Thursday, 5 December 2013

400 usahawan baru Bumiputera sedia mengeksport tahun 2015

Persatuan Pengilang dan Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM) menyasarkan lebih 400 usahawan Bumiputera berstatus  'sedia mengeksport' diwujudkan menjelang 2015.

Ia akan dilaksanakan menerusi program pembangunan dan promosi produk serta perkhidmatan industri kecil dan sederhana Bumiputera ke pasaran  Timur Tengah.

PPIPBM turut menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk membawa usahawan  Bumiputera meneroka pasaran antarabangsa menerusi program promosi yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.
Setiausaha Agung PPIPBM Datuk Dr Mohd Noor Ali Akhbar berkata dana berjumlah RM5 juta telah diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk Matrade bersama PPIPBM bagi merancang dan melaksanakan aktiviti promosi eksport di pasaran timur tengah, khusus untuk usahawan Bumiputera.
Beliau berkata 70 peratus daripada dana tersebut sudah digunakan untuk melaksanakan program promosi hingga tahun hadapan dan berharap lebih  banyak dana disalurkan kepada PPIPBM bagi membantu usahawan yang berhasrat untuk meluaskan pasaran keluar negara.

"Kita bersetuju dengan cara agihan dana iaitu menerusi sistem pembahagian yang telus dengan penggunaan dana perlu mendapat persetujuan  kedua-dua pihak.

"Kita berharap penambahan dana sebanyak RM10 ke RM15 juta melalui Matrade," katanya pada sidang media bersama PPIPBM dan Matrade bagi  memperkasa usahawan Bumiputera.

PPIPBM dan Matrade berjaya melaksanakan enam aktiviti, rombongan dan galakan perniagaan ke Timur Tengah, yang menyaksikan jumlah jualan  sebanyak RM631.13 juta (US$202.76 juta) dikumpul.

Beliau berkata 10 lagi program promosi sudah dirangka untuk dilaksanakan tahun hadapan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade berkata misi program tersebut bertujuan mewujudkan peluang perniagaan-kepada-perniagaan yang diyakini dapat  memastikan usahawan terus mendapat tempahan dan aktiviti perdagangan untuk jangka masa panjang.
Sumber : Bernama