Saturday, 30 November 2013

Enam terbunuh, seorang parah di Mukah

KUCHING, 29 Nov - Enam orang terbunuh sementara seorang lagi parah dalam nahas antara sebuah Perodua Kancil dan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux di Km 14 Jalan Mukah-Selangau petang tadi.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Omar Bakhtiar Yaacob berkata mangsa yang terbunuh ialah lima orang yang berada di dalam Perodua Kancil tersebut termasuk pemandunya serta seorang penumpang Toyota Hilux itu.

Kesemua mangsa meninggal di tempat kejadian.
Gambar hiasan
"Kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Kancil yang dipandu Mohd Hisham Abdullah, 40, dari Kampung Bruit, Daro bersama keluarganya yang dalam perjalanan dari arah Sibu ke Mukah bertembung dengan Toyota Hilux itu.
"Akibat pertembungan itu, pemandu dan lima penumpang di dalam kereta tersebut tercampak dan tersepit di bahagian hadapan kereta.

"Salah seorang penumpang lelaki dari tiga penumpang di dalam Toyota Hilux yang duduk di bahagian belakang pula maut selepas terhantuk pada kerusi di hadapan mereka," katanya ketika dihubungi.

Omar Bakhtiar berkata yang parah ialah penumpang Perodua Kancil berkenaan iaitu Nur Syafiqah, 14, dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di Hospital Sibu.

"Semua mayat dihantar ke Hospital Mukah untuk bedah siasat. Polis sedang berusaha mendapatkan butiran kesemua mangsa yang terlibat dan punca kejadian masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau berkata pihak polis dan bomba mengambil masa hampir tiga jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan mereka.
Sumber : BERNAMA

No comments:

Post a Comment