Tuesday, 31 December 2013

2 letupan dalam masa 24 jam risaukan tuan rumah Sukan Olimpik Rusia

Letupan Pertama

Pengebom berani mati meletupkan dirinya sendiri dan meragut sekurang-kurangnya 16 orang awam dalam satu serangan di sebuah stesen kereta api di bandar Volgograd dekat sini, lewat malam tadi.

Letupan itu sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan menjelang hanya enam minggu sebelum Sukan Olimpik Sochi.

Anggota penyiasat berkata, suspek wanita yang tidak dikenali itu berhenti selepas ditahan pegawai polis ketika melalui imbasan logam di pintu masuk stesen, apabila kawasan berkenaan sesak dengan orang ramai yang dalam perjalanan untuk meraikan Tahun Baru. 

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan api besar keluar dari arah pintu depan dan bahagian tingkat bangunan tiga tingkat itu. 

Asap tebal itu menyebabkan orang ramai lari bertempiaran dan keadaan menjadi kecoh sebelum anggota bomba dan penyelamat datang untuk memadam kebakaran.
Letupan Kedua

Satu letupan memusnahkan sebuah bas elektrik di bandar Volgograd, Rusia menyebabkan 14 orang terbunuh semalam.
Letupan kedua dalam tempoh kurang 24 jam itu mencetuskan kebimbangan tentang keselamatan Sukan Olimpik musim sejuk di bandar Sochi.

Serangan itu dipercayai dilakukan oleh seorang pengebom berani mati.

Kejadian yang berlaku pada waktu pagi itu berlaku selepas satu kejadian serangan berani mati di Stesen Kereta Api Volgograd-1 di bandar yang sama sehingga mengakibatkan 17 orang terbunuh di sebuah stesen kereta api.

"Ia merupakan sesuatu yang mengerikan," kata seorang wanita yang berada di lokasi kejadian.

Serangan itu berlaku di bandar Volgograd beberapa bulan selepas pemimpin Chechen, Doku Umarov mendesak beberapa serangan baharu dilancarkan ke atas sasaran awam di Rusia.

Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan agensi-agensi penguatkuasaan untuk mengambil beberapa langkah bagi meningkatkan kawalam keselamatan selepas kejadian serangan pengebom berani mati itu berlaku.

Dalam pada itu, Rusia mengaitkan kedua-dua kejadian itu dengan serangan yang dilakukan militan di Amerika Syarikat, Syria dan beberapa buah negara lain.

"Kami akan terus menentang musuh yang berbahaya," kata Kementerian Luar Rusia dalam satu kenyataan.
Sumber : Berita Harian, Kosmo