Sunday, 24 November 2013

K Rajagobal berundur, Ong Kim Swee jurulatih sementara Harimau Malaya

SEPERTI dijangka, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk tidak menyambung kontrak ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal yang akan tamat pada 31 Disember ini.
Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal mengumumkan, keputusan itu selepas ahli Exco FAM sebulat suara bersetuju untuk tidak melanjutkan kontrak Rajagobal yang mula membimbing Harimau Malaya pada 2009.

Subahan yang juga pengurus Harimau Malaya berkata, sementara mendapatkan pengganti, FAM bersetuju melantik jurulatih Harimau Muda Datuk Ong Kim Swee sebagai pengendali sementara Harimau Malaya.
"Setelah mendengar dan meneliti segala laporan yang dibuat akhirnya jawatankuasa sebulat suara bersetuju agar tempoh kontrak Rajagobal yang akan tamat pada 31 Disemberini tidak akan disambung.

"Ini bukan bermakna kita (FAM) tidak berterima kasih dengan segala jasa dan pengorbanan beliau sebagai jurulatih sejak 2009, dan kami tidak menafikan banyak juga yang telah beliau buat tapi demi kebaikan bola sepak kami membuat keputusan ini.

“Apa pun, FAM ingin merakamkan penghargaan kepada Rajagobal di atas sumbangannya terhadap negara selama ini. Oleh itu, jawatankuasa sebulat suara memilih Kim Swee sebagai pemangku jurulatih Harimau Malaya buat sementara waktu sebelum kami menemui calon sesuai," katanya kepada media  selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kesembilan di Wisma FAM hari ini.

Sejak beberapa bulan lalu, kalangan pemerhati dan peminat Harimau Malaya sudah hilang sabar dengan prestasi merudum Harimau Malaya sehingga ada dalam kalangan mereka mahukan Rajagobal dipecat atau berundur secara terhormat.

Bukan sahaja mencatat kegagalan dalam perlawanan persahabatan malah Rajagobal juga gagal memenuhi KPI (Indeks Utama Prestasi) FAM iaitu layak ke Piala Asia di Australia apabila pasukannya hanya menduduki tangga ketiga Kumpulan D dengan empat mata meskipun masih memiliki satu lagi perlawanan menentang Yemen Mac ini.

Sepanjang perlawanan kelayakan Piala Asia, skuad negara hanya berjaya mencatat satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan - satu rekod yang cukup memalukan.

Kemenangan itu direkodkan ketika Harimau Malaya menewaskan Yemen 2-1 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 pada 22 Mac lalu.

"Rajagobal sudah bersama skuad negara sejak 2009 dan banyak sumbangannya kepada negara. Kita tidak boleh katakan keputusan ini dibuat disebabkan kegagalan beliau. Tidak, bagi saya beliau telah melakukan yang terbaik.

"Keputusan ini dibuat kerana kita mahu memberi peluang kepada jurulatih luar untuk membuktikan kemampuan mereka dan yang boleh membawa kita ke tahap lebih baik.

"Tapi saya yakin, Rajagobal akan faham malah dengan kewibawaannya beliau pasti akan mendapat tawaran yang lebih baik," jelas Subahan.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment