Saturday, 30 November 2013

Umur Tok Ayah 160 tahun!

Mohamed Soleh Ali lebih mesra panggilan Tok Ayah  yang tinggal di Tanah Merah, Kelantan dikatakan berusia 160 tahun. Penglihatan masih jelas, pendengaran sempurna. Giginya masih yang asal. Lebih aneh lagi mampu berjalan kaki berbatu-batu jauhnya.
Tok Ayah mendakwa melalui pengalaman di bawah 13 Sultan yang memerintah Kelantan. Kisah hidup pahlawan dan perjuangan Mat Kilau pun diketahui dengan jelas. Pengalaman di bawah penjajahan Inggeris dan Jepun masih diingati sehingga sekarang. Ketika penjajahan Jepun beliau mempunyai tiga anak.
Lima yang masih hidup daripada 13 orang anaknya. Kesemua 13 isterinya juga sudah meninggal dunia. Cucu Tok Ayah ada yang sudah berusia lebih 60 tahun.

Stapa Ismail, 61 ahli keluarga Tok Ayah berkata, kegemaran Tok Ayah dari muda sehingga sekarang berjalan kaki ke mana sahaja.

“Dia pernah memberitahu berjalan kaki ke Johor, Pahang dan Terengganu semasa muda. Sekarang masih lagi mampu berjalan kaki ke bandar Pasir Mas,” katanya dipetik HarakahDaily.

Tok Ayah tinggal di Kampung Gelugur, Bukit Panau dikunjungi Mursyidul PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau menghadiahkan tongkatnya kepada Tok Ayah di samping wang.

Beritahu Stapa lagi, paling aneh anak dan cucunya tidak tahu ke mana Tok Ayah pergi setiap hari, namun ketika pulang ada sahaja makanan yang dibawanya.

“Malah ada ketika anaknya nampak Tok Ayah naik kereta pergi, namun tidak lama kemudian dilihat ada di dalam rumah.

“Banyak sebenarnya kisah pelik kalau hendak cerita tentang Tok Ayah. Apa yang saya tahu sejak dahulu sehingga sekarang dia tidak bekerja tetap dan hanya tahu berjalan sahaja.

“Namun tangannya sentiasa ada buah tasbih. Tok Ayah hanya meminum air telaga yang tidak dimasak. Kalau orang bagi duit kepadanya dia akan bagi kepada orang lain pula,” katanya.

Tidak jauh daripada kampung tersebut juga ada seorang wanita berusia 126 tahun, sekarang tinggal bersama anaknya di Kampung Kubang Kerian, Bukit Panau.
Sumber : KiniNews

1 comment:

  1. Masyaallahu kan wama lam yasya'...kalau boleh jumpa orang tua ni best juga kan!

    ReplyDelete