori, harga ayam, roti canai, teh tarik dan macam-macam lagi harga barang dan upah perkhidmatan yang disedari atau tidak, naik atau mahu dinaikkan.

Tahun depan juga nampaknya boleh dilabel sebagai ‘Tahun Misali’ dari aspek kenaikan harga dan bayaran perkhidmatan.

Kadar tarif elektrik akan naik, tambang transit aliran ringan (LRT) akan naik, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dikuatkuasakan (pada 2015), perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dalam proses untuk ditandatangani dan berita terbaharu dan paling mencabar ialah kadar tol di 15 lebuh raya di seluruh negara juga akan naik.

Ada yang menyebut kenaikannya ialah antara 50 sen dan RM1.

Yang muktamad belum diketahui, tetapi Sinar Harian, akhbar cakna yang memilih tajuk muka depan ‘TOLONGLAH JANGAN NAIK’ kelmarin dan ‘TAK PERLU NAIK’ semalam, menyiarkan kadar kenaikan tol yang menjadi spekulasi.

Antaranya Lebuhraya Smart (naik RM1), Sungai Besi Besraya (naik RM0.70) dan Kuala Lumpur-Putrajaya (naik RM1). Semuanya belum sah, namun ia tetap membimbangkan pengguna biasa.

Menurut menteri, yang juga bekas ahli korporat, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, pengguna jalan raya yang anggap kenaikan tol itu terlalu tinggi boleh guna jalan alternatif.

Tidak diragui beliau berniat baik, tetapi malangnya, dalam ‘cuaca panas’ seperti ini, nasihatnya itu jadi bumerang.

Ada pengguna yang cabar beliau tunjukkan jalan alternatif yang tidak perlu bayar tol untuk ke Kuala Lumpur dan Petaling Jaya kepada mereka yang tinggal di kawasan Kajang, umpamanya.

Selain kawasan itu dan di Lembah Klang, tentu ada banyak lagi kawasan di mana pengguna jalan raya tidak boleh elak lebuh raya bertol.

Maaf cakap, bila membaca nasihat Abdul Wahid, teringat pula kenyataan seorang menteri yang pernah menasihatkan pengguna supaya jangan makan ayam jika harga ayam naik.

Teringat juga riuh-rendah berlaku berikutan isu menetapkan jangka hayat kenderaan di jalan raya, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Prof Dr Wong Shaw Voon berkata, kenderaan yang berusia terdedah kepada pelbagai kerosakan yang mungkin tidak disedari pemandu dan mengurangkan daya serapan tenaga pelanggaran ketika berlaku kemalangan.

“Kebanyakan kereta direka bentuk untuk jangka hayat antara lima dan 12 tahun,” katanya.

Kenyataannya mengundang pelbagai reaksi. Banyak pihak - ahli politik, NGO dan individu - tidak setuju sekiranya kenderaan lebih 12 tahun diharamkan di jalan raya.

Mereka menentangnya atas alasan jika ia dikuatkuasakan, rakyat biasa akan menanggung hutang hingga selepas mati.

Bagi yang kaya dan mampu, barangkali ia bukan suatu masalah, tapi bagaimana dengan orang biasa yang tidak banyak wang, tapi perlu membayar hutang, bil dan sebagainya yang makin meningkat?

Ada kah statistik menunjukkan kenderaan lama menyebabkan banyak kemalangan?

Setahu kita, kereta lama lebih digunakan pada jarak dekat. Yang banyak terlibat dalam kemalangan ngeri ialah kenderaan baru.

Maknanya kemalangan berlaku bukanlah kerana usia kenderaan, tetapi akibat cuai dan kelajuan.

Apa pun agak selesa sekejap apabila Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi memberitahu Dewan Negara baru-baru ini kerajaan tidak bercadang melaksanakan polisi jangka hayat kenderaan.

Katanya, sebarang cadangan berhubung perkara itu perlu diperhalusi dari aspek sosioekonomi kepada rakyat.

Dalam kes ini, pemilik kereta lama, buat sementara, boleh berasa lega dan tidur lena, tetapi ini tentunya bukan penamat bagi segala masalah berkaitan kenaikan harga dan kos hidup.

Lepas ini entah apa pula barang yang akan naik harga.

Tongkat dagu dan tunggu.
Sumber : Sinar Harian