Monday, 25 November 2013

Wanita ditetak semasa ambil duit di ATM

Bangalore, India - Seorang wanita cedera parah selepas penyerang yang tidak dikenali menyerang beliau dengan parang semasa mengambil wang di kiosk mesin ATM di pusat bandar itu selasa lepas.

Kejadian berlaku apabila penyerang menetak mangsa di kepala dengan parang di dalam kiosk ATM di bank tempat mangsa bekerja.
Mangsa bernama Jyothi Uday berumur 44 tahun (gambar) adalah seorang pengurus Corporation Bank di cawangan Mission Road. 
Suspek meninggalkan mangsa dalam keadaan cedera parah sebelum melarikan diri dengan wang tunai sebanyak Rs.2,500 dan sebuah Handphone milik mangsa," kata Timbalan Pesuruhjaya Polis DC Rajappa.
Dia diselamatkan oleh pejalan kaki yang melihat darah mengalir di jalan raya dari dalam kiosk itu yang penutupnya ditarik turun oleh penyerang itu.

Tiada pengawal keselamatan hadir di kiosk semasa kejadian itu berlaku .

Wanita yang cedera parah dan tidak sedarkan diri itu telah dipindahkan ke Hospital Victoria. Kemudian, beliau telah dibawa ke Nimhans dan akhirnya ke Hospital BGS Global, Kengeri.

Jyothi sedang bertarung nyawa di hospital sekarang. Tengkorak mangsa retak yang menyebabkan dia lumpuh di sebelah kanan.

Polis sedang pergiatkan usaha memburu suspek.

"Kami telah menyiasat kes ini di bawah seksyen 397 Kanun Keseksaan India yang melibatkan cubaan untuk menyebabkan kematian atau kecederaan parah semasa melakukan rompakan. Kami juga telah membentuk satu pasukan khas untuk memburu penyerang itu," kata Rajappa.

(Sila KLIK SINI untuk melihat video penuh. Amaran! video agak kejam dan tidak sesuai untuk sesetengah orang!)

CCTV rakaman kamera, yang diperolehi pihak polis dari pihak bank menunjukkan mangsa memasuki ATM untuk mengeluarkan wang tunai untuk hari jadi anaknya apabila penjahat mengekori beliau masuk ke dalam Kiosk ATM dan mengancam mangsa selepas menarik turun penutup kiosk dari dalam.

"Seperti yang dilihat dalam rakaman itu, penyerang itu mengeluarkan sepucuk pistol dan parang dari dalam beg sandang dan meminta Jyothi untuk mengeluarkan wang tunai dari ATM. Apabila dia cuba melarikan diri, dia menolaknya ke satu sudut dan menetaknya di kepala dengan parang. Selepas mengelap tangannya yang dipenuhi darah serta memeriksa beg mangsa, dia meninggalkan kiosk dengan sekali lagi menarik turun penutup kiosk dari luar," jelas Rajappa lagi selepas melihat rakaman itu.

Kiosk ATM terletak di tingkat bawah bangunan LIC yang menyerong bertentangan dengan Ibu pejabat Bruhat Bangalore Mahanagara Palike di Corporation Circle berdekatan dengan Balai Polis Ulsoor Gate.
Kiosk ATM tempat kejadian
"Penyerang itu tidak memakai apa-apa topeng dan dapat dilihat jelas wajahnya dalam rakaman itu, kami telah edarkan gambar suspek kepada semua balai polis dan pondok pemeriksaan untuk memerangkap suspek sebelum dia keluar dari bandar ini. Kami berharap kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin," tambah Rajappa lagi. 

Kemaskini daripada Hospital:

"Mangsa Jyothi Uday semakin pulih dan stabil setelah pembedahan yang lama dijalankan dan dia telah mampu untuk bercakap," Dr NK Venkataramana yang melakukan pembedahan di Hospital Global BGS memberitahu pemberita, sehari selepas serangan.

Beliau berkata tengkorak mangsa telah retak dan kepingan kecil tulang telah masuk ke dalam otak dan akibatnya mangsa lumpuh di sebelah kanannya.

"Secara keseluruhan keadaan pesakit adalah lebih baik. Dia sedar dan bercakap. Status neurologi (lumpuh ) tetap sama."

"Kami telah mengambil langkah berjaga-jaga dan memantau keadaannya. Diharapkan agar segalanya berjalan dengan baik. Tiada bahaya kepada nyawa dia sekarang," kata doktor.

Akibat daripada kejadian ngeri ini, Kerajaan India memberikan tempoh tiga hari kepada semua bank perdagangan untuk menyediakan pengawal di setiap kiosk ATM.
Sumber : The New Indian Express

No comments:

Post a Comment