Saturday, 30 November 2013

Latar belakang 9 orang ahli MT UMNO yang baru dilantik

Nama Mohamed Nazri bukanlah asing dalam Umno kerana beliau sebelum ini pernah memegang jawatan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia dan pernah memangku jawatan Ketua Pemuda ketika era Tan Sri Rahim Thamby Chik mengetuai pergerakan itu pada tahun 1994-1995.

Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilantik sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan selepas PRU-13.

Seperti Mohamed Nazri, nama Raja Nong Chik juga tidak asing dalam politik Umno.

Beliau merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan bekas senator.

Bagaimanapun pada pilihan raya yang lalu beliau tewas kepada Nurul Izzah Anwar di Parlimen Lembah Pantai.

Pelantikan Prof. Dr Ibrahim Abu Shah dilihat melengkapkan barisan kepimpinan parti kerana beliau merupakan seorang ahli akademik dan nasionalis terkenal.

Merupakan bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), beliau pernah menjawat beberapa jawatan dalam Umno termasuk menjadi pengasas dan Pengerusi Kelab Umno Carbondale, Amerika Syarikat pada 1983.
Dr Asyraf Wajdi Dasuki pula merupakan bekas Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan baru-baru ini dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Beliau merupakan bekas pelajar terbaik Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan pemegang ijazah dan sarjana dalam bidang perakaunan dan juga perbankan Islam.

Asyraf adalah anak kepada seorang pendakwah terkenal iaitu Datuk Dasuki Ahmad.

Manakala Mohammad Kazim Elias merupakan seorang tokoh agama dan penceramah terkenal di negara ini.

Pelantikannya bagaimanapun sudah pastinya mengejutkan ramai pihak termasuklah para pemerhati politik.

Sementara itu, Hamzah Zainudin pula merupakan bekas Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut kini dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar.

Mohd. Sharkar Shamsudin pula merupakan Adun Lanchang dan Ketua Umno Bahagian Temerloh, Pahang.

Beliau juga baru-baru ini dilantik sebagai Timbalan Ketua Perhubungan Umno Pahang adalah juga Exco Pelancongan Negeri.

Sharkar pernah dilantik sebagai setiausaha kerja Pergerakan Pemuda Umno Malaysia pada tahun 1994 semasa Rahim menjadi ketua pemuda.

Pelantikan Irmohizam Ibrahim pula dilihat tepat dalam usaha meremajakan parti.

Beliau merupakan pegawai khas kepada perdana menteri dan merupakan anggota Lembaga Pemegang Amanah iM4U.

Pada pilihan raya lalu, beliau menewaskan calon terkenal PAS, Dr Dzulkefli Ahmad di Parlimen Kuala Selangor.

Sementara itu, Johari Ghani pula merupakan seorang usahawan Bumiputera yang terkenal dan kini merupakan ahli Parlimen Titiwangsa dan juga Pengerusi UDA Holdings Bhd yang baru.

Beliau adalah juga Ketua Umno Bahagian Titiwangsa.
Sumber : mStar

No comments:

Post a Comment