Wednesday, 4 December 2013

70 peratus pelanggan Celcom masih guna SMS

KHIDMAT pesanan ringkas (SMS) kekal sebagai medium yang sering digunakan oleh 4.5 juta pelanggan Celom selain segmen suara dan data.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, lebih daripada 70 peratus pelanggan Celcom masih menggunakan perkhidmatan SMS dan tidak lebih 30 peratus menggunakan telefon pintar.
“Bagi mereka yang tidak mempunyai telefon pintar berkemungkinan mereka tidak tahu apa itu aplikasi whatsApp, di mana mereka hanya tahu SMS dan kerana itulah ciri-ciri SMS masih penting buat pelanggan asas kami.

“Cabaran kami adalah terus memberikan perkhidmatan terbaik melalui perkhidmatan digital mahupun yang lain bagi menyokong produk serta perkhidmatan baharu pada masa akan datang,” katanya ketika pengumuman laporan kewangan Celcom bagi suku ke tiga 2013 berakhir 30 September 2013.

Menurutnya, penembusan penggunaan telefon pintar di Malaysia masih belum mencapai 100 peratus, yang mana ramai lagi pengguna menggunakan perkhidmatan SMS.

Bagi suku ke tiga 2013 berakhir 30 September lalu, Celcom mencatatkan peningkatan 4.2 peratus bersamaan RM2.02 bilion berbanding RM2.01 bilion bagi suku sama tahun lalu.

“Pencapaian Celcom untuk suku ke tiga ini meletakkan keyakinan syarikat ke tahap tinggi dalam hala tuju bagi tahun 2013,” katanya.

Sumber : Sinar Harian