Saturday, 23 November 2013

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man perlu menang untuk PAS seimbang

SHAH ALAM – Teka-teki siapa yang bakal menggalas jawatan ketiga tertinggi dalam Pas bakal terjawab esok. Ekoran masalah teknikal, keputusannya tidak dapat diumumkan hari ini dan kiraan semula terpaksa dijalankan.

Ada yang menebak, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bakal menang esok bersama dua penyandangnya, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Manakala dua calon lain ialah Datuk Husam Musa (penyandang) dan Datuk Abu Bakar Chik mungkin gagal menempa tempat di kerusi tersebut.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, andai kemenangan berpihak kepada Tuan Ibrahim, keseimbangan bakal berlaku.
“Kalau keputusan Naib Presiden itu berlaku perubahan... apabila Tuan Ibrahim menang, ada wakil daripada golongan ulama. Seimbanglah di situ.

Golongan profesional dominan berada dalam Pas dan boleh dikatakan, penyandang yang menang tapi kali ini mungkin ada perubahan sedikit,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai keseimbangan itu, beliau menyentuh soal kemenangan Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang mengekalkan kedudukannya dalam jawatan Timbalan Presiden Pas.

“Kemenangan Mat Sabu menunjukkan yang golongan profesional masih dominan dan mereka memilih beliau berbanding golongan ulama, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah,” katanya.

Hari ini, Mat Sabu diumumkan kekal sebagai Timbalan Presiden Pas menewaskan pencabarnya, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Nik Amar dengan majoriti 98 undi.

Mat Sabu meraih 588 undi manakala Nik Amar mendapat 490 undi.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment