Thursday, 28 November 2013

Gaji MB Selangor lebih tinggi daripada gaji PM?

Anggota-anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor hari ini menyifatkan kenaikan gaji termasuk elaun kepada menteri besar, speaker dan timbalan speaker seperti yang diputuskan sidang dewan semalam adalah tidak munasabah.
Mereka menyifatkan kenaikan itu sepatutnya perlu dikaji secara mendalam sebelum ia diputuskan kerana peratusan kenaikan itu terlampau tinggi bagi ketiga-tiga jawatan berkenaan.
    
Adun Kuang Datuk Abdul Shukor Idrus berkata berdasarkan kenaikan gaji dan elaun bagi tiga jawatan itu, timbalan speaker Dun mencatatkan peratusan kenaikan tertinggi iaitu 373 peratus bersamaan RM15,750 sebulan daripada RM3,327.
"Begitu juga dengan gaji menteri besar yang naik 106 peratus iaitu RM29,250 daripada RM14,175 sebulan diikuti gaji speaker Dun yang turut naik mendadak pada kadar 268.3 peratus iaitu kira-kira RM22,500 daripada RM6,109 sebulan, katanya ketika ditemui di luar sidang dewan di sini.
    
"Bagi saya, kenaikan (bagi ketiga-tiga jawatan ini) tidak mengambil kira denyut nadi rakyat di peringkat bawahan yang masih memerlukan lebih pembelaan daripada kerajaan negeri," katanya.
    
Sementara itu, Adun Semenyih Datuk Johan Abdul Aziz menyatakan beliau bersetuju dengan kenaikan gaji termasuk elaun bagi Adun di negeri ini pada kadar 87.5 peratus iaitu RM11,250 daripada RM6,000 sebulan seperti mana yang diputuskan oleh Dun semalam.
    
Kenaikan gaji termasuk elaun kepada Adun itu dilihat munasabah kerana ada sebahagiannya mungkin akan dipulangkan semula kepada rakyat atas peranan serta tanggungjawab seorang wakil rakyat.
    
"Namun, melihat gaji menteri besar, speaker dan timbalan speaker, kadar kenaikannya jauh lebih tinggi. Sepatutnya kalau semua naik, maka ia peratusannya perlu selaras serta munasabah bagi semua jawatan," katanya.
    
Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohd Shamsudin Lias pula berkata kenaikan elaun untuk Adun adalah patut kerana wakil rakyat merupakan tempat mereka mengadu termasuk masalah kewangan selain daripada menghadiri majlis kenduri-kendara dan kematian.
    
Bagaimanapun, beliau berkata kenaikan gaji menteri besar lebih tinggi daripada gaji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak patut dan patut dikaji semula.
   
Adun Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan pula berkata kenaikan elaun Adun memang patut diberi perhatian kerana telah lama tidak dilakukan semakan dengan keadaan semasa.
Sumber : Sinar Harian

1 comment: