Friday, 22 November 2013

Tutup 3 bulan, kos naik taraf stadium Sham Alam RM2.4juta

STADIUM Shah Alam ditutup sementara untuk kerja-kerja pembaikan dan naik taraf kemudahan awam dengan menelan belanja RM2.4 juta selama tiga bulan bermula 1 Disember 2013 hingga 1 Mac depan, lapor Ahmad Norman Abu Talib.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Datuk Mohd Jaafar Atam berkata, kerja-kerja pembaikan fasa dua adalah untuk meningkatkan taraf kemudahan awam yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak serta keselesaan pemain.
Mohd Jaafar (kanan) meninjau keadaan padang di Stadium Shah Alam, semalam.
Mohd Jaafar berkata, kerja membaikpulih melibatkan penggantian 500 bumbung rosak akibat ribut, menaik taraf tandas, bilik persalinan pemain, baik pulih sistem siar raya serta gen set.

“MBSA selaku pengurusan Stadium Shah Alam berusaha menambah baik kemudahan awam di stadium ini yang sentiasa jadi pilihan acara bola sepak peringkat domestik mahupun antarabangsa.

“Dengan penggantian rumput padang kepada rumput berkualiti, perlawanan bola sepak dapat diteruskan walaupun hujan lebat,” katanya selepas melawat stadium tersebut, semalam.

Stadium Shah Alam berkeluasan 155,000 kaki persegi, dirasmikan pada 16 Julai 1994 dengan kapasiti penonton 80,000. Pada 2011, kerja-kerja menaik taraf berjumlah RM3.4 juta dilaksanakan.

Mohd Jaafar berkata, MBSA akan memasang kamera rakaman litar tertutup (CCTV) pada fasa ketiga akan datang bagi meningkatkan sistem keselamatan.

Menurutnya, Kerajaan negeri sudah bersetuju mengenai cadangan berkenaan untuk menyalurkan perbelanjaan modal (Capex).

“Kita juga berusaha mendapatkan Capex untuk menyelenggara Stadium Malawati serta Pusat Akuatik,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment