Tuesday, 26 November 2013

Tarif elektrik terpaksa naik tahun depan

SAMA seperti barangan harian lain, tenaga elektrik juga tidak dapat lari daripada kenaikan kos bahan api.

Hakikat itu diakui Ketua Pegawai Eksekutif MyPower Corporation Datuk Abdul Razak Abdul Majid yang mengesahkan penilaian semula tarif elektrik di negara ini dijangka dibuat tahun depan selepas kali terakhir tarif itu dinaikkan pada 2011.
Beliau berkata, pengubahsuaian tarif itu akan dilakukan kerana kerajaan tidak mampu menanggung beban subsidi semakin meningkat akibat kenaikan kos bahan api seperti gas yang digunakan untuk menjana elektrik.
Menurutnya, MyPower Corporation, unit khas ditubuhkan kerajaan bagi memperbaharui industri pembekalan tenaga elektrik telah membentangkan kajian tarif elektrik yang kini sedang menunggu kelulusan kerajaan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah kenaikan yang dijangka dikenakan kepada pengguna jika kerajaan meluluskan penilaian semula tarif itu.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid minggu lalu turut mengesahkan kajian tarif elektrik baharu dijangka disiapkan tahun depan.

Menurut Mahdzir, antara isu yang sedang ditimbangkan ialah kos sumber tenaga dan impak tarif baharu itu kepada pengguna.

“Laporan itu akan dibentangkan kepada Majlis Penasihat Ekonomi Negara dan Kabinet untuk pertimbangan. Hanya selepas itu kita akan tahu jika tarif itu ditingkatkan atau sebaliknya,” tambah beliau seperti dilaporkan Bernama.
Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment