Sunday, 24 November 2013

Johan dan Zizan bergaduh?

KESERASIAN dan keakraban dua pelawak terkenal tanah air, Johan dan Zizan Razak, sememangnya diketahui umum sejak dahulu lagi.

Malah, dek kerana gandingan mereka yang cukup menjadi menerusi singkatan Jozan membuatkan keduanya mengecap tahap populariti yang cukup membanggakan.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini dapat dilihat kedua-dua bintang Raja Lawak ini lebih senang bergerak secara solo tanpa pasangan masing-masing sehingga timbul desas desus mengatakan kedua pelawak ini telah bergaduh dan membawa haluan masing-masing.

Namun, perkara itu segera dinafikan oleh Johan atau nama sebenarnya Muhammad Yazid Lim Muhammad Aziz.

“Kami bukan bergaduh, kami berselisih pendapat saja tetapi perkara itu berlaku hanyalah ketika kami dalam waktu bekerja.
“Perselisihan pendapat itu terjadi disebabkan waktu itu terdapat percanggahan idea di antara kami.

“Bagaimanapun, dengan perselisihan pendapat itulah yang memberikan kesan terbaik dalam persembahan kami dan perkara itu selesai setelah waktu bekerja tamat,” katanya pada media ketika ditemui selepas pelancaran drama bersiri kanak-kanak, Elly & Epit, baru-baru ini.

Johan yang ditemani isterinya, Ozlyn Wati memberitahu, kesibukan dengan aktiviti seni masing-masing menjadi punca mengapa mereka kini dilihat tidak bersama lagi.

“Dia sibuk dengan kerja dia dan saya sibuk dengan kerja saya. Walaupun begitu, kami saling menyokong di antara satu sama lain,” katanya.

Mengenai dakwaan bahawa ada pihak yang sengaja melaga-lagakannya dengan Zizan, Johan memberitahu dia tidak mampu untuk menghalang pihak berkenaan daripada bersuara.

"Semua orang ada hak untuk bersuara. Jadi, kita dengar saja. Jangan melenting atau melawan, sebaliknya hadapinya dengan tenang.

"Mungkin, kami pun dah tahu siapa punya angkara dan sebab musababnya pihak berkenaan berbuat demikian.

"Tapi, kami menganggapnya sebagai satu pembelajaran dan pengalaman apatah lagi kami juga masih baru dalam industri ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia tetap menghormati pihak berkenaan memandangkan dia adalah orang lama dalam industri seni.

Begitu pun, Johan memberitahu, dia menganggap segala apa yang terjadi adalah satu kritikan yang membina untuk membawa Jozan lebih maju ke hadapan.

“Terus terang saya cakap, saya malas nak layan gosip-gosip yang bersifat mengecam atau menghentam kerana ia langsung tidak membantu apa-apa.

"Lebih baik fokus pada kerjaya, cuma ia terpulang pada individu itu bagaimana nak mengatasinya.

“Tapi, apa yang penting, kami ambil iktibar daripada apa yang terjadi,” katanya.
Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment