Saturday, 30 November 2013

Kisah penuh Aishah yang menjadi hamba selama 30 tahun di London siri 2

Temubual ekslusif rakaman The Telegraph UK:


Adik bongsu kepada Siti Aishah Abdul Wahab yang dilapor dijadikan hamba selama 30 tahun di London mendedahkan 'rahsia' penglibatan kakaknya dalam aktiviti radikal komunis.

Bagaimanapun, menurutnya, perkara itu sudah lama diketahui keluarga, lapor Utusan.

Menurut Mohd Tahir Abdul Wahab, 66, Siti Aishah dipercayai terpengaruh dengan fahaman komunis semasa melanjutkan pelajaran di London dengan biasiswa Komanwel, seterusnya menetap di negara berkenaan.
"Mereka tahu Kak Esah telah terpengaruh dengan aktiviti radikal seperti komunis. Sebab itulah sepanjang dia menghilangkan diri, keluarga kami tidak pernah berputus asa mencarinya di London," katanya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia.

"Ketika itu telah bertiup cerita tentang pengaruh komunisme meresap dalam kalangan pelajar luar negara dan saya rasa dari situlah mengetahui pergerakan Kak Esah.

"Sebab itulah saya yakin percubaan mereka ini untuk mencari Kak Esah bukan mahu dia dibawa balik ke kampung semata-mata malah mahu menyelamatkan dia daripada terus terjebak (komunis).

"Bagaimanapun, usaha abang-abang saya ini menemui jalan buntu sekalipun mereka telah ke rumah Kak Esah di London namun kakak saya itu tetap enggan keluar bertemu. Sehinggalah ada antara abang meninggal dunia pun, Kak Esah belum ditemui," katanya.

Katanya, beliau adalah orang terakhir yang bertemu Siti Aishah pada tahun 1981 di London.
Mohd Tahir turut menambah, pengaruh komunis pada Siti Aishah ketika itu dapat dilihat melalui lencana Mao Zedong yang dipakai di bajunya. Malah, katanya lagi, dua rakannya yang hadir juga memakai lencana sama.

"Dia hadir dalam keadaan yang terurus dengan penampilan yang bersih cuma ketika mahu tidur, dia tidak memerlukan bantal, sekadar beralaskan lengan... Itu membuktikan hidup yang dialaminya sehari-hari," beliau dipetik sebagai berkata.

Haluan kiri punca putus tunang

Sementara itu, dalam laporan Sinar Harian pula, Siti Aishah pernah bertunang dengan seorang lelaki dari daerah Jelebu yang dikenali sebagai Omar Munir.

Sepertimana yang dimaklumkan adik kepada bekas tunang Aishah, Shamsuri Munir, hubungan tersebut tidak berpanjangan disebabkan wanita terbabit memilih jalan untuk terus bersama kumpulan berhaluan kiri di kota London.

Shamsuri menjelaskan dalam harian itu, selepas abangnya tamat pengajian di London dan pulang ke negara ini, dia memberitahu keluarga bahawa mereka sudah putus.

"Selepas mereka ke UK, saya tidak tahu lagi tentang abang dan Aishah kerana ketika itu saya masih bersekolah. Cuma saya ingat selepas tiga atau lima tahun abang menamatkan pengajian di sana, dia pulang dan memberitahu sudah putus tunang," katanya seperti laporan Sinar Harian.

Pertemuan di lokasi rahsia

Sementara itu, berdasarkan laporan Awani hari ini, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London, Datuk Seri Zakaria Sulong telah mengesahkan pertemuan antara Kamar Mahtum Abdul Wahab dan adiknya yang lama hilang.

Pertemuan setengah jam telah diatur oleh Ibu Pejabat Metropolitan Police Service, Scotland Yard di lokasi yang tidak didedahkan.

Bahkan, ini kali pertama kedua-dua bertemu sejak ketibaan Kamar Mahtum di London.

Dalam laman Awani, Zakaria juga berkata Kamar Mahtum telah meminta kakaknya untuk menulis surat kepada ahli keluarga sebagai tanda ingatan keluarga di Malaysia.

Pada masa yang sama dalam laporan itu, Siti Aishah juga diberi jaminan bahawa Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan membantu beliau dalam setiap perkara yang diperlukan.

Zakaria dalam portal itu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Britain bagi kerjasama dalam mempertemukan dua beradik itu.
Sumber : Malaysiakini

No comments:

Post a Comment