Wednesday, 25 December 2013

17 keluarga rumah setinggan setuju pindah secara aman

NIBONG TEBAL - Seramai 17 keluarga yang terlibat di dalam isu Ladang Byram akhirnya bersetuju untuk berpindah selepas rundingan diadakan bersama Timbalan Ketua Menteri 2, Dr P Ramasamy.

Beliau berkata, persetujuan dapat dicapai melalui perbincangan yang berlangsung di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pada 23 Disember lalu.
Ramasamy (depan, lima kiri) dan Lip Chee (depan, empat kanan) berbual bersama penduduk kampung selepas perbincangan di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah SPS.
“Kesemua 17 keluarga yang terlibat terpaksa dipindahkan namun kerajaan negeri akan memberikan pampasan sebanyak RM3,000 setiap keluarga.

“RM1,000 akan diberikan sejurus selepas tawaran perpindahan diterima manakala bakinya selepas keluarga ini mengosongkan kediaman masing-masing,” katanya.

Terdahulu, kesemua keluarga terlibat diarahkan berpindah selepas kawasan setinggan yang diduduki akan dijadikan tempat pelupusan sampah.

Turut menghadiri perbincangan ialah Adun Jawi, Soon Lip Chee.

Beliau berkata, kesemua penduduk turut ditawarkan menyewa sebuah rumah pangsa di Jawi dengan bayaran sebanyak RM100 sebulan.

“Walau bagaimanapun, bayaran sewaan dikecualikan bagi empat bulan pertama dan sebanyak RM180 dari wang pampasan akan dibayar kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

“Untuk memudahkan penduduk, lori akan disediakan untuk memastikan perpindahan berjalan lancar.

“Hasil perbincangan juga memutuskan kesemua penduduk perlu mengosongkan kediaman mereka sebelum 7 Januari hadapan,” katanya.
Sumber : Sinar Harian