Tuesday, 31 December 2013

Asam garam 2013 sekitar dunia hiburan

APA sahaja yang berlaku dan berkait dengan insan glamor pasti menarik perhatian ramai. Namun, tidak semua muncul menjadi suatu fenomena. Berikut antara fenomena-fenomena yang berlaku dalam dunia seni tanah air sepanjang tahun 2013.

Wedding Of The Year Che Ta, Zain

UNTUK gelaran Wedding Of The Year pada tahun 2013, pastinya ramai yang bersetuju untuk memilih perkahwinan pasangan sensasi Rozita Che Wan dan Zain Saidin dengan tajaan sebanyak RM13 juta.

Setelah menjalinkan hubungan cinta selama setahun, kedua-duanya mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dan memilih tarikh 11 Disember sebagai hari bersejarah buat mereka.

Dengan tajaan terbesar yang diterima daripada Habib Jewels menerusi kelengkapan barang kemas yang dipakai oleh Rozita atau lebih sinonim dengan panggilan Che Ta, pasangan tersebut masing-masing turut mengeluarkan wang sendiri sebanyak RM100,000.

Mendapat kritikan ramai sehingga ada yang beranggapan pasangan tersebut mahu menunjuk-nunjuk, sebaliknya pasangan berkenaan menepis segala kritikan dan menegaskan mereka tidak mampu untuk menolak segala tajaan yang diterima.

Selain majlis perkahwinan mereka yang menjadi tumpuan, status Che Ta sendiri sebagai seorang ibu tunggal kepada dua orang anak serta perkahwinan pertama buat Zain turut menarik perhatian.

Mizz Nina berhijab
PENYANYI genit yang pernah berkolaborasi dengan figura muzik terkenal luar negara seperti Colby O’Donis, Flo Rida dan Jay Park ini sering tampil dengan imej yang berani dan seksi. Malah dia pernah dikritik kerana menerima pelawaan untuk membuat persembahan pada sambutan hari arak sedunia, Arthur’s Day. 

Bagaimanapun, selepas pulang daripada menunaikan haji bersama suaminya, Noh Salleh, Mizz Nina telah mengambil keputusan drastik untuk mengubah penampilannya dengan mengenakan hijab. Ternyata, penghijrahannya itu mendapat pujian ramai terutamanya daripada para peminat.
Gelaran Datuk Tahun 2013

MEMBARISKAN nama-nama seperti Rosyam Nor dan Ramli Sarip menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob ke-75 pada 12 Oktober lalu.

Penganugerahan itu diberikan atas menghargai sumbangan mereka dalam dunia hiburan khususnya di Melaka. Penyanyi terkenal, Jamal Abdillah dan Rossa turut dikurniakan pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang yang ke-83.

Husin, Mon & Jin Pakai Toncit filem terlaris
MELIHAT kepada kutipan keseluruhan filem tempatan pada tahun ini memang agak mengecewakan berbanding tahun lalu. Namun begitu, filem yang berunsur komedi terus menjadi pilihan penonton.

Jika pada tahun lalu Adnan Sempit 2 mengungguli carta teratas dengan kutipan sebanyak RM6.82 juta, pada tahun ini pula Husin, Mon & Jin Pakai Toncit mengutip sebanyak RM5.89 juta dengan mengatasi 71 buah filem lain.

Diarahkan oleh pengarah popular Mamat Khalid, ia mengisahkan tentang Husin yang muflis akibat ditipu skim cepat kaya di Singapura, telah kembali semula ke Kampung Pisang. Di Kampung Pisang, Husin berjumpa semula dengan geng lamanya dan juga Mon, kekasih lamanya sewaktu Kampung Pisang dilanda Zombi.

Merupakan kesinambungan kepada filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang ditayangkan pada tahun 2010, Mamat turut mengekalkan beberapa pelakon asal seperti Awie, Shy8, Zami Ismail dan Man Kadir.

Lain-lain filem tempatan yang turut mencatatkan kutipan pecah panggung pada tahun ini terdiri daripada Gangster 2 (RM4.96 juta), Rock Oo (RM3.95 juta), Adnan Sempit (RM3.94 juta) dan Highland Tower (RM3.52 juta).
Sumber : Kosmo