Friday, 29 November 2013

Kereta bekas usahawan komputer ditembak

Seorang bekas peniaga barangan komputer hari ini terkejut apabila menemui dua kesan tembakan pada kenderaannya yang diparkir dalam kawasan pagar rumah di Jalan U5/8 Mutiara Subang, Sungai Buloh dekat ibunegara.
    
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Junaidi Bujang berkata mangsa yang berusia 58 tahun itu hanya menyedari kenderaan jenis sport utility (SUV) tersebut ditembak pada pukul 8 pagi ketika mahu menggunakan SUV berkenaan.
"Sejurus keluar rumah, mangsa melihat cermin belakang keretanya telah pecah dan terdapat satu lubang kesan tembakan di bahagian bonet dan satu lagi di bahagian stereng," katanya yang mengesahkan kejadian ketika dihubungi.
Katanya mangsa tidak mendengar sebarang bunyi letupan atau tembakan namun ada dimaklumkan oleh anak lelakinya yang terdengar bunyi letupan sebanyak dua kali kira-kira pukul 1.30 pagi.
    
Anak mangsa kemudian memeriksa keadaan di dalam rumah namun tidak menemui sebarang keganjilan, katanya.
    
Junaidi berkata mangsa kini tidak lagi bekerja selepas berhenti menjalankan perniagaan komputer sejak lebih setahun lalu dan polis sedang menyiasat motif kejadian.
    
Sementara itu, seorang pemuda yang tinggal di rumah berhadapan dengan rumah mangsa berkata dia terdengar bunyi letupan seakan bunyi mercun sebanyak dua kali kira-kira pukul 1.30 pagi.
    
"Ketika itu saya sedang bermain komputer di ruang tamu dan tiba-tiba terdengar bunyi letupan... saya pergi ke tingkap untuk melihat apa yang berlaku, tapi sebab gelap saya tidak nampak apa-apa," kata pemuda berusia 19 tahun itu kepada  pemberita.
Sumber : Bernama

1 comment:

  1. macam-macam insiden dan jenayah yang berlaku sekarang ni....apapun malaysia masih aman.

    ReplyDelete