Sunday, 24 November 2013

Mr Arrogant muncul dalam PAS

Perwakilan Terengganu Hishammuddin Karim (gambar) menyifatkan apa yang dikatakan konflik dalaman bukan kerana isu Erdogan dan ulama tetapi munculnya Mr. Arrogant di dalam PAS.
"Mr. Arrogant inilah yang telah muncul di dalam PAS dan menguasai diri kita dalam pimpinan parti itu sehingga merasai diri merekalah yang terbaik, pandangan kita yang paling hebat menyebabkan kita memandang sinis kepada sebilangan kepimpinan yang diberi kepercayaan oleh perwakilan," katanya.

"Sebenarnya pimimpin parti dan ahli PAS telah melahirkan Mr. Arrogant dalam diri. Bolehkah kita setia dan sayangkan jemaah mengatasi kepentingan diri sendiri?"

"Saya bimbang konflik dalaman bukan hasil pertembungan ulama dan 'Erdogan' atau 'Erdogan' dengan Ulama, tetapi ia lahir dari satu perkara baru yang suka saya sifatkan sebagai 'Mr Arrogant' yang muncul dalam PAS.
Tegasnya lagi, pemimpin PAS perlu mempunyai kesatuan fikiran bagi mengelak konflik dalaman dan perkara itu perlu 'dikebumikan terus di stadium ini' sebelum pulang ke kawasan masing-masing.

Katanya, penyertaan ke dalam PAS hendaklah berasaskan penyertaan dalam sebuah jemaah Islam yang menuntut ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi.

"Walaupun kita datang dari pelbagai jemaah yang lain, kepimpinan jamaah yang mesti ditaati dan diberikan sepenuh kepercayaan hanyalah kepada tunggak kepimpinan PAS yang dipimpin oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang," jelasnya.

Memuji kepimpinan bekas presiden PAS Datuk Fadhil Mohd Nor sewaktu memimpin PAS dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membantunya satu ketika dahulu sehingga populariti Abdul Hadi melonjak dan dicadangkan mencabar Fadhil merebut jawatan presiden.

"Saya difahamkan jawapan ringkas yang dikeluarkan terbit dari mulut murabbi presiden ini dengan hanya menyatakan solat sunat Ustaz Fadhil pun saya tidak boleh lawan, masakan saya masuk lawan presiden."

"Suasana yang lalu menggambarkan ketenangan dan keharmonian dalam perjuangan PAS yang kini dilihat seperti semakin menghilang dan kian lenyap diamalkan oleh penyokong PAS."

Membahaskan usul ucapan dasar presiden, Hishammuddin turut membidas pihak yang menghina Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib dalam media sosial sebagai seorang yang berkerusi roda tapi menggilai jawatan.

Sebaliknya, wakil rakyat itu berasa hairan mengapa Harun tidak diangkat sebagai tokoh murabbi dan jika hendak dibandingkan Pemimpin Hamas Syeikh Ahmad Yassin yang juga berkerusi roda sehingga akhir hayatnya.

"Binalah kembali kekuatan jamaah yang dicintai ini, kembalikan semangat persaudaraan dan kesetiaan tinggi di kalangan semua ahli jamaah," ujarnya mengakhiri ucapan.

No comments:

Post a Comment